Menurut laporan Prospek Urbanisasi Dunia 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB bulan ini, ibu negara Indonesia, Jakarta kini mempunyai 42 juta penduduk, sekali gus secara rasmi menjadi bandar dengan jumlah penduduk paling ramai di dunia, memintas Tokyo.
Di kedudukan kedua ialah Dhaka, Bangladesh dengan 37 juta penduduk, manakala megalopolis Tokyo kini berada di tempat ketiga dengan jumlah penduduk sekitar 33 juta orang.
Ini menunjukkan bahawa jumlah penduduk di Jakarta dan Dhaka masing-masing melebihi keseluruhan populasi Malaysia yang berjumlah 34.2 juta orang. Pada masa ini, Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-41 dalam senarai bandar dengan populasi terbesar di dunia.
Menjelang 2050, Dhaka dijangka mengatasi Jakarta sebagai bandar dengan populasi terbesar, manakala Tokyo diramalkan turun ke tangga ketujuh dengan sekitar 31 juta penduduk. Pada tempoh yang sama, Kuala Lumpur turut dijangka berkembang menjadi sebuah megalopolis dengan hampir 11 juta penduduk.
Perkembangan ini turut memberi gambaran jelas tentang kadar urbanisasi pesat di rantau Asia, yang kini menjadi pusat tumpuan pertumbuhan penduduk global. Seiring pertambahan populasi, cabaran seperti kesesakan, keperluan perumahan mampu milik, pengangkutan awam serta pengurusan alam sekitar dijangka semakin ketara.
Di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, perkembangan ini menjadi peringatan agar perancangan bandar, infrastruktur dan dasar sosial diperkukuhkan bagi memastikan pertumbuhan penduduk masa hadapan dapat diurus dengan lebih berkesan.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
