Perkhidmatan Persekutuan untuk Penyeliaan Komunikasi, Teknologi Maklumat dan Media Massa Rusia (Roskomnadzor) telah mengharamkan ciri panggilan video FaceTime di Rusia. Mereka mendakwa bahawa FaceTime merupakan alat komunikasi yang boleh digunakan untuk merancang dan melaksanakan serangan pengganas, merekrut penjenayah, serta melakukan penipuan dan pelbagai jenayah lain terhadap rakyat Rusia.
Pengguna Apple di Rusia melaporkan bahawa panggilan video FaceTime tidak dapat disambungkan apabila mereka cuba menjawabnya. Jika mereka cuba memulakan panggilan FaceTime, peranti pula memaparkan notifikasi “Pengguna tidak boleh dihubungi”.
Malah, pada hari sebelumnya Roskomnadzor turut menyekat akses kepada Roblox di Rusia selepas platform itu didakwa menyebarkan propaganda LGBTQ+ serta kandungan berunsur ekstremisme.
Sejak melancarkan serangan ke atas Ukraine, Rusia semakin giat menyekat pelbagai aplikasi dari luar negara. Dua tahun lalu, kerajaan turut melarang penjawat awam daripada menggunakan peranti Apple selepas FSB, agensi perisikan Rusia menuduh Apple bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mengintip peranti milik kakitangan kerajaan.
Langkah terbaharu ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Rusia untuk mengetatkan kawal selia terhadap platform teknologi asing, sambil memperkukuh ekosistem digital domestik.
Penganalisis berpendapat tindakan itu bukan sahaja bertujuan melindungi maklumat dan keselamatan negara, tetapi juga untuk menghadkan pengaruh luar yang dianggap boleh menggugat kestabilan politik serta sosial negara tersebut.
Artikel berkaitan: Singapura Haramkan Pelajar Sekolah Menengah Guna Telefon dan Jam Tangan Pintar Bermula 2026
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
Sumber: Reuters
