Seiring perkembangan teknologi, pelbagai negara kini mula meneroka penggunaan robot dan sistem automasi untuk membantu tugas harian manusia. Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan serta menyesuaikan diri dengan keperluan bandar moden.
Di Malaysia, TV3 telah memperkenalkan pengacara AI terbaharu bernama Sofea, manakala di China pula pihak berkuasa mula menugaskan robot humanoid, bernama ‘Hangxing No.1’, di persimpangan sibuk Binsheng Road, Hangzhou.
Robot setinggi 1.8 meter ini dilengkapi dengan kamera, pelbagai sensor, sistem isyarat tangan seakan polis trafik serta wisel digital.
Peranannya termasuk mengatur pergerakan kenderaan, motosikal dan pejalan kaki, di samping menyelaraskan arahan bersama sistem lampu isyarat.
Ia juga mampu mengesan pelanggaran undang-undang seperti penunggang tidak memakai topi keledar, pemandu yang melepasi garisan henti, serta pejalan kaki yang melintas ketika lampu merah.
Apabila kesalahan berlaku, robot ini akan mengeluarkan amaran suara, merakam kejadian dan menghantar data tersebut ke pangkalan maklumat polis.
Selain itu, ia boleh beroperasi selama 6 hingga 8 jam menggunakan bateri yang boleh diganti sendiri tanpa memerlukan campur tangan manusia.
Pada peringkat awal pelaksanaannya, pegawai polis ditempatkan berdekatan sebagai langkah berjaga-jaga untuk melakukan campur tangan sekiranya diperlukan.
Inovasi ini mendapat sambutan positif daripada penduduk tempatan yang melihatnya sebagai usaha meningkatkan disiplin pengguna jalan raya, di samping berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja polis.
Pada masa hadapan, ‘Hangxing No.1’ dijangka dilengkapi dengan model bahasa berskala besar bagi membolehkan interaksi suara dan kawalan arahan yang lebih semula jadi, sekali gus menjadikannya lebih mesra pengguna serta meningkatkan kecekapan pengurusan trafik di kawasan bandar.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
Sumber: Techeblog
