Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Sivaraj Chandran mendedahkan bahawa purata sekitar 18 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis setiap hari. Anggaran itu diperoleh daripada jumlah 4,875 kes kemuflisan yang direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menurut laporan Astro Awani, jumlah kes tersebut mencatat peningkatan sebanyak 5.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Daripada keseluruhan kes, 71.6 peratus melibatkan hutang antara RM500,000 hingga RM1 juta, manakala 20.6 peratus lagi membabitkan hutang antara RM100,000 hingga RM500,000.
Tambah Senator, pinjaman peribadi terus menjadi penyumbang terbesar kepada kemuflisan, menyumbang 45.1 peratus daripada keseluruhan kes, menunjukkan tahap kawalan kredit yang terlalu longgar sehingga generasi muda mudah terjerat dalam hutang besar.
Keadaan ini menandakan bahawa belia kini ditekan dari dua penjuru, iaitu kos hidup yang meningkat serta akses kredit yang terlalu mudah diperoleh.
Tanpa literasi kewangan yang mencukupi dan sistem penilaian kredit yang bertanggungjawab, segala bentuk insentif, geran atau skim kerajaan tidak lagi membawa makna apabila belia memulakan kehidupan dewasa dengan beban hutang yang berat.
Artikel berkaitan: Lebih 3,600 Penjawat Awam Diisytihar Bankrap Sejak 2020
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
