Ucapan Selamat Hari Krismas sering disebut sebagai Merry Christmas, atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai ‘Selamat Hari Natal’.
Namun, pernahkah anda terfikir mengapa istilah ‘Natal’ digunakan? Dalam artikel ini, kami akan mengupas asal-usul dan etimologi istilah Natal yang sarat dengan sejarah, serta menjelaskan penggunaannya yang meluas dalam konteks perayaan Krismas.
Asal usul perkataan ‘Natal’
Perkataan ‘Natal’ berasal daripada istilah Latin natalis yang bermaksud kelahiran. Dalam konteks perayaan keagamaan, Natal merujuk kepada kelahiran Jesus Christ. Istilah ini kemudiannya digunakan secara meluas dalam pelbagai bahasa untuk merujuk kepada sambutan Krismas, termasuk dalam bahasa Melayu.
Dari sudut etimologi, asal-usul perkataan Natal direkodkan daripada bahasa Latin, yang diambil daripada kata natus bermaksud ‘dilahirkan’. Penggunaan istilah ini di rantau ini turut dipengaruhi oleh penjajahan Portugis, memandangkan dalam bahasa Portugis, perkataan Natal sememangnya digunakan untuk merujuk kepada perayaan Krismas. Di Portugal, ucapan Krismas biasanya disebut sebagai Feliz Natal, yang membawa maksud ‘Selamat Hari Natal’.
Penggunaan perkataan ‘Natal’
Secara umumnya, istilah ‘Natal’ digunakan sebagai ucapan kepada mereka yang meraikan Krismas. Selain itu, perkataan ini turut diaplikasikan dalam pelbagai konteks lain. Dalam bidang perubatan, misalnya, istilah pra-natal dan pasca-natal digunakan bagi merujuk kepada tempoh sebelum dan selepas kelahiran bayi.
Perkataan ‘Natal’ juga digunakan sebagai nama sebuah bandar di Brazil yang terkenal sebagai destinasi pelancongan. Seiring dengan maknanya yang berkait rapat dengan kelahiran, istilah ini turut digunakan dalam kajian astrologi melalui carta natal, yang dipercayai menggambarkan pembentukan personaliti seseorang berdasarkan tarikh kelahirannya.
Siapa lagi yang menyebut perkataan ‘Natal’
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, penggunaan istilah ‘Natal’ yang kita amalkan hari ini berasal daripada pengaruh bahasa Portugis. Namun begitu, bukan hanya masyarakat Portugis yang menggunakan istilah tersebut dalam ucapan perayaan. Beberapa negara lain turut mengamalkannya.
Di negara jiran, Indonesia, istilah ‘Natal’ lebih kerap digunakan berbanding ‘Krismas’ dalam konteks sambutan ini. Selain itu, di Itali, perayaan Krismas turut disambut dengan ucapan Buon Natale.
Sebagai penutup, tahukah anda bahawa nama ‘Natalie’, seperti yang digunakan oleh pelakon Natalie Portman, Natalie Dormer dan penyanyi Natalie Imbruglia juga mempunyai kaitan dengan makna yang sama, iaitu merujuk kepada peristiwa kelahiran Jesus Christ.
Semoga perkongsian ini memberi ilmu baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
