Data pasaran pekerjaan Malaysia menunjukkan bahawa secara purata, pekerja muda berusia dalam lingkungan 20-an, khususnya daripada Generasi Z (Gen Z) dan milenial, merupakan antara kumpulan yang paling kerap menukar pekerjaan. Tempoh kekal bekerja paling lama bagi kumpulan ini dilaporkan sekitar 18 bulan sahaja.
Menurut tinjauan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), budaya ini dilihat berlaku lebih ketara selepas tempoh pembayaran bonus akhir tahun. Berikutan budaya ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mendapati kecenderungan ini didorong oleh beberapa faktor utama, antaranya keinginan pekerja muda terhadap tahap fleksibiliti kerja yang lebih tinggi, ketidaksepadanan antara jangkaan pekerjaan dengan realiti sebenar di tempat kerja, hasrat untuk mencapai kemajuan kerjaya dengan lebih pantas serta keinginan memanfaatkan peluang pekerjaan yang lebih baik melalui platform pengambilan digital.
Walau bagaimanapun menurut laporan The Star, budaya ini didapati tidak selari dengan pencapaian pendapatan yang setimpal, memandangkan ganjaran gaji dan faedah yang lebih tinggi lazimnya hadir bersama pengalaman kerja yang lebih tersusun serta kadar pusing ganti pekerja yang lebih rendah. Keadaan ini bertentangan dengan pendekatan yang diamalkan oleh sebahagian pekerja muda di negara ini.
Seiring dengan itu, selain menilai semula pendekatan dalam membina pengalaman kerja, MEF turut menggesa pekerja muda di Malaysia agar membangunkan set kemahiran yang lebih menyeluruh di samping melaksanakan peranan semasa. Pendekatan ini bukan sahaja mampu meningkatkan nilai dan kualiti tenaga kerja, malah memastikan kebolehpasaran serta kerelevanan mereka selari dengan keperluan pasaran tenaga kerja masa hadapan.
Artikel berkaitan: Generasi Z Ubah Budaya Tempat Kerja, Utamakan Fleksibiliti Dan Tujuan Hidup
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
