Terdapat beberapa tabiat yang sering dianggap tidak memberi manfaat dan dilabel sebagai tidak produktif. Namun sebenarnya, tabiat-tabiat ini sedikit sebanyak boleh membantu anda dalam membina kerjaya pada masa kini.
Hakikatnya, tabiat yang sering dipandang remeh, berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan atau membuka peluang kerjaya, terutamanya apabila disertai dengan minat yang mendalam serta pemahaman yang betul.
Berikut kami kongsikan beberapa tabiat kecil yang mungkin kelihatan biasa, tetapi sebenarnya mampu memberi manfaat kepada perkembangan kerjaya anda.
1. Melayari media sosial
Pada masa kini, hampir setiap orang mempunyai akaun media sosial dan ramai yang menghabiskan masa melayarinya untuk mengikuti perkembangan maklumat serta trend terkini.
Individu yang peka terhadap jenis kandungan (content) yang mendapat sambutan tinggi, waktu siaran yang sesuai serta gaya komunikasi yang berkesan sebenarnya mempunyai kelebihan dalam bidang pemasaran dan komunikasi digital. Kemahiran ini juga boleh dimanfaatkan untuk memohon pekerjaan seperti:
- Pencipta kandungan (content creator) – menghasilkan bahan kreatif yang menarik dan relevan untuk pelbagai platform digital
- Pengurus media sosial (social media manager) – merancang strategi kandungan, mengurus interaksi pengguna dan meningkatkan kehadiran jenama dalam talian
- Penulis iklan (copywriter) – menghasilkan teks pemasaran yang berimpak
- Penganalisis produk (product analyst) – menilai tingkah laku pengguna serta keberkesanan ciri produk berdasarkan maklum balas dan data digital
2. Menonton filem
Bagi mereka yang gemar menonton filem atau drama, minat ini sebenarnya dapat membantu membina kepekaan terhadap struktur penceritaan serta memberi pemahaman tentang pelbagai elemen yang terlibat dalam sesebuah produksi.
Minat ini juga boleh dimanfaatkan dalam bidang kreatif dan media. Anda boleh mempertimbangkan untuk memohon pekerjaan seperti:
- Penerbit – menyelia keseluruhan proses penghasilan kandungan dan memastikan kualiti produksi
- Penulis skrip – membangunkan jalan cerita dan dialog yang menarik serta berkesan
- QA Tester – menilai kandungan atau produk digital dengan mengenal pasti ketidakkonsistenan dan kelemahan dari sudut pengalaman pengguna
3. Gemar bersosial
Gemar bersosial bukanlah satu perkara yang negatif. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa seseorang individu itu memiliki kemahiran komunikasi interpersonal yang baik. Keupayaan untuk memahami emosi orang lain, mengurus perbualan serta menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi sosial merupakan satu aset penting dalam banyak bidang kerjaya.
Individu yang sering dianggap sebagai ‘ekstrovert’ atau penghibur semula jadi sebenarnya mempunyai potensi besar dalam kerjaya yang melibatkan pengurusan manusia serta hubungan profesional.
Anda boleh memohon kerjaya seperti:
- Pengurus kejayaan pelanggan (CSM) -memastikan kepuasan pelanggan dan mengekalkan hubungan jangka panjang
- Sumber manusia (Human resource) – mengurus kebajikan pekerja, pembangunan bakat dan budaya organisasi
- Pengurus komuniti – membina dan menyelia komuniti, sama ada secara fizikal atau dalam talian, agar kekal aktif dan harmoni
4. Pemberi hadiah (Gift giver)
Sekiranya anda seorang yang gemar memberi hadiah, kebolehan ini sebenarnya menunjukkan anda peka terhadap keutamaan orang lain, bijak menilai bajet, memahami suasana serta mengambil kira kesan emosi sesuatu pemberian. Kepekaan seperti ini menandakan anda mempunyai tahap empati dan pemerhatian yang tinggi terhadap keperluan serta perasaan orang di sekeliling.
Kemahiran ini juga sangat bernilai dalam beberapa bidang kerjaya yang memerlukan pemahaman mendalam tentang tingkah laku dan pengalaman manusia. Antara kerjaya yang sesuai ialah:
Penyelidik UX (UX Researcher) – Individu dalam bidang ini perlu memahami tingkah laku pengguna, termasuk perbezaan antara apa yang mereka katakan mereka mahukan dan apa yang sebenarnya memberi kepuasan kepada mereka. Empati dan keupayaan memahami manusia merupakan teras utama dalam bidang UX.
Pakar strategi pengalaman pelanggan (Customer experience strategist) – Peranan ini melibatkan perancangan keseluruhan perjalanan pelanggan, bermula daripada peringkat penemuan produk, keterujaan untuk mencuba sehingga mencapai tahap kepuasan. Pendekatan ini membantu organisasi mereka bentuk pengalaman pelanggan yang lebih bermakna dan berkesan.
Pemasar produk (Product marketer) – Dalam bidang ini, kebolehan mempersembahkan sesuatu produk dengan cara yang menarik, bermakna dan relevan kepada pelbagai jenis pelanggan sangat penting. Ia berkait rapat dengan strategi pemesejan (messaging strategy) yang memastikan sesuatu produk difahami dan dihargai oleh sasaran pengguna.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
Sumber: Talent Labs
