Rasanya kita semua boleh bersetuju bahawa tahun 2026 merupakan antara tahun yang paling meriah dengan kemunculan lagu Raya baharu daripada artis dan influencer tempatan. Walaupun lagu-lagu Raya klasik sentiasa dekat di hati penulis, kita juga wajar berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghargai serta menerima karya-karya baharu yang dihasilkan.
Seiring dengan perkembangan industri muzik, banyak lagu Raya moden yang tampil dengan elemen segar, catchy dan sesuai dengan citarasa semasa. Oleh itu, dalam artikel kali ini, kami kongsikan 5 lagu Raya baharu 2026 yang pada pandangan penulis bukan sahaja sedap didengar, malah sangat sesuai dijadikan muzik latar untuk posting Instagram, story mahupun video TikTok anda nanti.
1. Jodoh Lebaran – Aisha Retno
Jika tahun lalu beliau tampil dengan single lagu Raya Ketipang Ketipung Raya berduet bersama Aziz Harun, tahun ini Aisha Retno terus mengekalkan momentum menerusi lagu Raya terbaharu berjudul Jodoh Lebaran.
Menurut Aisha Retno, lagu tersebut mengangkat kisah seorang wanita yang mengharapkan kehadiran pasangan di pagi Syawal, selari dengan inti pati liriknya. Menariknya, Jodoh Lebaran merupakan hasil idea sepenuhnya daripada beliau sendiri dan turut diproduksi bersama adiknya, Raditya selaku penerbit.
Difahamkan, lagu ini juga mendapat sambutan yang positif daripada pendengar di Indonesia, sekali gus membuktikan daya tarikannya merentasi sempadan.
2. Bila Lagi Nak Jumpa – Faizal Tahir, Senariounion
Meskipun Faizal Tahir sibuk dengan misi bantuan Ramadan di Aceh, beliau tetap sempat menghasilkan lagu Raya terbaharu berjudul Bila Lagi Nak Jumpa, hasil kolaborasi bersama Senariounion. Bagi mereka yang rindu dengan sentuhan muzik Senariounion, lagu ini pasti tidak mengecewakan, sesuai untuk didengar sambil berjoget dan memeriahkan suasana Raya.
3. Senyum Gugur di Penghujung Doa – Dayang Nurfaizah
Lagu Raya terbaharu hasil ciptaan Hael Husaini ini mengambil pendekatan berbeza apabila dibawakan dengan penuh emosi oleh Dayang Nurfaizah. Menurut Hael, lagu Senyum Gugur di Penghujung Doa ini didedikasikan khas buat mereka yang menyambut Aidilfitri dalam suasana yang berbeza atau sedang menempuh saat-saat duka, menjadikannya sebuah lagu Raya yang bukan sekadar meriah, tetapi juga menyentuh hati.
4. Pok Pek Raya – De Fam
Jika pada Hari Raya 2024 mereka terkenal dengan lagu Alamak Raya Lagi, tahun 2026 mereka kembali dengan single Raya baharu berjudul Pok Pek Raya. Lagu ini mengangkat kisah gelagat mereka ketika beraya, sambil berbual tanpa henti mengenai pelbagai perkara.
Antara topik yang sering menjadi bualan pada musim perayaan termasuklah soalan klasik seperti “bila nak kahwin?”, “tiada anak lagi?”, serta gosip semasa. Lagu raya ini memaparkan realiti sebenar suasana Hari Raya yang berlaku setiap kali berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan-rakan, sambil mengekalkan elemen lucu dan menghiburkan.
5. Inikan Hari Raya – Syasya Rizal
Bekas anggota Dolla, Syasya, telah melancarkan single terbaharunya bertajuk Inikan Hari Raya, yang menyampaikan mesej lebih dekat dengan realiti iaitu Raya sebenarnya tentang rasa cukup, kebersamaan, dan kenangan kecil bersama orang tersayang.
Menurut Syasya, beliau turut terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu ini. Inspirasi lagu ini datang daripada pemerhatiannya terhadap cara masyarakat menyambut Raya pada hari ini. Dalam dunia media sosial, sambutan perayaan sering kelihatan sempurna, dengan rumah besar, pakaian sedondon, dan kemeriahan yang mewah. Namun hakikatnya, tidak semua orang menyambut Raya dengan cara yang sama, dan itulah yang cuba diketengahkan dalam lagu ini.
Apa pendapat anda dengan lagu-lagu Raya baharu tahun 2026 ini?
Artikel berkaitan: Tradisi Hari Raya Yang Semakin Ditelan Zaman
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
