Kita selalu beranggapan bahawa HR mengetahui segala-galanya dan mampu menyelesaikan setiap masalah di tempat kerja. Sebenarnya, mereka juga manusia biasa dengan peranan dan tanggungjawab yang tersendiri. Kita tidak boleh hanya bergantung pada HR semata-mata. Kejayaan dan kesejahteraan kerjaya juga bergantung pada inisiatif diri sendiri.
Oleh itu, dalam artikel ini kami akan kongsikan 10 perkara yang HR tidak bertanggungjawab di tempat kerja.
1. Menguruskan pertumbuhan kerjaya (career growth) anda
Walaupun HR menyediakan pelbagai platform pembangunan seperti latihan dan bimbingan, tanggungjawab untuk mengembangkan kerjaya tetap terletak pada individu. Sikap proaktif dalam menetapkan matlamat, meningkatkan kemahiran dan mendapatkan maklum balas adalah kunci kepada kemajuan kerjaya. Individu yang berjaya biasanya tidak menunggu peluang, sebaliknya mereka berusaha mencipta dan merebut peluang yang ada.
2. Memperbaiki setiap konflik
Dalam persekitaran kerja, konflik kecil tidak dapat dielakkan. Namun, bukan semua isu memerlukan campur tangan HR. Sebaliknya, pekerja digalakkan untuk menangani perselisihan secara langsung melalui komunikasi terbuka dan sikap profesional. Mendengar dengan empati, memahami sudut pandang orang lain serta fokus kepada penyelesaian adalah kunci utama. HR hanya bertindak apabila situasi menjadi serius atau melibatkan pelanggaran dasar.
3. Menggembirakan semua orang
HR tidak bertanggungjawab untuk menggembirakan semua orang pada setiap masa. Sebaliknya, peranan mereka adalah untuk membuat keputusan yang adil, telus dan berpandukan polisi syarikat. Ada kalanya keputusan yang dibuat mungkin tidak popular, namun ia tetap diperlukan demi kepentingan jangka panjang organisasi. Sikap profesional dan keterbukaan dalam menerima keputusan akan membantu mewujudkan suasana kerja yang lebih matang dan stabil.
4. Menentukan kenaikan pangkat anda
Kenaikan pangkat tidak ditentukan oleh HR semata-mata, sebaliknya bergantung kepada prestasi kerja, keperluan perniagaan serta pertimbangan daripada pihak atasan. HR berperanan untuk memudahkan proses dan memastikan ia dilaksanakan secara adil serta telus, namun mereka tidak mempunyai kata putus dalam keputusan akhir.
5. Bersikap neutral dalam perselisihan
HR berperanan sebagai pihak neutral yang memastikan keputusan dan tindakan selaras dengan kepentingan organisasi. Ini tidak bermakna kebimbangan atau isu yang dibangkitkan pekerja diabaikan, tetapi HR bertanggungjawab mengimbangi perspektif semua pihak. Mereka tidak akan mengambil pihak secara automatik. Tujuan utama adalah memastikan proses adil dan objektif, bukannya memihak kepada mana-mana individu.
6. Memperbaiki pengurus (manager) yang toksik
HR boleh beri latihan dan maklum balas untuk membantu pengurus bertindak lebih baik, tapi HR tak boleh memaksa seseorang berubah. Kalau masalah pengurus toksik berterusan, itu keputusan organisasi untuk tangani. Pekerja pula disarankan dokumentasikan isu dan laporkan melalui saluran betul supaya tindakan boleh diambil secara adil.
7. Mengendalikan isu-isu bukan berkaitan kerja
Kehidupan peribadi anda adalah tanggungjawab anda sendiri. HR boleh memberi panduan atau merujuk kepada sumber sokongan emosi dan sebagainya, tetapi mereka tidak bertanggungjawab menyelesaikan masalah peribadi anda.
8. Memperbaiki kemudaratan kesihatan mental daripada kepimpinan yang lemah
Menawarkan sokongan sahaja tidak cukup untuk membetulkan kesan negatif yang mungkin ditimbulkan oleh kepimpinan yang lemah atau toksik. HR boleh menyediakan sokongan, sumber kaunseling dan panduan, tetapi HR tidak mempunyai kuasa untuk “menyembuhkan” tekanan, kecelaruan atau kemudaratan emosi yang timbul akibat keputusan atau tingkah laku pihak pengurusan.
Tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan mental bukan terletak sepenuhnya pada HR. Organisasi secara keseluruhan termasuk kepimpinan perlu bertindak untuk membina persekitaran kerja yang sihat.
9. Peramal masa depan
HR bukan peramal masa depan yang tahu segala perkara yang bakal berlaku.Jangan mengharapkan mereka meramalkan apa yang akan berlaku pada suku berikutnya, terutamanya apabila pihak kepimpinan sering mengubah hala tuju setiap minggu. HR berfungsi untuk melaksanakan dasar, memudahkan proses dan menyokong pasukan, tetapi mereka tidak boleh meneka atau mengawal keputusan strategik yang sentiasa berubah.
10. Membaca fikiran
HR tidak mampu membaca fikiran. Mereka tidak dapat memenuhi keperluan atau harapan yang tidak dikomunikasikan secara jelas. Lebih berkesan untuk bersikap terbuka dan jujur dalam menyampaikan keperluan, masalah atau cadangan, daripada mengharapkan orang lain meneka apa yang anda mahukan. Komunikasi yang jelas dan terus-terang membantu HR membuat keputusan yang lebih tepat dan adil, serta mengelakkan salah faham.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda.
Artikel berkaitan: HR Minta Slip Gaji Semasa Temu Duga? Jangan Panik! Ini Apa yang Anda Perlu Tahu
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
Sumber: LinkedIn, Hacking HR
