10 Atlet Kebangsaan Mengharumkan Nama Malaysia di Persada Dunia!

Posted by
 
Sudah menjadi kebiasaan bahawa sukan mampu menyatukan rakyat Malaysia apabila kita mengetepikan jurang perbezaan dan bersatu memberi sokongan padu kepada atlet-atlet yang berjuang demi negara di arena sukan antarabangsa. Pada masa yang sama, kisah kejayaan atlet-atlet kebangsaan di peringkat antarabangsa perlu dijadikan sebagai pencetus inspirasi buat pelapis-pelapis baharu dalam meraih kejayaan dalam bidang masing-masing. Sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-62, kami akan mengupas tentang 10 atlet kebangsaan yang berjaya menaikkan nama Malaysia di persada dunia!
 
 

1. Datuk Lee Chong Wei

Atlet badminton no. 1 negara ini merupakan idola bagi setiap peminat sukan tanah air. Selain memenangi beberapa kejohanan dunia seperti Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, beliau juga pernah berjaya menduduki tempat pertama di tahap antarabangsa selama 349 minggu. Antara pencapaian beliau yang paling membanggakan di persada dunia termasuk memenangi pingat emas dalam acara Perseorangan Lelaki di Sukan Komanwel pada tahun 2006, 2010 dan 2018 serta memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016. Beliau telah mengumumkan persaraan dari sukan itu badminton/tersebut pada 13 Jun 2019 atas faktor kesihatan dan kini dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia (Chef de Mission) oleh Majlis Olimpik Malaysia untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kejayaan Datuk Lee Chong Wei serta tahap komitmen yang luar biasa beliau perlu dijadikan iktibar buat generasi muda yang ingin mengikut jejak langkah beliau dalam mencapai kejayaan dalam bidang yang ingin diceburi.

 

2. Datuk Nicol Ann David

Datuk Nicol Ann David merupakan pemain skuasy profesional kebanggaan setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Beliau adalah antara ikon sukan negara yang paling dikasihi dengan pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa selama lebih daripada 20 tahun. Beliau merupakan pemain pertama yang berjaya memegang gelaran pemain skuasy no. 1 dunia selama 9 tahun berturut-turut. Beliau telah mengecapi kesemua kejayaan dalam karier beliau, termasuk bergelar juara dunia sebanyak lapan kali, selain memenangi lima pingat emas di Sukan Asia, dua pingat emas di Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA). Setelah membuat penampilan terakhir sebagai atlet skuasy negara dalam Kejohanan Skuasy Terbuka British pada bulan Mei lepas, Datuk Nicol akan terus aktif dalam membantu membangunkan pelapis-pelapis muda sebagai jurulatih dengan berkongsi ilmu dan kemahiran bersama jurulatih yang sedia ada.

 

3. Pandelela Rinong
 
Penerjun kelahiran Kampung Jugan, Sarawak ini merupakan atlet terjun Malaysia pertama yang berjaya memenangi pingat dalam Sukan Olimpik 2012 di London menerusi acara 10 meter platform individu wanita, selain menjadi pembawa bendera wanita pertama Malaysia dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik tersebut. Pandelela juga berjaya meraih pingat perak dalam platform seirama 10 meter bersama Cheong Jun Hoong di SSukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 di Rio de Janeiro, sekaligus menjadi pasukan wanita negara pertama untuk memenangi pingat perak di Sukan Olimpik. Tambahan pula, beliau merupakan penerima Anugerah Ikon Belia Sukan sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak pada tahun 2016 serta pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan dari Universiti Malaya. Lebih menarik lagi, nama beliau telah diabadikan di Sarawak dengan penamaan semula “Pusat Akuatik Petra Jaya” sebagai “Pusat Akuatik Pandelela Rinong”.
 
 
 
4. Azizulhasni Awang
 
Dikenali sebagai The Pocket Rocketman, atlet kelahiran Dungun, Terengganu ini telah mencipta sejarah sebagai pelumba basikal pertama negara meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Antara kejayaan lain beliau termasuk memenangi pingat emas dalam Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2017 di Hong Kong, pingat perak pada Kejohanan Dunia 2009 dalam kategori pecut dan pingat perak pada Kejohanan Dunia 2010 dalam kategori keirin. Selain itu, beliau juga dinamakan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2017 serta menjadi pembawa bendera Jalur Gemilang dalam acara pembukaan rasmi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Beliau akan menyahut cabaran dalam penyumbangan emas pertama negara di Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun pada tahun hadapan!
 
 
 
5. Julian Yee
 
Julian Yee bukan sahaja telah meraih kejayaan dalam memenangi pingat emas dalam acara luncur ais berirama lelaki di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, malah beliau merupakan atlet luncur ais pertama negara mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan! Atlet kelahiran Petaling Jaya tersebut telah menduduki tempat keenam pada Kejohanan Trofi CS Nebelhorn ke-49 di Jerman pada tahun 2017 yang melayakkan beliau ke Pyeongchang 2018 selain menjadi atlet pertama negara yang berjaya menyertai Kejohanan Luncur Ais Berbunga Dunia (World Figure Skating Championships). Tambahan pula, Julian telah meraih kejayaan sebagai juara sebanyak lima kali dalam kejohanan negara sebelum mewakili negara dalam Sukan SEA 2017.
 
 
 
 
6. Faiz Subri
 
Jika anda masih ingat jaringan luar biasa dalam perlawanan bola sepak menentang Pahang pada tahun 2016, pasti anda ingat kehebatan pemain tengah bagi pasukan Pulau Pinang iaitu Faiz Subri! Jaringan tersebut telah menjadi bualan hangat di Malaysia serta mendapat perhatian seluruh dunia pada ketika itu dan menjadikan beliau sebagai pemain bola sepak negara pertama memenangi Anugerah FIFA Puskas 2016! Aksi jaringan yang dianggap ‘melawan hukum fizik’ tersebut telah mengutip undi sebanyak 59.46%, menewaskan aksi jaringan Marlone dari Brazil dan pemain bola sepak wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez. Malah, video jaringan tersebut telah mencuri tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia dengan jumlah tontonan sebanyak 2,362,950 kaliKejayaan beliau dalam meraih anugerah berprestij tersebut merupakan pencapaian yang sangat membanggakan buat Malaysia dan menjadi pembakar semangat buat pelapis-pelapis baharu dalam usaha untuk terus memajukan sukan bola sepak negara.
 
 
 
 
7. Khairul Idham Pawi
 
Diberi jolokan sebagai “Super Kip”, pelumba motosikal kelahiran Perak tersebut telah melakar sejarah sukan pemotoran negara dengan menjuarai Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina 2016 dan Jerman 2016. Beliau turut mencipta kejutan selaku atlet pemotoran negara pertama yang menaiki podium selepas tamat di tempat kedua pada Kejuaraan Dunia Remaja Moto3 CEV Repsol 2016 di Le Mans, Perancis. Pada ketika itu, Khairul merupakan pelumba motosikal negara termuda yang mengungguli kejayaan di peringkat antarabangsa pada usia 17 tahun! Sebelum menyertai kejohanan peringkat antarabangsa sebagai pelumba profesional pada tahun 2015, Khairul telah memenangi kejuaraan pertama dalam saingan Piala Impian Asia (Asian Dream Cup) pada tahun 2013 dan pernah menjuarai tempat pertama dalam persaingan tersebut pada tahun berikutnya. Tahun ini menyaksikan “Super Kip” berentap dalam kategori Moto2 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing Team dan menjadi antara tumpuan penting pada Grand Prix Motosikal Malaysia 2019 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, 1 hingga 3 November ini. 
 
 
 
 
8. Ridzuan Puzi
 
Nama Ridzuan Puzi dan tarikh ‘keramat’ 10 September 2016 sememangnya terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia apabila beliau melakar sejarah negara yang sangat luar biasa dalam Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Sementara rakyat Malaysia sedang tidur pada ketika itu, Ridzuan atau dikenali sebagai Mr. Dash, berjaya meraih pingat emas pertama negara dalam acara 100m T36 (celebral palsy). Beliau juga memenangi Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada tahun 2015 susulan kejayaan meraih pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Qatar dan Sukan Para Asean Singapura. Kemenangan beliau di Sukan Paralimpik 2016 tersebut juga merupakan pencapaian yang paling cemerlang dalam arena sukan negara serta memberi makna yang sangat mendalam kepada semua lapisan masyarakat apabila terbukti, atlet-atlet paralimpik negara seperti beliau mampu mencapai kejayaan yang sama seperti atlet-atlet biasa!
 
 
 
 
9. Ziyad Zolkefli
 
Setelah Ridzuan Puzi meraih kemenangan pingat emas pertama untuk negara, tiba pula Ziyad Zolkefli mencipta sejarah sukan negara pada Sukan Paralimpik Rio 2016. Beliau bukan sahaja berjaya menyumbang pingat emas kedua negara dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran), malah sekaligus berjaya memecahkan rekod dunia dengan catatan 16.84 meter berbanding rekod dunia sejauh 16.29 meter yang dicatatkan oleh Todd Hodgetts dari Australia pada Sukan Paralimpik London 2012!  Pada tahun berikutnya, Ziyad sekali lagi berjaya memecahkan rekod dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London dengan melakukan lontaran sejauh 17.29 meter. Kehidupan sebagai peniaga char kuey teow di Jalan Tunku Abdul Rahman memotivasi beliau agar berusaha keras dan sentiasa gigih tanpa kenal erti lelah demi mencapai impian menjadi atlet Paralimpik bertaraf dunia. Melampaui batas fizikal, beliau telah berjaya memperoleh kemenangan yang membanggakan serta mengharumkan nama negara di temasya sukan antarabangsa.
 
 
 
 
10. Latif Romly
 
Semangat #KitaLuarBiasa di pentas Sukan Paralimpik Rio 2016 diteruskan oleh kehebatan Latif Romly dengan satu lagi pencapaian luar biasa untuk negara di temasya sukan tersebut. Beliau telah berjaya menghadiahkan pingat emas ketiga negara dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual), setelah menewaskan pesaing-pesaing lain dengan catatan 7.60 meter dalam lompatan kelima. Dengan kejayaan tersebut juga, terciptanya rekod dunia baharu, mengatasi rekod lama yang juga milik beliau iaitu 7.35 meter yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar pada tahun 2015. Ramalan telah ditepati kerana Latif merupakan antara atlet yang disebut-sebut sebagai prospek untuk memenangi pingat dalam Sukan Paralimpik 2016 selain mencatat kejayaan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.
 
 

Ada lagi atlet-atlet kebangsaan yang kami tidak sebut dalam artikel ini? Suarakan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa untuk layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaaan!


Sarah Sahadin or known as Sarah S., is a Digital Marketer-cum-Junior Graphic Designer and Malay-language content writer who writes career, lifestyle and current trending contents to engage Malay readers, informing about the latest trends happening around. Sarah also has a passion for motorsport (can be spotted at Sepang Circuit on some certain weekends) and enjoys manga illustration during her free time.

Reach me at sarah@jobstore.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *