Sebab Utama Pekerja Tolak Perubahan

Sebab Utama Pekerja Tolak Perubahan

Posted by

Perubahan ialah suatu situasi yang tidak dapat dielakkan dan tidak semua senang akan perkara tersebut. Sesebuah organisasi tidak kira kerajaan atau swasta pasti akan menghadapi keadaan di mana pihak pengurusan akan melaksanakan prosedur perubahan untuk memberi ruang kepada sistem baru demi kelancaran urusan kerja di masa akan datang. Antara sebab utama pekerja tolak perubahan di tempat kerja ialah:

Kehilangan Kerja

Dengan keadaan ketidakstabilan ekonomi di Malaysia, pernyataan diberhentikan kerja bukanlah sesuatu yang asing tidak kira berapa lama anda telah berkhidmat di sesebuah organisasi. Anda perlu bersedia secara mental dan fizikal untuk mengatasi apa jua cabaran yang bakal terjadi seperti kehilangan kerja.   

Perubahan ialah suatu proses yang penting untuk sebuah bisnes. Ianya terjadi apabila sesebuah organisasi memutuskan untuk mengubah sistem yang tersedia dengan yang baru untuk mengikuti aliran trend semasa untuk bersaing dengan organisasi-organisasi yang lain.

Kegagalan Berkomunikasi

Adalah penting bagi pihak pengurusan untuk kuasai kemahiran berkomunikasi bersama para pekerja. Komunikasi diibaratkan sebagai “nadi” kerana tanpa yang satu ini, proses pengurusan tidak dapat dilaksanakan dengan lancar. Pihak pengurusan organisasi juga tidak akan dapat bertukar informasi penting dalam memajukan bahagian kendalian masing-masing tanpa komunikasi yang betul.

Penggunaan komunikasi yang betul sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja menerima fasa perubahan yang sedang atau bakal terjadi di tempat kerja dengan baik. Seeloknya pihak pengurusan sentiasa terbuka untuk memberi penerangan yang sewajarnya kepada para pekerja. Elakkan daripada berdiam diri kerana tindakan tersebut akan menimbulkan kekeliruan bagi mereka.

Bimbang Dengan Keadaan Yang Tidak Pasti

Antara sebab utama pekerja tolak perubahan yang berlaku ialah berpunca daripada perlaksanaan perubahan tanpa pernyataan yang wajar daripada pihak pengurusan terlebih dahulu. Situasi ini dapat dilihat apabila perubahan (terutamanya yang dianggap sebagai perubahan negatif) diusulkan kepada pekerja yang terjejas tanpa sebarang amaran dan bantuan yang mencukupi.

Semasa dalam tempoh perubahan, para pekerja akan lebih berharap pada masa yang lalu di mana keadaan tersebut tampil lebih stabil buat mereka. Mereka khuatir jikalau prestasi kerja di masa akan datang tidak akan setanding dengan prestasi yang sekarang. Oleh itu, semakin banyak yang tidak dikongsikan oleh pihak pengurusan, semakin bimbang para pekerja dengan keadaan yang tidak pasti.

Ketidaksesuaian Masa

Setiap perubahan yang bakal berlaku memerlukan masa yang sesuai bagi mengelak daripada timbulnya kekecohan dan menghuru-harakan lagi fasa perubahan sesebuah organisasi. Pilihan masa yang sesuai sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja yang terjejas untuk menjadi lebih bersedia dengan cabaran akan datang. Oleh itu, sikap bertimbang rasa merupakan elemen penting bagi pihak pengurusan di saat-saat genting ini untuk faedah kedua belah pihak.

Ketiadaan Tawaran Ganjaran

Salah satu helah psikologi ialah penggunaan ganjaran sebagai motivasi dalam pengurusan kerja. Oleh itu, ketiadaan tawaran ganjaran daripada sesebuah organisasi menjadi salah satu sebab utama pekerja tolak perubahan. Mereka berfikiran bahawa tanpa ganjaran yang setimpal, tidak perlu mereka bersusah payah menyokong sebarang perubahan jangka masa panjang.

Sistem ganjaran sesebuah organisasi haruslah diubah seiring dengan perubahan yang bakal dilaksanakan. Ianya sekaligus dapat mengajak para pekerja untuk bersikap terbuka dengan fasa perubahan tersebut. Ganjaran pula boleh diberikan dalam apa jua bentuk yang tidak merugikan pihak pengurusan.

Kecenderungan Individu Terhadap Perubahan

Setiap individu mempunyai kecenderungan yang berbeza terhadap sesuatu perubahan. Sesetengah pekerja bersikap lebih terbuka dengan perubahan kerana peluang yang mereka perolehi untuk mempelajari perkara-perkara baru demi perkembangan kerjaya mereka.

Terdapat juga sesetengah pekerja yang tidak senang akan perubahan kerana mereka berasa selesa dengan rutin harian yang ada. Kesimpulannya, kecenderungan individu terhadap perubahan sememangnya bergantung kepada inisiatif sesebuah organisasi.

Cara Mengatasi Bantahan Pekerja Terhadap Perubahan

Komunikasi

Sebelum berkomunikasi dengan para pekerja mengenai perancangan perubahan organisasi, ambil kira elemen-elemen seperti ketepatan masa, sebab perubahan berlaku, rancangan di masa akan datang serta misi dan visi yang hendak dicapai. Selain daripada menggunakan jalur komunikasi seperti e-mel, ambil inisiatif untuk bincang secara bersemuka dengan mereka yang terjejas.

Kuasa Mendengar

Kuasa mendengar mempunyai impak yang kuat dalam membentuk sejenis sokongan buat para pekerja yang terjejas sepanjang fasa perubahan berlangsung. Dengarlah dengan hati dan minda yang terbuka. Pemimpin yang berkaliber ialah seseorang yang tahu untuk bertanya soalan-soalan yang betul dan kebolehan mereka untuk mendengar pelbagai jenis tindak balas daripada semua orang.

Jalan Penyelesaian Yang Sesuai

Penggunaan jalan penyelesaian yang sesuai adalah penting bagi mengelak daripada situasi yang akan mendatangkan kerugian buat sesebuah organisasi. Fokus dengan matlamat baru serta keberhasilan perubahan yang bakal dilakukan terhadap organisasi anda.

Adakah anda pernah melalui fasa perubahan ini di tempat kerja anda? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com juga untuk peluang pekerjaan baru, tip temuduga, dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *