9 Buku Wajib Baca Untuk Melangkah Maju Dalam Kerjaya

9 Buku Wajib Baca Untuk Melangkah Maju Dalam Kerjaya

Posted by

Buku-buku motivasi dapat memberi impak yang besar di dalam cara anda melihat diri sendiri di dalam dunia yang luas ini, dan bagaimana anda boleh membina kerjaya anda secara positif. Terdapat pelbagai buku motivasi daripada penulis-penulis dengan latarbelakang berbeza yang ada di pasaran sekarang. Kami ingin kongsikan 9 buku wajib baca untuk melangkah maju dalam kerjaya untuk rujukan para pembaca.

Sumber Gambar: goodreads

The Myth Of The Nice Girl – Fran Hauser

Di kebanyakan tempat kerja, kaum wanita sering dilanda diskriminasi yang menjatuhkan semangat mereka. Ramai berpendapat bahawa jika seorang wanita berkelakuan lemah-lembut, mereka dianggap sebagai lemah dan tidak berdaya saing, tetapi apabila mereka menonjolkan sikap tidak mudah melatah pula dianggap sebagai seorang yang keras hati.

The Myth of The Nice Girl oleh pengarang Fran Hauser ini boleh dijadikan sebagai motivasi untuk para wanita berkerjaya yang mahu kan kejayaan setimpal dalam kerjaya masing-masing tanpa meragui atau membelakangi kebolehan yang mereka ada sebagai seorang wanita.

Sumber Gambar: goodreads

Steal Like An Artist – Austin Kleon

Seorang artis tidak semestinya seseorang yang berjawatan sebagai kurator seni atau pereka. Waima dalam bidang perniagaan atau pengurusan sekalipun, kita semua sebagai pekerja adalah seorang artis yang mempunyai tahap kepakaran berbeza dalam bidang masing-masing.

Menerusi buku Steal Like An Artist, pengarang Austin Kleon mengupas tentang bagaimana kreativiti boleh membantu seseorang untuk menghasilkan kerja yang lebih memuaskan tanpa mengira latarbelakang kerjaya. Ketahui bagaimana caranya dengan 10 tips hasil kongsian Austin Kleon.

Sumber Gambar: goodreads

Rework – Jason Fried & David Heinemeier Hansson

Rework hasil nukilan dua pengarang bernama Jason Fried dan David Heinemeier Hansson mengupas tentang bagaimana untuk mengolah kembali urusan kerja dengan efektif tanpa memberi risiko terhadap perniagaan atau kerjaya anda.

Untuk menjadi seseorang yang berjaya, apa yang anda perlukan ialah berhenti berkata-kata dan mula bekerja kuat untuk masa hadapan yang lebih baik. Dengan penggunaan bahasa mudah difahami dan tip yang senang diikuti, buku ini didedikasikan kepada para pekerja yang memerlukan inspirasi.

Sumber Gambar: goodreads

Explosive Growth – Cliff Lerner

Explosive Growth adalah sebuah buku perniagaan yang telah mendapat banyak penarafan dan ulasan yang baik dari pembaca. Pengarang Cliff Lerner telah mendedahkan beberapa taktik pintar untuk pertumbuhan perniagaan, kajian-kajian kes, serta langkah-langkah demi membantu perniagaan startup anda berkembang dengan majunya.

Ditulis dengan jalan penceritaan santai dan diselitkan sedikit elemen komedi, Explosive Growth harus dimiliki oleh sesiapa yang berada dalam bidang pengurusan atau keusahawanan.  

Sumber Gambar: goodreads

Quiet – Susan Cain

Di sebalik kekecohan yang ada di sekeliling, terdapat sekurang-kurangnya satu per tiga orang di kalangan kita merupakan seorang yang pendiam atau introvert. Mereka ini adalah seseorang yang lebih suka mendengar dari berkata-kata. Di pejabat pula, mereka lebih suka bekerja bersendirian berbanding berkumpulan.

Dalam Quiet, Susan Cain berhujah mengenai introvert menerusi jalan penceritaan yang menarik serta dipenuhi dengan contoh-contoh orang ternama dengan personaliti yang sama. Buku ini boleh dijadikan sebagai inspirasi buat para introvert di luar sana untuk melangkah maju dalam kerjaya tanpa membelakangi ciri personaliti mereka yang unik itu.

Sumber Gambar: goodreads

The Happiness Advantage – Shawn Achor

Untuk mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan seharian adalah sukar dan tidak semua orang dapat melakukannya. Di sebalik rutin harian penuh dengan lambakan kerja, tekanan dan elemen-elemen negatif, kajian baru membuktikan bahawa formula sebenar kejayaan ialah kebahagiaan dan bukan sebaliknya.

Oleh itu, buku The Happiness Advantage oleh Shawn Achor mendedahkan beberapa prinsip yang mengetengahkan set minda yang positif demi mencapai kualiti kerja yang lebih bagus.

Sumber Gambar: goodreads

The 80/20 Principle – Richard Koch

Ingin tahu tentang rahsia kejayaan organisasi terkemuka dan orang-orang ternama? Prinsip 80/20 adalah jawapan yang anda cari untuk mencapai kejayaan dengan cara-cara yang lebih efektif dan menjimatkan masa.

Hasil nukilan Richard Koch, buku The 80/20 Principle ini akan mengongsikan cara-cara bagaimana seseorang boleh melangkah maju dalam kerjaya dengan memanfaatkan prinsip 80/20 tersebut. Ketahuilah bahawa 80 peratus hasil kejayaan kerjaya kita dapat dicapai dengan hanya memaksimakan 20 peratus usaha.

Sumber Gambar: goodreads

There’s No Plan B For Your A-Game – Bo Eason

Dikenali sebagai bekas atlet, jurulatih dan pakar kepimpinan yang terkenal, Bo Eason yang juga pengarang untuk buku berjudul There’s No Plan B For Your A-Game mengongsikan helah-helah yang seseorang perlukan untuk menjadi yang terbaik dalam bidang kerjaya serta kehidupan seharian mereka.

Antara tip yang bakal anda pelajari termasuk pembangunan kendiri, integriti, komitmen serta empat langkah yang dapat membantu anda untuk mencapai kemahiran dan mengekalkan usaha untuk mengharungi setiap cabaran yang ada dalam kerjaya anda.

Sumber Gambar: goodreads

The Go-Giver – Bob Burg & John David Mann

The Go-Giver oleh Bob Burg dan John David Mann adalah sebuah buku yang bakal mengubah pengurusan perniagaan serta kehidupan seseorang. Buku tersebut mengajar erti memberi adalah jauh lebih baik daripada menerima.

Ia menceritakan tentang seorang jurujual bernama Joe yang impikan kejayaan lalu mendapatkan nasihat daripada seseorang bernama The Chairman yang mengajar beliau tentang lima pengajaran berguna untuk melangkah maju dalam kerjaya beliau.

Apakah buku motivasi pilihan anda untuk melangkah maju dalam kerjaya? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com juga untuk peluang pekerjaan baru, tip temuduga, dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *