Cara Hubungkan Pekerja Merentas Generasi Yang Pelbagai

Cara Hubungkan Pekerja Merentas Generasi Yang Pelbagai

Posted by

Mempunyai empayar perniagaan yang berjaya merupakan impian setiap usahawan. Di tempat kerja, para pekerja tergolong dalam kalangan generasi yang pelbagai dan perhubungan sesama mereka kadang-kala tidak semuanya baik. Generasi yang berbeza ini mempunyai cara mereka tersendiri dari segala aspek yang boleh mempengaruhi pengurusan sesebuah organisasi.

Adalah menjadi satu tanggungjawab bagi pihak pengurusan untuk memastikan para pekerja mereka bergaul dengan baik. Ianya dapat menurunkan risiko perolehan, meningkatkan kepuasan pelanggan, lalu memberi peluang kejayaan yang lebih tinggi untuk sesebuah organisasi. Tidak kira apa jua kumpulan yang ada, terdapat beberapa cara hubungkan pekerja merentas generasi yang pelbagai.

1. Melayani Semua Orang Sebagai Seorang Individu

Cara seseorang menilai keadaan yang berlaku atau orang lain di sekeliling sering dipengaruhi oleh persepsi mereka sendiri atau norma-norma budaya. Personaliti seseorang pula dibentuk oleh pengalaman yang lepas atau yang sedang dilalui dari masa ke semasa, berserta keperibadian kendiri. Seiring dengan stereotaip terhadap sesebuah bangsa, etnik serta jantina, stereotaip seseorang terhadap suatu generasi juga tidak mewakili keseluruhan perkara sebenar.

Adalah penting untuk pihak atasan memberikan contoh yang baik demi kebaikan perhubungan pekerja merentas generasi yang pelbagai di tempat kerja. Salah satu tip ialah untuk melayani semua orang sebagai seorang individu, tidak kira generasi atau umur. Praktikkan amalan soal dan dengar bagi lebih memahami pemangkin peribadi seseorang dengan lebih baik.

2. Ambil Masa Untuk Berhubung Dengan Semua

Kebanyakan pekerja berpendapat bahawa hubungan positif yang terjalin antara rakan sekerja bersama pihak pengurusan sedikit sebanyak membantu mereka untuk berasa lebih produktif di tempat kerja.

Pihak pengurusan semestinya mempunyai pengaruh yang kuat dalam membentuk hubungan yang baik di antara semua di sesebuah organisasi. Walaupun ianya mengambil masa untuk berkomunikasi dengan semua, mereka seharusnya mengambil inisiatif untuk memahami secara mendalam apa yang mendorang para pekerja, dan cuba memberikan penyelesaian untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk cuba menjalin hubungan baik dengan para pekerja tidak kira generasi, seperti bertegur sapa dengan rakan sekerja jika terserempak atau mengadakan perjumpaan di mana semua orang boleh berkomunikasi antara satu sama lain.

3. Beri Perhatian

Memberi perhatian merupakan antara elemen penting dalam menghubungkan pekerja merentas generasi yang pelbagai. Melalui perhatian yang diberi, seseorang dapat mengenali rakan sekerja mereka dengan lebih baik seperti apakah yang membuatkan mereka teruja, apakah perkara yang mereka tidak sukai dan sebagainya.

Sebagai pihak pengurusan yang prihatin, sikap ini dapat membantu anda memberi perhatian terhadap nuansa suara yang berbeza. Ianya dapat memberi gambaran yang mendalam tentang cara yang betul untuk memotivasikan kesemua generasi yang terlibat.

Menerusi bengkel, bimbingan dan perundingan pembangunan kendiri, pihak pengurusan dapat mewujudkan perasaan tanggungjawab bersama untuk menghubungkan rakan sekerja merentas generasi yang pelbagai dengan baik, lantas mewujudkan budaya tempat kerja yang lebih positif buat semua.

4. Elakkan Stereotaip dan Berat Sebelah

Untuk menjayakan sesebuah pengurusan organisasi, amat penting untuk kita tidak menilai seseorang tanpa soal selidik. Apabila kita membuat sedemikian, secara tidak sedar kita mewujudkan stereotaip atau sikap berat sebelah yang menghasilkan pandangan negatif terhadap individu tersebut.

Antara cara terbaik yang pihak pengurusan boleh lakukan ialah membentuk sebuah kumpulan yang tergolong dengan pelbagai generasi dalam suatu masa. Ini akan memberi mereka peluang untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan satu sama lain. Selain itu, amalan ini turut boleh membantu memberikan asas yang kukuh untuk hubungan ‘mentor-mentee’ yang baik.

5. Budaya Kerja

Para pekerja millennial sering mendapat reputasi buruk di tempat kerja disebabkan kepayahan mereka untuk bergaul dengan yang lain. Manakala dari pandangan baby boomers pula, mereka tidak sehaluan dengan pekerja millennial kerana cara mereka bekerja tidak sama dengan yang lebih berpengalaman di sesebuah organisasi.

Demi menghasilkan perhubungan pekerja merentas generasi yang pelbagai dengan baik, ianya disarankan buat pihak pengurusan untuk mengamalkan budaya berkomunikasi dan mendengar sebagai budaya kerja yang sihat. Cara tersebut dapat dimanfaatkan demi menghasilkan kualiti serta suasana kerja yang lebih positif.

Pernahkah anda mengalami kesusahan untuk bergaul dengan generasi yang pelbagai di tempat kerja? Kongsikan dengan kami cara anda atasi masalah tersebut di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com juga untuk peluang pekerjaan baru, tip temuduga, dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *