Gosip di Pejabat

Gosip di Pejabat: Pernah Jadi Mangsa Gosip?

Posted by

Gosip di pejabat bukanlah sesuatu yang baru dan kebanyakan pekerja akan atau pernah mengalami sejenis dua gosip di pejabat. Mereka yang menyebarkan gosip ini seakan mempunyai terlampau banyak masa lapang di tempat kerja. Habis kesemua perkara digosipkan seperti hal syarikat, rakan sekerja, atau para pengurus masing-masing. Bahkan, jika anda tidak mengambil kisah tentang gosip di pejabat juga boleh dijadikan sebagai bahan gosip. Serba tidak kena semuanya!

Ada individu yang berpendapat bahawa gosip di tempat kerja membantu mereka berasa lebih ‘hidup’ di pejabat, atau ada juga individu terutamanya newbies yang menganggap penglibatan dalam kumpulan gosip tersebut dapat membantu mereka untuk menyesuaikan diri dengan rakan sekerja. Mungkin alasan tidak munasabah berikut boleh digunakan untuk individu yang tidak punya kerja lain.  

Tambahan pula, apakah manfaat yang anda akan terima dengan bergosip? Ketahui lah bahawa gosip di tempat kerja boleh merosakkan reputasi serta kerjaya anda jika tidak dikawal. Bagi mereka yang sering menjadi topik perbualan, ikuti 5 tips berikut bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa gosip di tempat kerja. 

 

5 Tips Elakkan Daripada Menjadi Mangsa Gosip

 

Jangan Kongsikan Maklumat Peribadi

Kadang-kala kita berkongsi tentang hal peribadi terhadap rakan sekerja hanya untuk meluahkan perasaan. Tetapi, apa yang akan terjadi jika anda terlebih kongsi dengan mereka? Tiba-tiba kesemua orang di pejabat tahu akan perkara peribadi tersebut. Tidak kiralah perkara apa pun; isu perkahwinan, kehidupan cinta atau masalah kewangan, jangan kongsikan maklumat peribadi dengan orang yang tidak dikenali waima rakan sekerja. Perbuatan anda itu hanya akan menambah bahan ‘perasa’ sahaja ke dalam gosip mereka.

Tips ini bukan penghalang untuk anda membentuk hubungan peribadi dengan rakan sekerja. Ianya sukar juga untuk bertahan di pejabat tanpa rakan. Namun, rahsia peribadi jika dikongsikan bukanlah rahsia lagi. Fikir masak-masak tentang keinginan untuk berkongsi maklumat peribadi dengan rakan sekerja kerana perbuatan tersebut dapat menjejaskan hubungan profesional antara kedua belah pihak.

Elakkan Hubungan Romantik Bersama Rakan Sepejabat

Hubungan percintaan bersama rakan sepejabat adalah salah sebuah topik gosip hangat di tempat kerja. Dalam kes ini, anda tidak perlu pun berkongsi maklumat tersebut dengan rakan sekerja. Mereka akan dapat menyaksikannya secara langsung di depan mata mereka. Perbuatan tersebut akan menjadikan anda dan pasangan sebagai bintang baru rancangan realiti di pejabat kalian.

Merahsiakan perhubungan adalah sesuatu yang sukar, terutamanya jika anda dan pasangan berada dalam kumpulan yang sama. Tiada apa yang boleh anda lakukan jika ianya telah diketahui ramai, tetapi janganlah terlalu menunjuk-nunjuk hubungan kalian di hadapan rakan sekerja pula. Tahan diri daripada public displays of affection (PDA) atau bergaduh di hadapan orang ramai. Be professional!

Kawal Emosi Anda

Tiada yang lebih menghiburkan daripada menyaksikan seseorang hilang kawalan emosi. Berwajah merah, tangan menggigil berserta dengan kata-kata makian anda akan menjadi tayangan khas buat kaki-kaki gosip. Lebihan masa di pejabat akan digunakan untuk mereka bergosip di belakang anda sambil menunggu detik anda ‘meletup’ lagi di kemudian hari.

Apabila terdapat sesuatu yang menimbulkan kemarahan di pejabat, ambil sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum menyelesaikan masalah tersebut. Jika anda berasa bahawa anda tidak boleh bercakap tanpa maki hamun, maka hindari daripada berkomunikasi dengan sesiapa pun. Ianya dapat membantu mengelakkan daripada menyumbang kepada bahan gosip di pejabat. Sekiranya seseorang menjadi punca kemarahan anda, selesaikan masalah dengan individu tersebut. Hindari daripada berbincang dengan orang yang tiada kena mengena.

Kawal Tingkah Laku Di Luar Pejabat

Anda mungkin berasa bahawa tiada siapa akan mengambil kisah dengan hal atau tingkah laku anda luar dari pejabat jika tidak dikongsikan. Benar, kecuali rakan sekerja ternampak akan perbuatan anda secara tidak sengaja. Red alert! Apa nak buat ni? Lari? Menyorok?

Anda tidak akan pernah tahu dengan siapa anda akan bertembung di luar pejabat. Sekiranya anda post akan aktiviti anda di laman media sosial peribadi, malah rakan sekerja turut merupakan followers anda, tidak mustahil untuk mereka aktifkan mod pengintip atau stalker mereka. Lagi teruk jika kelakuan buruk anda menyebabkan anda ditahan polis atau viral di dalam berita terkini.

Berpakaian Sewajarnya

Penampilan turut merupakan topik hangat di pejabat. Cuba anda hadir dengan berpakaian seperti hendak ke kelab malam atau berpakaian terlalu kasual seperti hendak ke pasar raya, nescaya penampilan tersebut akan menjadi topik perbualan di antara rakan sekerja anda sampai bila-bila.

Oleh itu, sentiasalah jaga penampilan anda untuk ke pejabat. Tidak kira sama ada sut atau jeans dengan T-shirt, ikutilah etika berpakaian pejabat anda. Cara pemakaian merupakan cerminan diri anda di tempat kerja, dan ianya boleh dijadikan bahan gosip lalu menjatuhkan reputasi seseorang jika tidak dijaga dengan baik.

Walaupun aktiviti bergosip ini nampak seronok, tetapi akibatnya adalah jauh lebih buruk dari yang anda sangkakan. Hindari daripada jadi mangsa gosip atau penyebar gosip di pejabat kerana;

“A gossip’s mouth is the devil’s postbag.” – Gaelic Proverb

 

Pernah jadi mangsa gosip di pejabat? Kongsikan pengalaman atau pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *