Rundingan Gaji

Rundingan Gaji: Tips yang Dicadangkan oleh HR!

Posted by

Soal rundingan gaji dianggap sebagai suatu perkara yang mencabar bagi sesetengah orang. Dengan ekonomi negara yang turun naik kini, ramai yang agak keberatan untuk berbincang soal gaji waima mempunyai kemahiran atau pengalaman yang setimpal.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda ingin mendapatkan kadar gaji mengikut apa yang anda berhak peroleh, ianya wajar untuk anda mempelajari cara rundingan yang betul terutamanya jika anda hendak berunding gaji dengan majikan impian. Anda perlu tahu sebanyak mana kadar gaji untuk tahap kemahiran serta pengalaman yang anda ada dalam sesuatu bidang.

Ambil sebanyak masa yang anda perlukan untuk membuat kajian sebelum berbincang soal gaji. Melalui cara ini anda akan lebih bersedia untuk mengusulkan rundingan anda dengan bakal majikan. Rundingan tersebut boleh merangkumi dari segala aspek seperti gaji, bonus, pilihan saham, faedah, manfaat, jumlah cuti dan pelbagai lagi bergantung dengan keutamaan anda. 

Cari Masa yang Sesuai

Setelah membuat kajian tentang kadar gaji mengikut bidang kepakaran anda, apakah caranya untuk usulkan perkara tersebut terhadap bakal majikan? Apa yang anda boleh lakukan hanya bersabar dan tunggu masa yang sesuai. Semasa sedang ditemuduga, pastikan bukan anda yang usulkan soal gaj dahulu, dan biarkan pihak majikan yang memulakan tawaran gaji tersebut.

Elakkan dari Memandai-Mandai

Sekiranya anda disoal tentang keperluan gaji pilihan anda, cuba anda katakan bahawa ianya adalah terbuka bergantung kepada tawaran jawatan dan pakej pampasan keseluruhan yang disediakan bakal majikan. Ataupun anda juga boleh menyoal mereka tentang tanggungjawab harian serta cabaran pekerjaan tersebut sebelum membuat rundingan gaji.

Permintaan Munasabah Mengikut Kajian

Di laman Glassdoor, anda boleh selidik dahulu kadar gaji untuk bidang anda kerana jika disoal oleh bakal majikan, anda boleh usulkan kadar gaji mengikut kajian yang telah dibuat. Setelah itu, anda boleh berbincang tentang apa yang sesuai untuk jawatan yang ditawarkan berdasarkan pengalaman, dan apa yang anda boleh sumbangkan terhadap organisasi majikan tersebut.

Ambil Masa yang Anda Perlukan

Sekiranya anda telah berjaya menerima tawaran kerja, jangan terus terima atau tolak tawaran tersebut ya. Anda boleh katakan bahawa anda perlukan sedikit masa untuk berfikir, dan mana tahu anda boleh tingkatkan lagi kadar gaji yang ditawarkan bakal majikan? Tidak salah untuk anda menjual mahal, tetapi haruslah ada batasnya.

Pertimbang untuk Katakan Tidak

Berasa tidak pasti dengan tawaran kerja yang diterima? Anda boleh pertimbang untuk katakan tidak terhadap bakal majikan. Cara tersebut turut boleh memberi anda tawaran yang lebih baik dari mereka. Cuma pastikan anda berhati-hati untuk tidak menolak bulat-bulat tawaran tersebut kerana besar kemungkinan bakal majikan akan terima keputusan anda, lalu mencari calon yang lain.

Rundingan Faedah Pekerja

Selain rundingan gaji, anda juga boleh membuat rundingan tentang faedah pekerja yang disediakan bakal majikan. Contohnya, majikan hendak atau boleh menawarkan tambang perkhidmatan pengangkutan awam untuk anda ke dan balik dari pejabat, atau juga jadual yang fleksibel. Sekiranya tiada apa yang anda boleh lakukan tentang kadar gaji, rundingan faedah pekerja turut boleh dipertimbangkan bergantung pada pilihan serta situasi anda.

Tips yang Dicadangkan oleh HR

Bermunasabah dengan permintaan anda

Penting untuk anda membuat kajian kadar gaji mengikut bidang kepakaran, tahap kemahiran serta pengalaman anda sebelum membuat rundingan gaji dengan bakal majikan. Jangan hanya tahu meminta tanpa mempunyai alasan yang kukuh.

Tunjukkan sebab anda adalah calon terbaik

Gunakan kuantiti dan tunjukkan nilai yang anda boleh sumbangkan terhadap organisasi bakal majikan. Tampil untuk berunding soal gaji bersama mereka dengan contoh yang munasabah atau tunjukkan bagaimana anda telah berjaya membawa pulangan yang lumayan kepada perniagaan majikan yang sebelumnya.

Tahu apa yang anda mahukan

Selain daripada gaji, anda harus tahu apa yang anda mahukan sepanjang perjalanan anda dalam membina karier yang kukuh. Adakah anda perlukan waktu atau jawatan yang fleksibel? Atau adakah anda perlukan pekerjaan yang menjanjikan perkembangan karier dalam masa 2 tahun akan datang? Semuanya terpulang kepada kemahuan anda.

Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi.


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *