Kereta Terbang: 5 Fakta yang Anda Perlu Tahu

Posted by
Kereta terbang telah menjadi sebuah perbualan hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia baru-baru ini. Ada yang jadikan topik kereta terbang dalam media massa sebagai bahan sindiran dan kecaman untuk hiburan mereka, malah ada juga yang menganggap kenderaan kereta terbang hanya gimik semata-mata. Seperti yang anda tahu, Malaysia masih berada di tahap awal dalam membangunkan prototaip dan akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Idea atau ciptaan kereta terbang biasanya sangat sinonim dengan filem-filem sains fiksyen yang kita tonton di pawagam, namun persoalannya adakah kita akan terima kereta terbang yang sebenar sebagai kenderaan masa depan?

Kereta terbang pertama yang berfungsi


Aerocar merupakan rekaan kereta terbang pertama yang berfungsi dicipta dan dibina oleh Molt Taylor di Longview, Washington pada tahun 1948. Aerocar tidak pernah berada dalam pengeluaran walaupun 6 buah prototaip telah dibina. Prototaip Aerocar menggunakan sayap lipat yang membolehkan kenderaan bertukar ke mod penerbangan (flight mode) dalam 5 minit. Aerocar mempunyai kelajuan udara tertinggi sebanyak 110 batu sejam dan boleh memandu sehingga 60 batu sejam.


Apakah rupa sebenar kereta terbang?

 

Pelbagai syarikat dari seluruh dunia membangunkan pelbagai hasil rekaan dalam membangunkan prototaip kereta terbang. Menurut kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari, menerusi kerjasama strategik antara EastCap Berhad dengan EHang Intelligent Equipment (Guangzhou, China) dan Strong Rich Holdings Limited, kereta terbang (atau super drone) dengan kepintaran buatan (artificial intelligence AI) akan diperkenalkan di Malaysia untuk memasar, menjalankan operasi dan perkhidmatan serta penyelenggaraan super drone. Tambahan pula, super drone juga diperkenalkan untuk kegunaan pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan dengan menggunakan teknologi AI.

Aspek keselamatan dititikberatkan

Aspek keselamatan merupakan salah satu cabaran yang besar dihadapi oleh semua syarikat dalam pembinaan kereta terbang. Beberapa faktor risiko dipertimbangkan untuk menjadikan kereta terbang selamat, termasuk cuaca, ralat sistem dan trafik udara. Burung juga dipertimbangkan tau! 😁 Ehang 184 yang dibangunkan oleh syarikat China iaitu Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology merupakan dron penumpang pertama yang dilengkapi dengan payung terjun. Namun, ia tidak jelas bagaimana sistem keselamatan pada dron tersebut adalah berdaya maju. Banyak syarikat berusaha untuk membangunkan sistem automatik pada super drone untuk mengurangkan kemungkinan akibat daripada kesilapan manusia. Bagi memastikan kereta terbang sebagai kenderaan yang selamat, perkara paling penting adalah ia perlu dibangunkan untuk menjadikannya kukuh, melalui prosedur keselamatan di jalan raya dan cukup ringan untuk diterbangkan.
Kos kereta terbang
Menurut kata Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Zamri Omar, kos kereta terbang mungkin agak tinggi kerana bukan sahaja melibatkan pembuatan, malah ia merangkumi penyelidikan dan pembangunan selain untuk jangka waktu tertentu kos pengeluaran mungkin akan berkurangan. Sudah tentu kos pembelian juga akan mahal! Misalnya, Terrafugia Transition telah dijual di Amerika Syarikat pada harga $400,000 (RM1,672,000), manakala model Ehang 184 yang dijual pada harga $300,000 (RM1,254,000). Pada masa ini, sistem pendorong yang baik memerlukan teknologi canggih yang boleh menelan kos sekurang-kurangnya 10 juta dolar. Selain itu, rekaan sistem pendorong yang cekap, kelajuan kereta terbang serta ketinggian yang lebih rendah mampu mengurangkan kos pembuatan.
Kereta terbang dalam filem
Kereta terbang pertama yang digambarkan dalam filem menerusi filem dari Perancis iaitu Fantômas se Déchaîne pada tahun 1965. Dalam filem tersebut, Fantômas memandu sebuah kereta Citroen DS yang direka khas dengan sayap ditarik balik yang diubah menjadi kapal terbang. Dalam filem Star Wars pula, kereta terbang digambarkan sebagai airspeeders dalam beberapa filem prequel dari tahun 1999 – 2005, manakala filem Blade Runner (1982) mempersembahkan kereta terbang fiksyen bernama “The Spinner”.

Apakah pendapat anda tentang ciptaan kereta terbang? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah! Jangan lupa untuk ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan!


Sarah Sahadin or known as Sarah S., is a Digital Marketer-cum-Junior Graphic Designer and Malay-language content writer who writes career, lifestyle and current trending contents to engage Malay readers, informing about the latest trends happening around. Sarah also has a passion for motorsport (can be spotted at Sepang Circuit on some certain weekends) and enjoys manga illustration during her free time.

Reach me at sarah@jobstore.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *