Sama ada anda hendak memohon pekerjaan pertama atau internship pertama anda, persediaan untuk menempuh perjalanan kehidupan yang baru akan meresahkan kita. Tatkala anda sedang melayari laman cari kerja, boleh dikatakan kesemua iklan jawatan kosong memerlukan senarai pengalaman kerja yang relevan. Akan tetapi, bagaimana seorang ‘fresh graduate’ seperti anda hendak memperoleh pengalaman kerja tanpa mempunyai sebarang pekerjaan? Di sini, resume yang bagus memainkan peranan yang penting. Anda masih mempunyai peluang untuk diterima bekerja melalui 7 tips menulis resume tanpa pengalaman kerja seperti berikut.
1. Pilih format resume yang betul
Terdapat beberapa pilihan format resume bagi memenuhi kriteria permohonan kerja yang berbeza seperti ‘chronological’, ‘functional’ dan ‘hybrid’ di mana ianya merupakan gabungan kedua-dua format tersebut. Bagi pencari kerja yang tidak mempunyai pengalaman kerja yang banyak, anda disarankan untuk memilih antara format resume ‘chronological’ atau ‘hybrid’ memandangkan para majikan lebih senang dengan format tersebut. Berikut adalah perkara-perkara yang boleh disertakan di dalam resume:
- Masukkan butiran perhubungan di bahagian atas resume.
- Tulis pernyataan objektif resume secara ringkas.
- Huraikan tahap pendidikan dan kemahiran anda yang relevan.
- Masukkan sijil pencapaian dan anugerah yang diterima.
- Masukkan senarai internship, aktiviti kokurikular, dan aktiviti sukarelawan.
- Menekankan kata kunci dan olah resume anda dengan sewajarnya.
- Tulis ‘cover letter’ yang bagus.
2. Tuliskan objektif atau ringkasan resume
Selain daripada menulis objektif kerjaya di bahagian atas resume, apa kata anda tukarkan ke menulis objektif atau ringkasan resume sebagai alternatif lain? Ringkasan objektif resume adalah di mana anda menekankan tahap kemahiran yang anda perolehi daripada kursus pembelajaran anda dan mengaitkannya dengan kemahiran yang dicari bakal majikan. Ringkasan resume tersebut boleh ditulis dalam 2 hingga 4 ayat sahaja. Sebagai contoh:
Contoh Bahasa Melayu:
“Seorang graduan seni bina dari salah sebuah universiti berprestij di Malaysia. Saya berjaya memperoleh gred yang cemerlang untuk kursus pembelajaran saya. Saya kini mencari peluang untuk mengasah bakat dan ingin mengembangkan kerjaya sebagai seorang arkitek bersama Global Architect.”
Contoh Bahasa Inggeris:
“A recent architecture graduate from one of the top universities in Malaysia. I managed to obtain outstanding grades in my coursework. I am seeking opportunities to leverage my talent and jumpstart my career by growing with Global Architect.”
3. Fokus terhadap tahap pendidikan dan kemahiran
Apabila menulis tentang tahap pendidikan dan set kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian anda, adalah disarankan untuk anda mengaitkannya dengan keterangan pekerjaan yang disediakan pada sesuatu iklan jawatan kosong. Cari kata kunci yang digunakan majikan dan masukkan kata kunci tersebut ke dalam penulisan anda. Rujuk soalan-soalan seperti berikut:
- Apakah set kemahiran yang dicari bakal majikan?
- Apakah yang anda boleh sumbangkan kepada organisasi bakal majikan?
- Adakah kursus yang diambil dapat membantu mempersiapkan diri anda untuk jawatan tertentu?
4. Sertakan bahagian kemahiran yang menonjol
Walaupun anda sebagai ‘fresh graduate’ tidak mempunyai pengalaman kerja, anda masih boleh menyesuaikan set kemahiran yang anda miliki dengan keterangan kerja yang disediakan bakal majikan tetapi elakkan daripada berbohong. Senaraikan segala ‘hard skill’ dan ‘soft skill’ anda di sehelai kertas atau lembaran Excel, kemudian pilih set kemahiran yang relevan dengan apa yang dicari oleh bakal majikan.
5. Fikirkan tentang pengalaman anda
Mempunyai pekerjaan sepenuh masa bukanlah satu-satunya pengalaman kerja yang boleh disenaraikan ke dalam resume anda. Fikirkan tentang pengalaman internship, kerja-kerja sambilan, dan kerja-kerja ‘freelance’ juga boleh dikira sebagai pengalaman kerja. Sekiranya bakal majikan memerlukan tahap kelayakan tertentu, mengapa tidak mendapatkan beberapa pensijilan yang wajar? Terdapat pelbagai kursus dalam talian seperti Udemy atau Coursera yang boleh diambil bagi meningkatkan lagi kelayakan anda untuk jawatan yang ingin dipohon.
6. Masukkan bahagian yang selainnya
Untuk menulis resume tanpa pengalaman kerja, anda mempunyai kelebihan tambahan di mana terdapat ruang yang boleh anda masukkan perkara-perkara yang selainnya ke dalam resume anda. Bahagian tersebut akan membantu menyerlahkan ciri keperibadian kendiri bagi menjadikan anda sebagai calon yang layak untuk jawatan tertentu. Antara perkara yang anda boleh sertakan adalah:
Aktiviti sukarelawan: Fikirkan dan imbas kembali tentang kesemua aktiviti sukarelawan yang anda ikuti sepanjang pengajian anda. Aktiviti tersebut turut dianggap sebagai pengalaman kerja.
Pensijilan: Untuk seorang ‘fresh graduate’ seperti anda, ianya lebih baik untuk anda sertakan pensijilan yang relevan bagi menunjukkan kemahiran yang anda ada.
Hobi dan minat: Perkara tersebut merupakan pilihan anda tetapi ianya sedikit sebanyak dapat mempamerkan sisi keperibadian anda yang lain. Terdapat beberapa tips untuk memasukkan hobi dan minat ke dalam resume anda.
Bahasa: Sekiranya anda mempunyai bakat untuk bertutur dalam pelbagai bahasa, anda juga boleh memasukkan perkara tersebut ke dalam resume anda.
Anugerah dan penghargaan: Anda boleh menyertakan segala anugerah dan penghargaan yang diterima sepanjang pengajian.
7. Sertakan ‘cover letter’
Tidak ramai yang menyedari bahawa ‘cover letter’ adalah suatu keperluan apabila anda hendak menghantar resume kepada bakal majikan. Surat tersebut membantu mempamerkan tanggapan pertama anda sebagai calon yang memenuhi syarat untuk jawatan yang dipohon. Resume yang bagus tidak begitu menonjol tanpa ‘cover letter’. Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda menulis dan menyertakan sekali surat tersebut demi meningkatkan peluang untuk diterima bekerja. Klik di sini untuk mengetahui tips menulis ‘cover letter’ yang baik.
Ternyata anda tidak perlukan senarai pengalaman kerja yang banyak untuk mencari kerja. Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan dan banyak lagi.
Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.
Reach me at: nurin@jobstore.com