Soalan “mengapa berhenti kerja di tempat lama?” adalah antara soalan yang ramai pemohon kerja mengalami kesukaran untuk menjawab dengan betul. Sebelum itu, mengapakah para penemuduga ingin mengetahui sebab di sebalik anda berhenti kerja di tempat lama?
Soalan cepumas tersebut adalah antara cara mereka hendak mengenali diri dan watak anda sebagai seorang pekerja. Oleh itu, cara terbaik untuk menjawab soalan “mengapa berhenti kerja?” adalah dengan bersikap jujur dan elakkan daripada memberi alasan negatif yang melibatkan individu lain untuk tampil profesional.
Berikut adalah 10 contoh untuk menjawab soalan “mengapa berhenti kerja di tempat lama?” dengan mudah:
1. Perubahan dalam arah kerjaya
Contoh Bahasa Melayu: “Saya telah menilai kembali matlamat kerjaya dan saya berazam untuk mencari jawatan bersesuaian dengan objektif jangka panjang di mana saya boleh menyumbangkan kemahiran yang saya miliki dengan lebih baik. Peluang pekerjaan yang tuan / puan berikan akan memberi peluang untuk saya membangunkan dan mengembangkan lagi kemahiran [nyatakan kemahiran yang relevan].”
2. Peluang untuk perkembangan profesional
Contoh Bahasa Melayu: “Saya menyedari bahawa tidak ada lagi peluang untuk saya berkembang secara profesional bersama kumpulan saya. Saya ingin meneroka cabaran-cabaran baru dan peluang pekerjaan ini menarik perhatian saya kerana saya dapat berurusan dengan pelanggan secara langsung [atau nyatakan apa-apa skop kerja yang relevan].”
3. Peluang pekerjaan baharu
Contoh Bahasa Melayu: “Menurut kajian saya mengenai peluang pekerjaan ini, walaupun saya dapat belajar pelbagai perkara di syarikat lama saya, saya menyedari bahawa jawatan kosong tersebut bersesuaian dengan apa yang saya hendak capai dalam kerjaya dan peluang tersebut juga membolehkan saya untuk mengembangkan lagi kepakaran saya dalam [nyatakan bidang atau kemahiran].”
4. Sekiranya anda tidak aktif mencari kerja
Saya tidak begitu aktif mencari kerja buat masa ini, tetapi ianya menarik perhatian saya apabila pihak pengrekrutan tuan / puan menyampaikan kepada saya tentang kekosongan jawatan tersebut. Saya kini bekerja sebagai *nyatakan jawatan terkini*, dan amat berbesar hati sekiranya diberi peluang untuk jawatan yang lebih mencabar. Individu yang berhubung dengan saya ada menyebut tentang peluang yang boleh membantu perkembangan kerjaya saya. Boleh tuan / puan kongsikan dengan lebih lanjut?
5. Sekiranya anda diberhentikan kerja
Syarikat saya telah mengkaji semula struktur organisasi mereka dan saya adalah antara *nyatakan bilangan pekerja* di dalam jabatan tersebut yang telah diberhentikan kerja. Apa yang saya pelajari sepanjang pengalaman ini adalah untuk lebih bertanggungjawab dalam perkembangan kerjaya dan diri saya. Justeru itu, baru-baru ini saya telah mengambil beberapa kelas dalam talian dan bengkel *nyatakan kelas yang anda ambil*.
6. Sekiranya anda dipecat
Skop kerja untuk jawatan saya yang lepas tidak begitu sesuai dengan kelebihan yang saya miliki. Akan tetapi, saya belajar dari pengalaman tersebut. Saya berusaha memperbaiki kualiti kerja dan diri saya dan percaya dapat menyumbangkan sebaik-baik tenaga kerja untuk syarikat tuan / puan. Jawatan tersebut amat sesuai dengan saya kerana *nyatakan sebab mengapa anda layak menjadi calon*.
7. Sekiranya tidak suka akan organisasi anda
Saya berupaya mengembangkan set kemahiran saya dan mempunyai hubungan positif bersama rakan sekerja di syarikat lama. Akan tetapi, saya menyedari bahawa saya memerlukan motivasi yang lebih kuat dari pihak syarikat demi melangkah lebih jauh. Saya telah lama ingin bekerjasama bersama syarikat yang mempunyai misi seperti organisasi tuan / puan untuk berkhidmat kepada komuniti. Saya yakin *nyatakan set kemahiran* saya dapat membantu menyokong misi syarikat tuan / puan.
8. Sekiranya inginkan pendapatan yang lebih baik
Saya didorong oleh pelbagai faktor motivasi di tempat kerja, ianya termasuk kepuasan para pelanggan serta semangat kiriman rakan sekerja dan pengurus. Secara peribadinya, pampasan yang diterima juga adalah salah satu pendorong buat saya. Saya amat berterima kasih sekiranya diberikan peluang untuk mempromosikan dan menjual produk atau perkhidmatan yang saya sukai. *Nyatakan set kemahiran* saya akan membuktikan nilainya kepada syarikat tuan / puan.
9. Sekiranya waktu bekerja tidak sesuai
Saya dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik sekiranya terdapat keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Komitmen yang saya bina bersama para pengurus dan rakan sekerja adalah penting buat saya, dan saya akan menyusun waktu saya mengikut komitmen tersebut dengan cekap. Ianya penting buat saya untuk bekerja dengan semua orang di syarikat yang menghargai jadual saya dan menyediakan kelonggaran dan fleksibiliti sebagaimana perlu.
10. Berpindah ke tempat baharu
Saya baru sahaja berpindah dan jarak perjalanan pergi balik ke tempat kerja yang jauh amat memenatkan saya. Walaupun saya berasa seronok dengan tugasan dan bekerja bersama rakan sekerja, jarak perjalanan tersebut akan mengganggu prestasi saya di pejabat. Oleh itu, bekerja berdekatan dengan rumah saya kini dapat mengurangkan masa perjalanan dan saya berharap dapat merealisasikannya dengan jawatan kosong di syarikat tuan / puan.
Akhir Kata
Terdapat pelbagai sebab untuk seseorang berhenti kerja dan cara paling mudah untuk menjawab soalan “mengapa berhenti kerja di tempat lama?” adalah dengan mengetahui cara sebetulnya menyampaikan jawapan anda. Apa yang anda perlu ingat adalah untuk kekal positif sepanjang sesi temuduga dan elakkan daripada menyalahkan orang lain sebagai sebab utama anda berhenti kerja.
Hanya terangkan maklumat relevan dan elakkan daripada terlebih perkongsian. Yang paling penting, maklum balas anda hendaklah seiring dengan keinginan anda untuk mempunyai kerjaya yang lebih baik di masa hadapan. Gunakan maklumat sedia ada syarikat bakal majikan sebaik-baiknya bagi membantu menyokong maklum balas anda.
Bagaimanakah anda menjawab soalan “mengapa berhenti kerja di tempat lama?” semasa sesi temuduga? Kongsikan bersama kami di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.
Reach me at: nurin@jobstore.com