Kuala Lumpur juga dikenali dengan kota raya yang tidak pernah tidur. Ia bukan sahaja terkenal sebagai pusat kewangan dan pusat pertembungan budaya, malah ia juga menawarkan pelbagai tarikan dan tempat menarik untuk dilawati dan sesuai untuk generasi muda yang perlukan ‘healing’.
Penyembuhan atau healing adalah satu usaha untuk menyembuhkan luka yang tidak nampak dalam diri terutamanya yang melibatkan hati. Ramai generasi muda masa kini gemar untuk ‘healing’ dengan melakukan aktivit-aktiviti seperti pergi ke pantai, hiking, camping dan sebagainya.
Kajian saintifik membuktikan bahawa meluangkan masa bersama alam semula jadi dapat membantu mengurangkan kemurungan, memperbaiki tumpuan mental bagi individu belia (remaja) dan individu yang lebih berusia.
Artikel berkaitan: Alam Semula Jadi Bawa Manfaat Kesihatan Kepada Manusia
Jadi, sekiranya anda sedang mencari tempat low-budget untuk ‘healing’ di Kuala Lumpur, ini adalah 5 tempat wajib anda wajib kunjungi.
1. KL East Park
KL East Park yang dibuka pada 18 Februari 2023 merupakan antara tarikan terbaru di Kuala Lumpur. Ia merupakan hiking trail di kawasan perbandaran KL East. Trek hiking di sini adalah sepanjang 2 km dan anda boleh nikmati pemandangan sebahagian dari bandaraya Kuala Lumpur dari ketinggian 242 meter dari aras laut.
Apa yang uniknya di sini adalah ia merupakan lokasi outdoor dengan panorama dua alam iaitu kehijauan alam semua jadi dan landskap moden ibu kota. Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk menerokai tarikan semula jadi, memandangkan sambungannya adalah ke Bukit Tabur serta Permatang Kuarza Klang Gates yang terkenal sebagai pembentukan kuarza yang terpanjang di dunia.
KL East Park dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 6:30 petang dan bayaran masuk adalah percuma sehingga 31 Ogos 2023. Selepas tarikh ini, bayaran akan dikenakan untuk memastikan pemuliharaan flora dan fauna di situ.
Walau bagaimanapun, pastikan anda mendaftar dahulu dan tempah slot masa di booking.kleastpark.
2. Kebun-Kebun Bangsar
Kebun Kebun Bangsar merupakan sebuah kebun tanaman sayur dengan keluasan sebesar 2.5 ekar yang terletak di Bukit Pantai.
Pelbagai hasil tanaman yang terdapat di sini antaranya cili padi, bok choy, bendi, buah betik dan banyak lagi. Untuk pengetahuan, hasil-hasil tanaman di sini akan didermakan kepada golongan kurang bernasib baik dan pusat-pusat komuniti di serata Kuala Lumpur.
Taman komuniti ini juga merupakan hasil keikhlasan dan jasa baik sukarelawan dan dermaan wang ringgit dari pengunjung yang datang.
Bukan itu sahaja, di Kebun Kebun Bangsar ini juga terdapat beberapa haiwan ternakan yang berkeliaran seperti kambing, ayam dan itik yang anda boleh dekati dan beri makan.
Waktu operasinya adalah dari Selasa hingga Ahad bermula dari jam 8:30 pagi hingga 7 malam (ditutup pada hari Isnin) dan bayaran masuknya adalah percuma.
3. Hutan Simpan Bukit Nenas (Taman Eko Rimba KL)
Taman Eko Rimba Kuala Lumpur, juga dikenali sebagai KL Forest Eco Park terletak di Hutan Simpan Bukit Nanas yang merupakan rizab hutan kekal tertua di Malaysia dan satu-satunya hutan hujan tropika yang masih wujud di Kuala Lumpur.
Ia bukan sahaja percuma, malah terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan antaranya berkhemah, mendaki, dan juga melakukan penyelidikan. Tarikan utama di sini ialah canopy walk, taman herba, gazebo dan laluan hutan yang sangat Instagram-worthy!
Waktu operasinya adalah pada setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 8 malam.
4. Forest Skywalk (FRIM)
Forest Skywalk (FRIM) yang terletak di Kepong menawarkan pengalaman menarik buat anda yang suka melihat panorama indah serta menikmati alam semula jadi.
Forest Skywalk atau jejantas rimba ini terdiri daripada 11 menara dan 8 jambatan dengan pelantar-pelantar berketinggian di antara 18 hingga 50 meter yang berjumlah 250 meter panjang. Bahagian paling tinggi struktur ini adalah 141 meter dari aras laut. Sekiranya anda ingin lihat panorama yang lebih memukau, anda hanya perlu naik ke puncak menara yang berketinggian 50 meter.
Setiap pengunjung boleh menghabiskan masa sekitar 30 hingga 40 minit di atas jejantas rimba ini. Pastinya satu pengalaman yang unik apabila dapat menikmati alam semula jadi di tengah kota!
Harga tiket adalah seperti berikut:
Pembelian tiket hanya boleh dibeli secara dalam talian sahaja di skywalk.frim.gov. Forest Skywalk (Jejantas Rimba) FRIM Kepong dibuka pada hari Sabtu hingga Khamis bermula jam 8:30 pagi sehingga 3:30 petang (ditutup pada hari Jumaat).
5. Pusat Sains Negara
Sesuai untuk anda yang nak ‘healing’ tapi tidak suka aktiviti-aktiviti luar yang mengeluarkan peluh. Pusat Sains Negara merupakan sebuah taman tema berkonsepkan sains dan teknologi yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Pusat Sains Negara setinggi 4 tingkat ini berbeza dengan Petrosains, Suria KLCC.
Di sini, terdapat pelbagai bahan pameran yang direka khas dan aktiviti lawatan sambil belajar yang disediakan yang sesuai untuk pelbagai lapisan umur dan latar belakang bagi tujuan menarik, merangsang dan menggalakkan para pengunjung untuk meminati dan tahu lebih mendalam dalam bidang sains dan teknologi.
Waktu operasinya adalah dari Sabtu hingga Khamis jam 9:00 pagi hingga 4:30 petang (ditutup pada hari Jumaat). Harga tiket bagi dewasa adalah RM 6.00 dan bagi kanak-kanak adalah RM 3.00.
Kuala Lumpur merupakan sebuah kota raya yang sangat unik. Sekiranya anda ingin menikmati sendiri keunikan bandaraya terbesar di Malaysia ini, bolehlah anda merancang untuk healing di sekitar Kuala Lumpur kelak. Rancanglah perjalanan healing anda dengan bijak!
Semoga perkongsian kami kali ini menjadi panduan untuk anda pada masa hadapan.
Ikuti kami di semua platform media sosial untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan dan banyak lagi!
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:
1. Cara Mohon Pertukaran ke Pejabat Cawangan