Menjadi pekerja cemerlang/pekerja terbaik dalam sesebuah syarikat atau organisasi merupakan impian setiap orang yang berkerjaya. Anda bukan sahaja berpeluang untuk mendapat kenaikan gaji malah berpeluang menjadi contoh kepada pekerja-pekerja yang lain.
Tapi bagaimana untuk buktikan kepada majikan bahawa anda adalah pekerja cemerlang/pekerja terbaik mereka?
Berikut kami kongsikan lima tips mudah untuk jadi pekerja cemerlang di tempat kerja anda!
1. Sentiasa konsisten
Seorang pekerja yang cemerlang akan sentiasa konsisten dalam jua perkara yang mereka lakukan. Pekerja yang cemerlang akan memberikan hasil yang konsisten dan membanggakan pada setiap hari, malah setiap bulan.
Walaupun untuk kekal konsisten adalah sesuatu perkara yang sukar, tetapi ia boleh dilatih dengan menetapkan target dan goals dalam setiap tugasan yang diberikan.
2. Berkebolehan menyelesaikan masalah
Seorang pekerja yang cemerlang berkebolehan untuk menyelesaikan masalah tanpa pemantauan majikan. Ini menunjukkan anda seorang yang kreatif dan berani menyelesaikan masalah sendirian tanpa perlu bergantung kepada pihak atasan.
3. Belajar skil tambahan
Anda bukan sahaja perlu mahir dalam bidang dan skop kerja anda, malah anda juga perlu untuk tambahkan skil atau kemahiran-kemahiran yang tidak dimiliki pekerja-pekerja lain.
Sebagai contoh, anda bekerja sebagai pereka grafik tetapi anda juga mampu melaksanakan tugasan berkaitan videografi. Peluang anda untuk dinaikkan pangkat dan gaji akan lebih cerah!
4. Mempunyai skil komunikasi yang baik
Seorang pekerja yang cemerlang perlu mempunyai skil komunikasi yang baik serta pandai bergaul dengan pekerja-pekerja yang lain.
Dengan adanya skil komunikasi ini, ia akan memudahkan anda untuk berinteraksi, memahami, saling membantu dan bertukar-tukar pendapat dengan pekerja-pekerja lain.
5. Mempunyai keterampilan diri yang menarik
Keterampilan diri bermaksud penampilan yang ditunjukkan oleh setiap individu seperti berpakaian kemas, menyisir rambut dengan rapi dan memakai bau-bauan yang menyenangkan setiap kali di tempat kerja. Keterampilan diri yang menarik sedikit sebanyak akan memberi impak kepada nama baik syarikat atau organisasi.
Ciri ini adalah penting terutamanya dalam bidang yang memerlukan pekerja berjumpa dan berurusan dengan pelanggan.
Dalam pada anda membuktikan kepada majikan bahawa anda merupakan pekerja cemerlang/pekerja terbaik mereka, jangan lupa untuk tetap menjaga serta tunjukkan nilai murni dan akhlak yang baik agar tidak dibenci oleh orang sekeliling.
Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat dan panduan untuk anda yang ingin menjadi pekerja cemerlang di syarikat tempat anda bekerja.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.