Filem MALBATT: Misi Bakara (2023) Bongkar Kisah Sebenar Black Hawk Down

Filem MALBATT: Misi Bakara (2023) Bongkar Kisah Sebenar Black Hawk Down

Posted by

30 tahun dahulu, seramai 114 anggota tentera Malaysia telah bertarung nyawa dalam misi menyelamatkan 70 anggota US Rangers dan 5 anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang dikepung pengganas di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia.

Walaupun sejarah ini dirakamkan dalam Filem Black Hawk Down (2001) arahan Ridley Scott, ia langsung tidak memberi gambaran tepat tentang penglibatan penting angkatan tentera Malaysia dalam misi menyelamat susulan serangan balas yang dilancarkan oleh pemberontak Somalia, Jeneral Mohamed Farrah Aidid dan konco-konconya.

Filem MALBATT: Misi Bakara (2023) Bongkar Kisah Sebenar Black Hawk Dawn

Walau bagaimanapun, pengarah filem Paskal The Movie, Adrian Teh telah tampil dengan karya terbaharu MALBATT: Misi Bakara, yang menceritakan sisi pasukan tentera Malaysia ketika mereka terlibat dalam operasi menyelamat pasukan tentera Amerika Syarikat yang dikepung ribuan pengikut Farah Aidid susulan serangan Black Hawk Down.

Filem yang menggabungkan genre aksi dan patriotisme ini dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Tony Eusoff dan ramai lagi!

Filem MALBATT: Misi Bakara sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 24 Ogos 2023 yang lalu. Filem ini juga merupakan filem Malaysia pertama yang ditayangkan di layar IMAX dan juga tersedia dalam format 4DX dan Dolby Atmos. 

Berikut kami kongsikan serba sedikit sejarah Black Hawk Down sebelum anda menonton filem ini.

Artikel berkaitan: Battle of Mogadishu: Malaysian Troops Untold Stories

Pertempuran Mogadishu

Setelah menerima maklumat Farrah Aidid akan bertemu orang bawahannya di sebuah bangunan dua tingkat dekat kawasan Pasar Bakara, Amerika Syarikat menghantar pasukan Delta Force dan Army Rangers diiringi helikopter AH-1 Cobra, UH-60 Black Hawk dan Little Birds.

 

Dalam operasi itu, Delta Force ditugaskan untuk menyerbu bangunan untuk menangkap pemberontak tersebut dan orang bawahannya manakala Army Rangers akan membuat kawalan keselamatan di luar bangunan.

Selepas misi tentera elit Amerika Syarikat untuk menangkap dua orang kanan Farrah Aidid gagal, markas Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia telah memohon bantuan pasukan tentera Malaysia.

Amerika Syarikat terpaksa minta bantuan Malaysia dan Pakistan

Filem MALBATT: Misi Bakara (2023) Bongkar Kisah Sebenar Black Hawk Dawn
Helikopter Black Hawk yang terhempas ditembak

Black Hawk Down adalah helikopter Black Hawk yang telah ditembak jatuh di dua lokasi berasingan dalam operasi ini. Tuah tidak menyebelahi Amerika Syarikat apabila Black Hawk kedua turut terhempas selepas ia ditembak jatuh oleh puak pengganas.

Malang terus menimpa tentera Amerika Syarikat apabila kumpulan tentera elit yang ditugaskan untuk membantu di lokasi helikopter terhempas pula dikepung.

Filem MALBATT: Misi Bakara (2023) Bongkar Kisah Sebenar Black Hawk Dawn
Antara anggota Tentera Malaysia yang terlibat dalam Pertempuran Mogadishu

Disebabkan itu, mereka terpaksa meminta bantuan pasukan pengaman Malaysia dan Pakistan. Konvoi operasi menyelamat dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Charlie, Alpha dan Bravo. 

  • Charlie (Kompeni A) diarahkan menyelamatkan juruterbang helikopter kedua yang terhempas
  • Alpha (Kompeni B) ditugaskan untuk menyelamatkan anggota Rangers yang terkepung dan krew Black Hawk pertama yang terhempas
  • Bravo yang merangkumi anggota Rangers ditugaskan  membantu kedua-dua pasukan tersebut

Tentera Pakistan berundur

Mengikut perancangan asal, tentera Pakistan akan mendahului pergerakan diikuti kumpulan Alpha, Charlie dan Bravo. Walau bagaimanapun, tentera Pakistan memilih untuk berpatah balik sebelum memasuki kawasan operasi kerana mereka tiada kelengkapan alat penglihatan malam.

Tentera Malaysia yang memegang prinsip pantang undur sebelum ajal bagaimanapun terus mara meneruskan misi seperti yang dirancang walaupun tidak mempunyai alat penglihatan malam dan kekurangan anggota susulan pengunduran tentera Pakistan. Bagi mereka, misi yang telah diatur mesti diteruskan walau apa pun yang terjadi.

Tentera Malaysia selamatkan askar Amerika Syarikat

Sepanjang perjalanan ke Pasar Bakara, tembakan daripada pihak musuh kepada tentera Malaysia tidak henti-henti dari pelbagai arah. Tidak lama selepas itu, puak pengganas telah menyerang konvoi Alpha menyebabkan dua buah kereta perisai mengalami kerosakan teruk.

Tidak lama kemudian, sebuah lagi kereta perisai tentera Malaysia turut menjadi sasaran apabila roket RPG menembusi cermin hadapan dan telah mengorbankan pemandu iaitu Prebet Mat Aznan. Seorang lagi anggota cedera dalam serangan itu.

Tersentak dengan pemergian rakan mereka, semangat tentera Malaysia semakin meluap-luap untuk terus menjayakan misi. Setiap daripada mereka mengatur gerak untuk terus mara menyerang balas tanpa memikirkan risiko yang menanti.

Amerika Syarikat iktiraf sumbangan besar Malaysia dalam operasi tersebut

Selepas bertempur sepanjang malam, mereka akhirnya berjaya sampai ke kem tentera Pakistan di Stadium Mogadishu. Pertempuran ini telah menyebabkan seorang anggota tentera terkorban iaitu Prebet Mat Azna Awang dan sembilan orang anggota tentera Malaysia mengalami kecederaan. 18 orang tentera elit Amerika Syarikat turut terkorban semasa pertempuran tersebut manakala 84 yang lain cedera.

Prebet Mat Aznan yang terkorban dalam pertempuran ini telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan dinaikkan pangkat kepada korporal. 

Selepas 20 tahun, Pemangku Penolong Setiausaha Negara Biro Hal Ehwal Politik Tentera Amerika Syarikat iaitu Tom Kelly mengiktiraf sumbangan besar Malaysia dalam operasi tersebut dengan mengucapkan terima kasih secara rasmi kepada kerajaan Malaysia dan ATM.

Semoga perkongsian kami ini memberi ilmu dan pengetahuan baru buat anda.

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!


Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.

Reach me at hanis@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *