Gangguan seksual di tempat kerja adalah satu isu yang perlu diambil serius oleh pihak yang bertanggungjawab. Walaupun mengikut statistik, golongan wanita lebih banyak membuat aduan menjadi mangsa gangguan seksual, namun golongan lelaki juga tidak terkecuali dalam isu ini.
Isu gangguan seksual di tempat kerja ini perlu ditangani dengan lebih serius dan diberikan pendedahan kerana ia boleh mendorong kepada jenayah seksual yang lebih serius dan akan memberi kesan kepada mental dan fizikal mangsa.
Artikel berkaitan: Gangguan Seksual Di Tempat Kerja: Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Berikut kami kongsikan antara lima kesan gangguan seksual di tempat kerja.
1. Produktiviti di tempat kerja menurun
Gangguan seksual di tempat kerja mungkin akan menyebabkan pekerja mula datang lewat, tidak bersemangat untuk melakukan tugasan, sering ponteng kerja, tidak boleh fokus dan ini sekaligus menyebabkan produktiviti di tempat kerja menurun.
Menurut sumber, hampir 75% daripada 262 orang wanita mengakui bahawa insiden gangguan seksual di tempat kerja mempengaruhi produktiviti kerja mereka. Selain itu, para pekerja juga berasa takut dan tidak selamat di tempat kerja masing-masing.
2. Berisiko tinggi untuk alami depresi
Mangsa yang mengalami gangguan seksual akan mengalami kesan trauma yang berpanjangan kepada emosi mereka. Mereka mempunyai risiko tiga kali ganda untuk mengalami depresi.
Kesihatan mental dan fizikal mangsa akan terjejas antaranya mangsa akan rasa stres, sukar tidur malam, mengalami tekanan darah tinggi, kurang keyakinan diri dan kerap rasa loya.
Menurut Ahli Psikologi Klinikal, Dr. Colleen Cullen, mangsa yang mengalami gangguan seksual sering didiagnosis dengan kemurungan, kegelisahan dan juga gangguan tekanan pascatrauma (PTSD).
3. Lebih suka bersendiri dan akan menyalahkan diri sendiri
Mangsa gangguan seksual akan menyalahkan diri sendiri atas trauma yang mereka alami. Mereka akan berasa sedih, marah, malu dan kecewa kerana diperlakukan sedemikian rupa.
Selain itu, mangsa juga akan sukar untuk meneruskan kehidupan seharian, mula mengabaikan diri masing-masing dan lebih gemar bersendirian. Ini adalah tanda-tanda awal depresi.
Walau bagaimanapun, reaksi terhadap trauma gangguan seksual adalah berbeza-beza bagi setiap individu. Mungkin ada mangsa yang berasa okey dan masih boleh bekerja seperti biasa.
Namun, bagi mangsa yang sangat terkesan dengan trauma ini, mereka akan mengalami flashback yang mengingatkan mereka pada gangguan seksual yang berlaku.
4. Mengalami trauma sekunder
Trauma sekunder adalah sejenis trauma yang berlaku kepada pendengar atau pihak ke-3 yang terkesan dengan trauma yang dilalui oleh orang lain.
Trauma sekunder juga boleh berlaku kepada individu yang menyaksikan insiden yang traumatik. Sama seperti trauma biasa, trauma sekunder ini juga boleh menyebabkan mangsa mengalami kemurungan.
5. Kesihatan mula terjejas
Menurut American Academy of Family Physicians, trauma boleh mencetuskan pelbagai simptom fizikal antaranya sakit badan yang kronik, disfungsi seksual, tekanan darah tinggi, pedih ulu hati dan sebagainya.
Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat dan panduan buat anda semua.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com