Rumah persaraan merujuk kepada kediaman yang selesa untuk kehidupan selepas bersara ataupun rumah yang sudah ‘habis bayar’ atau tiada lagi tanggungan hutang.
Di rumah persaraan inilah anda akan menghabiskan sebahagian besar masa anda. Ada yang merancang untuk membina atau membeli rumah baharu setelah bersara bagi tujuan menjadikannya rumah persaraan.
Namun, ini tidak perlu berlaku kerana dengan empat persediaan yang kami kongsikan ini, rumah pertama anda boleh dijadikan rumah persaraan yang selesa setelah anda bersara nanti.
1. Pilih lokasi yang sesuai
Anda perlu memilih lokasi manakah yang anda ingin habiskan waktu tua (persaraan) anda.
Sebagai contoh, kalau anda inginkan kehidupan yang agak terasing dari kesibukan ibu kota sesudah bersara nanti, anda boleh pilih rumah pertama anda di lokasi yang agak terpencil dan jauh dari kota.
Kawasan di luar bandar juga secara umumnya lebih murah dan ‘mampu milik’ oleh golongan yang baru memulakan kerjaya.
2. Saiz rumah
Rumah persaraan anda tidak perlu terlalu besar dan luas. Ini kerana pada waktu tersebut, sekiranya anda sudah berkeluarga, berkemungkinan besar anak-anak anda sudah membesar dan mempunyai kehidupan dan keluarga sendiri.
3. Kemudahan sekeliling
Sekiranya anda mahu habiskan waktu tua (persaraan) anda melakukan aktiviti-aktiviti tertentu seperti berkebun, berjalan di tepi pantai, atau memperbanyak kegiatan ibadah, pastikan lokasi rumah persaraan anda sesuai bagi tujuan tersebut.
Faktor-faktor seperti keluasan tanah, lokasi yang berdekatan dengan kemudahan seperti masjid dan lain-lain juga perlu diambil kira.
4. Beli rumah pertama agak lewat
Anda boleh membuat pilihan sama ada ingin beli atau bina rumah pertama agak lewat dalam kerjaya.
Ini bermakna rumah tersebut dimiliki apabila anda sudah menghampiri tempoh persaraan dan rumah tersebut bukan sahaja rumah pertama anda tetapi rumah tunggal yang dimiliki seumur hidup.
Kaedah ini memerlukan anda menyewa terlebih dahulu sambil anda menyimpan wang untuk membeli atau membina rumah tersebut. Anda juga boleh mengeluarkan wang dari simpanan KWSP daripada akaun kedua bagi tujuan tersebut.
Pada waktu ini, jumlah simpanan adalah lebih besar berbanding ketika anda berada di awal kerjaya. Anda juga lebih matang dan tahu apa yang anda mahukan setelah anda bersara nanti.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda pada masa akan datang.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com