Penting untuk setiap pekerja ambil tahu tentang petanda-petanda awal apabila syarikat tempat anda bekerja sedang mengalami masalah kewangan.
Dengan memahami tanda-tanda ini, ia boleh membantu membuat keputusan yang bijak mengenai kerjaya anda dan melindungi kewangan serta masa depan anda.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan lima tanda yang menunjukkan syarikat tempat anda bekerja sedang menghadapi masalah kewangan.
1. Gaji tidak dibayar mengikut masa
Sekiranya anda mendapati bahawa gaji anda tidak dibayar mengikut masa dan tidak konsisten, ini jelas menunjukkan bahawa syarikat tempat anda bekerja sedang mengalami masalah likuiditi atau krisis kewangan.
Sekiranya perkara ini berterusan, jangan berlengah untuk berbincang dengan pihak pengurusan. Sekiranya masih tiada jalan penyelesaian, laporkan terus kepada pejabat buruh.
2. Gaji dibayar secara ansuran
Sekiranya syarikat tempat anda bekerja mula membayar gaji secara ansuran, ia adalah tanda yang jelas bahawa sumber kewangan mereka sedang mengalami masalah.
Bayaran gaji yang tidak lengkap atau terpecah kepada beberapa bahagian pastinya akan menyukarkan kehidupan kewangan anda. Pertimbangkan untuk mencari jalan penyelesaian atau mula mencari peluang kerjaya yang lebih stabil.
3. Pemotongan gaji dilakukan
Pemotongan gaji secara tiba-tiba dan tidak dijelaskan sebabnya adalah petanda serius masalah kewangan syarikat.
Pemotongan ini boleh melibatkan elaun, manfaat, atau bahkan gaji pokok. Sebagai pekerja, anda berhak untuk mendapatkan penjelasan yang jelas tentang sebab pemotongan ini dilakukan.
Sekiranya penjelasan tidak memuaskan, mungkin sudah tiba masanya untuk mencari peluang lain atau laporkan sahaja kepada pejabat buruh.
4. EPF lambat dicarum
Sekiranya anda mendapati syarikat tempat anda bekerja lewat dalam pembayaran EPF/KWSP anda, ini adalah petanda yang merisaukan.
Rajin-rajinkan diri anda untuk memeriksa penyata KWSP anda dan pastikan bayaran dijelaskan dengan betul oleh majikan. Sekiranya terdapat jumlah yang berkurang atau tidak dibayar, laporkan terus kepada pejabat buruh.
5. Pembuangan pekerja
Syarikat yang mengalami kesulitan kewangan mungkin terpaksa mengambil tindakan drastik, termasuk membuang pekerja.
Sekiranya anda melihat bahawa banyak pekerja diberhentikan atau kontrak tidak diperbaharui, atau situasi-situasi yang berkaitan, ini mungkin petanda bahawa syarikat tersebut sedang dalam krisis kewangan. Anda sudah boleh mula ambil langkah-langkah berjaga-jaga dengan mula mencari peluang pekerjaan lain sebelum situasi bertambah teruk.
Secara ringkasnya, sekiranya terdapat salah satu atau lebih daripada tanda-tanda ini dalam syarikat tempat anda bekerja, anda sudah boleh mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi masa depan anda.
Anda boleh berbincang dengan majikan atau boleh mula mencari pekerjaan baharu.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan ilmu baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com