Tidak kira anda bekerja sendiri atau kerja makan gaji, kedua-duanya memiliki kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Ia bergantung kepada keinginan dan matlamat individu itu sendiri.
Sesetengah orang mungkin lebih selesa dengan kestabilan pekerjaan makan gaji, manakala ada juga yang mungkin memilih kebebasan dan potensi keuntungan kerja sendiri.
Kerja makan gaji
Makan gaji bermaksud bekerja di bawah orang lain sama ada dalam sektor awam atau swasta. Makan gaji juga bermaksud bekerja untuk majikan di mana majikan akan memberikan upah yang tetap pada setiap hujung bulan.
Kelebihan
-
Pendapatan tetap
Anda akan menerima gaji tetap setiap bulan. Ini membolehkan anda merancang perbelanjaan dan menyimpan dengan lebih baik. Kalau anda bernasib baik, setiap hujung tahun, syarikat akan berikan anda bonus.
-
Lebih fokus
Anda boleh fokus sepenuhnya pada satu pekerjaan sahaja tanpa perlu menguruskan pekerjaan yang lain.
-
Mendapat faedah (benefits)
Kebanyakan majikan menawarkan faedah seperti insurans kesihatan, cuti berbayar, pencen, dan elaun lain. Ini boleh mengurangkan beban kewangan anda.
Kekurangan
-
Kurang kreativiti
Anda mungkin akan terhad dari segi kreativiti di tempat kerja atau mencipta sesuatu yang baharu kerana anda terikat dengan tugas-tugas yang telah ditetapkan oleh majikan.
-
Risiko untuk hilang kerja
Walaupun pekerjaan makan gaji memberikan kestabilan kewangan, anda sentiasa berisiko kehilangan pekerjaan sekiranya ekonomi atau syarikat mengalami masalah.
Kerja sendiri
Kerja sendiri bermaksud individu yang memiliki perniagaan sendiri atau melakukan kerja secara ‘freelance’ tanpa perlu patuh pada waktu bekerja. Mereka dapat hidup dengan bekerja untuk diri sendiri dan bukannya bekerja untuk orang lain.
Kelebihan
-
Masa yang lebih fleksibel
Apabila anda bekerja sendiri, masa anda akan menjadi lebih fleksibel. Sekiranya berlaku kecemasan, anda tidak perlu risau untuk memohon cuti atau mengambil emergency leave.
-
Potensi untuk mendapat keuntungan yang tinggi
Sekiranya perniagaan anda berjaya, atau tugas yang anda lakukan memuaskan hati klien, anda berpotensi untuk mendapat keuntungan yang lebih besar.
-
Potensi untuk maju
Apabila anda bekerja sendiri, anda pasti mempunyai matlamat atau goals untuk dicapai. Untuk memastikan ia tercapai, anda akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan diri dan juga perniagaan anda.
Kekurangan
-
Pendapatan tidak menentu
Risiko bekerja sendiri adalah jumlah gaji yang tak menentu kerana semuanya bergantung mengikut usaha titik peluh diri sendiri. Keuntungan yang lumayan biasanya adalah hasil daripada kerajinan anda sendiri.
-
Tanggungjawab lebih besar
Anda perlu menguruskan semua hal berkaitan kerja secara seorang diri. Ini boleh menjadi cabaran untuk anda.
Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat dan panduan buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com