8 Langkah Keselamatan Ketika Musim Hujan

8 Langkah Keselamatan Ketika Musim Hujan

Posted by

Hujan boleh membawa banyak kesan baik seperti udara yang sejuk, nyaman, tanaman yang subur, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, hujan juga boleh membawa banyak risiko dan bahaya sekiranya tidak diambil langkah keselamatan yang sepatutnya. 

Menurut Astro Awani, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca, susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula bulan depan hingga Feb 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Perubahan cuaca ini berlaku disebabkan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada pertengahan bulan depan hingga Mac 2024. Semasa tempoh ini, episod hujan lebat diramal berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula November hingga Disember, sebelum beralih ke Johor dan Sarawak pada Disember hingga Januari 2024.

Artikel berkaitan: MetMalaysia ramal beberapa episod hujan lebat, gesa orang ramai berwaspada

Jadi, dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan antara 8 langkah keselamatan yang boleh diambil untuk memastikan keselamatan anda ketika musim hujan.

1. Pakai pakaian yang sesuai

8 Langkah Keselamatan Ketika Musim Hujan

Memakai pakaian yang sesuai sangat penting ketika musim hujan kerana ia dapat membantu melindungi diri daripada kesejukan. 

Sekiranya anda berada di luar rumah, pastikan anda bawa bersama payung, jaket kalis air atau kasut kalis air agar pakaian anda tidak basah kuyup.

Pastikan anda memakai pakaian cerah atau reflektif untuk memastikan bahawa anda kelihatan dengan jelas oleh pemandu kenderaan.

2. Memandu dengan berhati-hati

Semasa hujan, permukaan jalan akan menjadi licin dan memerlukan anda untuk berhati-hati terutamanya ketika memandu. Pandu secara perlahan dan beri jarak yang mencukupi antara kenderaan anda dan kenderaan di hadapan. 

Jangan memotong kenderaan lain dan elakkan daripada brek secara mengejut. Pastikan anda menghidupkan lampu kereta semasa hujan supaya pemandu lain tahu kewujudan anda. 

Pastikan anda berhati-hati dengan penunggang motosikal semasa hujan.

3. Elakkan berada di kawasan berbahaya

Ketika musim hujan/musim tengkujuh, elakkan daripada berada di kawasan berisiko dan berbahaya seperti kawasan banjir, kawasan berdekatan sungai, pantai atau parit. Jangan bermain-main dengan air ketika hujan kerana air boleh boleh menjadi deras dan membawa risiko seperti hanyut dan lemas.

4. Berhati-hati dengan nyamuk

Nyamuk akan bertelur dalam lopak air yang bertakung. Ini sekaligus menjadikan musim hujan sebagai musim pembiakan untuk serangga ini.

Aliran air akan ‘mencipta’ kawasan-kawasan baharu yang berlopak tenang dan ini sangat ideal bagi nyamuk bertelur.

Ketika tidur, anda digalakkan untuk memakai baju lengan panjang dan gunakan penyembur nyamuk untuk menghindar kehadiran nyamuk. Sebagai langkah tambahan, pasang pelindung nyamuk pada tingkap dan gunakan kelambu.

5. Elakkan berjalan dalam air/lopak air

Elakkan melalui lopak air yang terdapat di atas jalan. Ia mungkin kelihatan bersih tetapi ia mengandungi pelbagai bakteria yang boleh membawa kepada penyakit, virus dan jangkitan kulat.

Sekiranya anda tidak mempunyai pilihan lain, pastikan anda sentiasa membasuh kaki anda dengan sabun dan air bersih.

Selain itu, jangan memakai stokin atau kasut yang basah kerana kemungkinan besar ia mengandungi pelbagai jenis kuman.

6. Pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan baik

Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan. Periksa tayar, lampu, brek serta cermin kenderaan. Pastikan tayar dalam keadaan yang baik dan cukup tekanan angin. 

7. Jangan melintasi kawasan banjir 

Hujan boleh menyebabkan berlakunya banjir dalam waktu yang singkat dan boleh menyebabkan bahaya kepada orang awam dan kenderaan yang melaluinya. Risiko banjir juga akan meningkat sekiranya hujan lebat itu berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.

Jangan melintasi kawasan banjir walaupun air kelihatan rendah, kerana anda tidak akan tahu kedalaman air banjir tersebut. Jangan cuba untuk memandu atau berjalan di kawasan banjir. Pastikan anda mengambil jalan alternatif lain. 

8. Sentiasa ikuti perkembangan cuaca semasa

8 Langkah Keselamatan Ketika Musim Hujan

Jangan lupa untuk sentiasa mengikuti perkembangan cuaca semasa melalui saluran berita atau aplikasi cuaca yang boleh diakses dan dipercayai dengan mudah. Ini akan membantu anda untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk keselamatan diri dan keluarga.

Secara ringkasnya, ketika musim hujan/tengkujuh, keselamatan adalah perkara yang paling penting. Pastikan anda mengambil langkah-langkah keselamatan ini untuk mengelakkan berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini. 

Semoga perkongsian ini memberi panduan dan ilmu baru buat anda. 

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!


Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.

Reach me at hanis@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *