Keunikan Perayaan Deepavali Yang Anda Tak Tahu

Keunikan Perayaan Deepavali Yang Anda Tak Tahu

Posted by

Deepavali atau Diwali merupakan satu perayaan yang diraikan oleh penganut agama Hindu di seluruh dunia. Sambutan yang dikenali sebagai ‘pesta cahaya’ ini disambut untuk menandakan kemenangan oleh kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan atau simboliknya ditujukan dalam erti cahaya yang menerangi kegelapan.

Setiap perayaan pastinya mempunyai keunikannya yang tersendiri. Dalam artikel kali ini, kami kan kongsikan antara enam keunikan perayaan Deepavali yang anda tak tahu. 

1. Kolam sebagai penyeri rumah

Keunikan Perayaan Deepavali Yang Anda Tak Tahu

Kebanyakan penganut agama Hindu akan menghiasi rumah mereka dengan kolam atau nama lainnya rangoli atau muggulu.

Ia merupakan hiasan lantai yang menggunakan tepung beras, kapur, serbuk kapur, serbuk batu atau serbuk berwarna semulajadi atau sintetik. Hiasan kolam adalah sebagai selamat dan rahmat agar setiap isi rumah mendapat kesejahteraan.

2. Mandi minyak bijan untuk sucikan diri

Keunikan Perayaan Deepavali Yang Anda Tak Tahu

Pada pagi perayaan Hari Deepavali, seluruh ahli keluarga akan bangun sebelum matahari terbit untuk menjalankan upacara mandi minyak bijan.

Upacara ini bertujuan untuk menyucikan badan dan semangat serta merupakan simbolik penyucian diri.

Upacara mandi menggunakan minyak bijan ini bermula dengan ahli keluarga paling tertua yang akan menyapu minyak tersebut ke atas kepala setiap ahli keluarga.

Selain itu, upacara mandi minyak bijan ini adalah satu kepercayaan yang disamakan dengan upacara mandi suci di Sungai Gangga yang bertujuan untuk membersihkan diri daripada segala kejahatan dan sifat dengki.

Selesai upacara, penganut Hindu memakai pakaian dan perhiasan serba baru dan kemudian mereka akan ke kuil untuk melaksanakan upacara sembahyang secara biasa dan ada juga yang bersembahyang di rumah masing-masing.

3. Sembahyang untuk nenek moyang

Upacara sembahyang kecil ini akan dilaksanakan pada malam sebelum Deepavali di rumah masing-masing dan dilakukan dalam kalangan keluarga terdekat sahaja. 

Upacara ini adalah untuk memperingati datuk, nenek dan moyang yang telah meninggal dunia. Mereka akan menyediakan pelbagai jenis sayur-sayuran dan akan dihidangkan di hadapan gambar-gambar ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Upacara ini wajib dilakukan setiap tahun untuk memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia. 

4. Restu daripada ibu bapa

Penganut agama Hindu percaya bahawa ibu bapa merupakan individu yang dijadikan Tuhan sebagai penyebab kewujudan setiap manusia di dunia ini. Ibu bapa telah menabur banyak kebaikan dan telah banyak berkorban demi anak-anak termasuk mendidik dan membesarkan anak-anak hingga dewasa.

Oleh sebab itu, Tuhan memerintahkan kepada setiap hambanya agar wajib berbuat baik terhadap kedua ibu bapa.

Oleh itu, restu dan reda ibu bapa dalam kehidupan seseorang itu sangat penting kerana ia sebagai punca untuk mendapatkan keredaan Tuhan. 

Restu mereka juga sangat penting pada hari perayaan seperti Deepavali ini. Jadi, meminta restu daripada mereka, pada  hari yang mulia ini turut dianggap sebagai perkara yang wajib dilaksanakan

5. Manisan 

Keunikan Perayaan Deepavali Yang Anda Tak Tahu

Manisan merupakan identiti masyarakat India. Ia ini bukan sahaja diminati oleh kaum  India tetapi juga masyarakat lain di negara ini. 

Dalam masyarakat India, manisan sering menjadi acara pembuka sebelum memulakan sesuatu majlis, atau hari perayaaan. Menurut kepercayaan masyarakat Hindu, manisan mampu membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif daan kesejahteraan yang berpanjangan. 

6. Pantang larang

Penganut agama Hindu juga tidak terkecuali dari pantang larang yang diamalkan semasa menyambut Deepavali. Antara pantang larang yang masih diamalkan sehingga hari ini adalah:

  • Pemilihan warna pakaian 

Pada hari perayaan Deepavali, disarankan untuk memakai pakaian yang berwarna cerah atau garang seperti merah, biru atau oren kerana ia melambangkan kegembiraan. Elakkan daripada memakai pakaian berwarna hitam atau putih kerana ia yang menunjukkan kesedihan.

  • Manisan akan dimakan selepas mendapat restu Tuhan

Walau bagaimanapun, menurut kepercayaan penganut agama Hindu, manisan yang dibuat itu tidak boleh dimakan selagi manisan itu belum mendapat restu daripada Tuhan. 

Pada pagi sambutan Deepavali, beberapa jenis manisan akan dipersembahkan semasa bersembahyang di rumah dengan tujuan untuk mendapatkan restu Tuhan. Selepas bersembahyang, barulah hidangan manisan dan juga makanan istimewa lain yang disediakan boleh dinikmati.

  • Amalan berkabung

Ia dilakukan bagi menghormati sanak saudara yang telah meninggal dunia. Semua ahli keluarga terdekat dilarang menyambut perayaan Deepavali selama setahun. 

Walau bagaimanapun, mereka masih dibenarkan untuk melawat ke rumah rakan-rakan seagama. Selain memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah tiada, amalan ini juga bertujuan untuk mendapatkan kesejahteraan bagi diri dan keluarga.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan ilmu baru buat anda. 

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!


Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.

Reach me at hanis@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *