Kebanyakan pekerja di Malaysia akan bekerja 6 hari seminggu sebelum diturunkan menjadi 5 hari seminggu dengan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.
Namun kini, ada negara-negara yang telah mula melaksanakan kerja hanya 4 hari seminggu. Ini bermaksud, jam bekerja telah dikurangkan dari waktu standard 40 jam seminggu kepada 32 jam seminggu dengan gaji dan faedah yang sama.
Penting untuk memahami bahawa kerja 4 hari seminggu bukan bermaksud jadual kerja yang dimampatkan, tetapi pengurangan waktu bekerja. Dengan pelaksanaan ini, pekerja akan mempunyai tiga hari minggu.
Kebaikan bekerja 4 hari seminggu kepada pekerja
Kajian awal di Iceland mendapati bahawa bekerja 4 hari seminggu akan membuatkan pekerja merasa kurang tertekan dan kurang berisiko mengalami burnout. Malah, mereka juga merasakan kesihatan serta keseimbangan antara kerja dan kehidupan mereka semakin meningkat.
Artikel berkaitan: Produktiviti Di Tempat Kerja Dan Kaitannya Dengan Tidur Siang
Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pekerja untuk menghabiskan lebih banyak waktu dengan keluarga, melakukan hobi mereka dan menyiapkan kerja-kerja rumah.
Di New Zealand, kebajikan pekerja Unilever bertambah baik dengan penurunan tekanan sebanyak 33%. Pada masa yang sama, kekuatan dan semangat di tempat kerja meningkat sebanyak 15%. Malah, konflik antara pekerjaan dan kehidupan menurun sehingga 67%.
Kajian daripada 4 Day Week Global pula menunjukkan penurunan tahap tekanan, kepenatan, insomnia dan burnout bagi pekerja terlibat, di samping penambahbaikan dalam kesihatan fizikal dan mental. Pekerja juga didapati lebih fokus, lebih terlibat dan lebih berdedikasi dalam membantu syarikat mencapai sasaran dengan lebih baik.
Menurut kajian daripada Stanford University, mereka mendapati bahawa pekerja yang bekerja secara berlebihan adalah kurang produktif berbanding pekerja dengan waktu bekerja biasa. Kajian lain oleh Perpetual Guardian, sebuah syarikat di New Zealand, mendapati pekerja mempunyai produktiviti yang sama walaupun bekerja hanya 4 hari seminggu. Malah, mereka menunjukkan peningkatan dalam kepuasan kerja, kerjasama, keseimbangan pekerjaan dan kehidupan serta kesetiaan kepada syarikat. Tahap tekanan pekerja juga berkurang antara 38% hingga 45%.
Kebaikan bekerja 4 hari seminggu kepada majikan
Kajian di New Zealand oleh Unilever menunjukkan dapatan yang kuat terhadap terhadap sasaran perniagaan termasuk peningkatan pendapatan. Selain itu, ketidakhadiran pekerja turun sebanyak 34% dan majoriti pekerja merasa lebih terlibat dengan pekerjaan mereka.
Kebaikan 4 hari bekerja kepada alam sekitar
Sebuah penyelidikan oleh 4 Day Week di United Kingdom mendapati bekerja 4 hari seminggu dapat mengurangkan jejak karbon sebanyak 127 milion tan setahun mulai tahun 2025. Jumlah ini menunjukkan pengurangan sebanyak 21.3% dan lebih banyak berbanding jumlah jejak karbon yang dihasilkan di Switzerland.
Ia juga bersamaan dengan pengurangan sebanyak 27 milion kenderaan di jalan raya, iaitu setara dengan jumlah kereta persendirian di UK.
Selain itu, kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa bekerja 4 hari seminggu dapat menjimatkan sebanyak USD1.8 milion kos tenaga dan pelepasan karbon dioksida berkurang sebanyak 6,000 metrik tan.
Sekiranya perjalanan pekerja turut diambil kira, dianggarkan sebanyak 12,000 metrik tan pelepasan karbon dioksida dapat dielakkan, iaitu bersamaan pengurangan 2,300 buah kereta di jalan raya bagi tempoh satu tahun.
Kesimpulan
Kesimpulannya, bekerja 4 hari seminggu mempunyai banyak kebaikan bukan sahaja kepada pekerja dan majikan, malah kepada alam sekitar. Pekerja di UK yang terlibat dengan kajian awal 4 hari bekerja melaporkan kepada CNN Business bahawa perubahan tersebut menjadikan kehidupan mereka lebih baik, dengan lebih masa untuk membuat kerja rumah, melakukan hobi dan berehat.
Kini, lebih banyak permintaan supaya tempoh bekerja dikurangkan sehari, lebih-lebih lagi dengan normalisasi bekerja secara remote. Day Week Global menyarankan model 100-80-100 bagi kerja 4 hari seminggu, iaitu 100% gaji, 80% masa, tetapi paling penting sekali untuk mendapatkan 100% produktiviti.
Sumber: 4 day week, Unilever, Stop The Clock
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com