Fakta Menarik Perayaan Tahun Baru Cina

Fakta Menarik Perayaan Tahun Baru Cina

Posted by

Tahun Baru Cina 2024 akan bermula pada hari Sabtu, 10 Februari dan ini juga bermakna akan bermulanya Tahun Naga (Year of the Dragon) yang dikatakan sebagai tahun yang sangat bertuah dalam astrologi Cina. 

Dalam budaya Cina, Naga melambangkan bakat, kuasa dan kecemerlangan. Ini bermakna tahun 2024 diramalkan sebagai tahun untuk perubahan, peluang dan cabaran.

Berikut kami kongsikan 10 fakta lain tentang perayaan Tahun Baru Cina yang mungkin anda tidak cakna. 

1. Satu per lima penduduk dunia meraikan perayaan Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina adalah permulaan tahun baru dalam kalendar lunar. Perayaan Tahun Baru Cina ini disambut di seluruh Asia dan merupakan cuti umum di Korea Selatan, Vietnam, Malaysia, Korea Utara dan Taiwan.

2. Merah dan kuning warna tuah

Mengikut tradisi masyarakat Cina, mereka akan memakai pakaian berwarna merah dan kuning sekiranya ia melibatkan peristiwa menggembirakan seperti perayaan Tahun Baru Cina. Ini kerana, warna-warna ini memberikan tuah, kekayaan, kesihatan dan juga memberi makna serta simbolik yang baik. 

Ketika menghadiri majlis-majlis perayaan, masyarakat Cina dilarang sama sekali untuk memakai pakaian berwarna hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna ini melambangkan kematian dan kesedihan.

Artikel berkaitan: Kenali simbolik warna dalam budaya Cina

3. Makan besar pada malam Tahun Baru Cina

Fakta Menarik Perayaan Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina tidak akan lengkap tanpa jamuan makan besar bersama ahli keluarga. Ia juga dipanggil jamuan perjumpaan semula yang diadakan pada malam sebelum Tahun Baru dan lazimnya akan dibuat di rumah anggota keluarga yang paling tua. 

Pelbagai jenis makanan akan dihidangkan yang merangkumi ayam dan ikan yang dikatakan membawa tuah (berdasarkan perkataan bahasa Cina). Ikan pula tidak akan dimakan sehingga habis sebaliknya akan disimpan semalaman, bak pepatah Cina ‘semoga ada lebihnya setiap tahun’.

4. Setiap tahun diwakili oleh seekor haiwan daripada 12 ekor haiwan

Fakta Menarik Perayaan Tahun Baru Cina

Menurut cerita, 12 ekor haiwan tersebut adalah haiwan yang dipilih Maharaja Jed yang menang dalam perlumbaan khas untuk menjaga Pintu Kayangan.

Susunan pemenangnya adalah tikus, lembu jantan, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan khinzir (babi).

Untuk tahun 2024, ia adalah tahun naga, haiwan kelima dalam kitaran.

Artikel berkaitan: Maksud Di Sebalik Ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ Yang Anda Mungkin Tak Tahu

5. Pemberian angpau 

Fakta Menarik Perayaan Tahun Baru Cina

Angpau atau sampul merah adalah hadiah berbentuk wang yang diberikan ketika musim perayaan atau peristiwa khas dalam masyarakat Cina. Angpau dikenali sebagai ‘yāsuì qián’ yang membawa maksud ‘duit menahan umur’. 

Warna merah sampul ini pula melambangkan tuah. Pemberian angpau pada perayaan Tahun Baru Cina merupakan satu tradisi sejak zaman dahulu yang mana angpau biasanya akan diberikan dalam jumlah dan bilangan yang genap oleh individu yang sudah berkahwin kepada individu yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia.

6. Bersembahyang di kuil

Tahun Baru Cina juga adalah saat untuk mengingati mereka yang telah meninggal dunia. Salah satu tradisi utama dalam Tahun Baru Cina adalah mendoakan nenek moyang.

7. Maksud nombor 8 dalam numerologi Cina

Masyarakat Cina percaya bahawa nombor bertuah (lucky number) mereka adalah nombor 8 kerana ia membawa pengaruh yang sangat tinggi dan juga kejayaan dalam kehidupan. Bunyi sebutan nombor 8 iaitu ‘ba’ dalam bahasa Cina kedengaran hampir sama seperti ‘kekayaan’ atau ‘kemakmuran’.

8. Pantang larang Tahun Baru Cina

Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, ada banyak pantang larang yang perlu dilakukan untuk mendapat lebih tuah dan kemakmuran untuk tahun baru antaranya:

  • Dilarang menyapu sampah ketika waktu perayaan terutama sekali pada hari pertama kerana ia dianggap akan membawa nasib yang tidak baik. Tindakan ini juga dipercayai akan membuang tuah dah memburukkan nasib. Digalakkan untuk melakukan aktiviti pembersihan pada hari sebelum menjelangnya Tahun Baru Cina
  • Dilarang untuk memotong kuku dan mencuci rambut pada hari pertama Tahun Baru Cina kerana perbuatan ini dipercayai akan menghilangkan tuah yang datang. Keberuntungan (luck) amat dititikberatkan dalam masyarakat Cina dan dengan mencuci rambut dipercayai ibarat mencuci keberuntungan yang ada
  • Dilarang untuk mencuci pakaian pada hari pertama dan kedua perayaanTahun Baru Cina. Membasuh pakaian dianggap sebagai permulaan yang tidak baik dan dikatakan menyinggung perasaan Dewi Air iaitu Shuishen mereka kerana pada hari yang dilarang membasuh pakaian itu merupakan ulang tahun kelahirannya
  • Jangan pinjam duit. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, hutang perlu dilangsaikan sebelum malam Tahun Baru Cina supaya si penghutang tidak akan terbeban dengan hutang sepanjang tahun
  • Dilarang bercakap kasar atau kesat kerana ia dipercayai membawa malang pada Tahun Baharu Cina

Artikel berkaitan: 15 Taboos to Avoid For a Prosperous Chinese New Year

9. Yee Sang simbol kesejahteraan

Fakta Menarik Perayaan Tahun Baru Cina

Dalam bahasa Cina, perkataan ‘Yee’ bermaksud ikan yang turut membawa makna ‘kekayaan berkekalan’. Manakala perkataan ‘Sang’ pula merujuk kepada ‘mentah’ dan turut mempunyai maksud lain iaitu ‘kebangkitan’. Pendek kata, Yee Sang ini melambangkan simbol kemewahan dan panjang umur. Masyarakat Cina juga percaya bahawa semakin tinggi Yee Sang diangkat ketika digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun.

10. Tarian singa tradisi Tahun Baru

Fakta Menarik Perayaan Tahun Baru Cina

Tarian singa cukup sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina. Berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina, tarian singa bukan hanya sekadar untuk menghiburkan, sebaliknya ia dipercayai mampu membawa tuah pada masa akan datang. 

Ini kerana, masyarakat Cina percaya bahawa dengan mengadakan tarian singa ia mampu membawa tuah dan kekayaan (rezeki) selain ia merupakan tarian tradisional masyarakat mereka.

Semoga perkongsian kami ini memberi ilmu baru buat anda. 

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Sumber: Harian Metro, Jurnal Wacana Sarjana, SBS, Google Arts & Culture


Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.

Reach me at hanis@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *