Negara dikhuatiri akan kehilangan tenaga kerja profesional seperti doktor dan saintis kerana semakin banyak pelajar di peringkat sekolah menengah tidak lagi tertarik pada mata pelajaran dalam bidang Sains Tulen.
Ini dapat dilihat melalui peratusan calon yang mengambil subjek Sains Tulen dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikesan terus merosot di bawah 15.2 peratus.
Pakar pendidikan berpendapat sekiranya trend ini berterusan, matlamat untuk mencapai dasar di mana 40 peratus pelajar memilih bidang Sains Tulen yang merangkumi teras Sains, Matematik, Kejuruteraan, dan Teknologi (STEM) akan terjejas.
Bagi sesi 2033/2024, hanya 15.2 peratus atau kira-kira 62,250 daripada jumlah kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara telah memilih aliran Sains untuk meneruskan ke Tingkatan Empat.
Jumlah ini merupakan yang terendah dalam sejarah dan jauh ketinggalan berbanding dengan sasaran dasar 60 peratus yang ditetapkan pada tahun 1967.
Berdasarkan dasar yang ditetapkan 57 tahun yang lalu, kerajaan bermatlamat untuk mencapai 60 peratus pelajar dalam aliran Sains Tulen, manakala 40 peratus lagi dalam aliran Sastera.
Antara faktor yang tidak menggalakkan pelajar untuk memilih aliran Sains adalah mereka diberi kebebasan untuk memilih bidang selepas Tingkatan Tiga sejak tahun 2017, tanpa perlu bergantung kepada keputusan peperiksaan lagi.
Menurut pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad, kaedah Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah juga tidak mampu dan sukar untuk mengenal pasti pelajar yang berminat dalam Sains Tulen.
Walaupun mengakui bahawa jumlah 15.2 peratus pelajar itu ‘agak menakutkan’, beliau menyatakan bahawa ini bermakna hanya 15 orang sahaja daripada setiap 100 pelajar yang akan memilih aliran Sains Tulen.
Beliau juga bimbang sekiranya peratusan tersebut akan terus merosot sekiranya tiada tindakan intervensi diambil, dengan pelajar cenderung lebih memilih aliran Sastera, Perdagangan, atau memasuki Kolej Vokasional.
“Kita akui ramai pelajar menganggap bidang ini tidak menarik dan mereka fikir sukar untuk mendapat pekerjaan, maka lebih cenderung kepada aliran Sastera atau menceburi sektor yang tidak rasmi.
“Salah satu kemerosotan adalah disebabkan kita terlalu awal mendedahkan murid dengan ‘beban’ Sains sedangkan di negara luar termasuk di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, mereka lebih bereksperimentasi atau ‘bermain’ dengan Sains,” katanya.
Artikel berkaitan: Peluang Pekerjaan Untuk Orang Kurang Upaya (OKU) Masih Rendah
Jumlah pelajar yang mengambil aliran Sains Tulen dijangka akan mengalami penurunan
Persatuan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Kebangsaan meramalkan bahawa jumlah pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara yang memilih aliran Sains Tulen boleh mengurang kepada 12 peratus daripada 15.2 peratus ketika ini.
Untuk sesi 2023/2024, hanya 15.2 peratus atau kira-kira 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara yang memilih aliran Sains apabila memasuki Tingkatan Empat.
“Memang menurun sekarang ini, tambahan pula kita baharu melepasi pandemik COVID-19 kerana ketika penularannya dalam tempoh 2020 hingga 2022, kebanyakan pelajar tidak ke sekolah dan ketinggalan subjek Sains Tulen.
“Apabila masuk semula sekolah, mereka yang berada dalam Tingkatan Empat dan Lima tiada kefahaman Sains Tulen dan akhirnya memilih bidang lain,” jelas Prof Emeritus Datuk Dr Noraini Idris selaku pengerusi.
Sebagai pengerusi persatuan STEM, Noraini melihat bahawa salah satu faktor yang menyebabkan penurunan jumlah pelajar yang mengambil Sains Tulen adalah kekurangan fasiliti makmal Sains di sekolah.
Menurut beliau, makmal di sekolah-sekolah negara ini masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara jiran seperti Singapura, Thailand, dan Filipina. Padahal, salah satu faktor yang menarik minat pelajar terhadap Sains adalah peluang untuk melakukan eksperimen.
“Justeru, kita mohon supaya makmal Sains di sekolah tidak kira di kampung atau di bandar diperbaiki.
“Kerajaan memberi perhatian kepada tandas sebelum ini, itu tidak apa namun makmal Sains pun penting juga, kita berharap kerajaan memandang serius keperluan STEM ini,” katanya.
Ini kerana sekiranya tiada sebarang tindakan yang diambil, negara berisiko menghadapi krisis tenaga kerja profesional tempatan dalam jangka masa yang panjang.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!