Cara Bahagikan Masa Antara Kerja Tetap Dan Kerja ‘Part Time’

Cara Bahagikan Masa Antara Kerja Tetap Dan Kerja ‘Part Time’

Posted by

Realiti kehidupan masa kini memaksa sesetengah individu yang berpendapatan rendah untuk melakukan dua atau tiga pekerjaan dalam sehari demi menjana pendapatan untuk kelangsungan hidup.

Lazimnya, mereka ini membuat pilihan untuk mempunyai kerja sampingan (part time) kerana gaji yang diterima daripada kerja hakiki (kerja tetap) tidak mencukupi.

Ini adalah kebenaran yang pahit untuk ditelan namun, hidup perlu diteruskan. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan untuk hidup, penting agar mereka tidak mengabaikan keseimbangan antara kerja tetap dan kerja ‘part time’.

Keseimbangan adalah penting kerana anda masih bertanggungjawab terhadap kerja tetap, sementara kerja part time perlu dikekalkan untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

Tanpa keseimbangan, anda bukan sahaja kehilangan tenaga dan masa malah anda mungkin juga berpotensi untuk kehilangan kedua-dua pekerjaan yang sedang anda lakukan sekarang. Bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Berikut kami kongsikan 4 cara untuk seimbangkan antara kerja tetap dan kerja part time.

1. Pastikan kerja sampingan (part time) dilakukan selari dengan minat

Lebih baik sekiranya kerja part time yang dipilih sejajar dengan minat individu. Cara paling mudah untuk memilih pekerjaan yang sesuai dengan minat adalah melalui pemilihan berdasarkan hobi.

Sebagai contoh, sekiranya anda bekerja sepenuh masa dalam bidang khidmat pelanggan, dan minat anda adalah dalam penulisan dan reka bentuk grafik, maka kerja part time yang sesuai dengan anda adalah menawarkan khidmat ghostwriting atau menjadi seorang pereka grafik bebas.

Fikirkan kembali mengapa anda ingin melibatkan diri dalam kerja part time. Adakah ia untuk tujuan kewangan atau untuk memenuhi kepuasan diri? Sebab kukuh ini akan menjadi sumber motivasi kepada anda apabila semangat anda mula hilang.

2. Bahagikan masa dengan bijak

Anda boleh gunakan waktu selepas tamat waktu kerja tetap untuk menjalankan kerja part time, agar ia tidak menghalang atau mengganggu masa yang diperuntukkan untuk pekerjaan tetap anda.

Ini kerana sesetengah majikan di Malaysia mempunyai peraturan yang menghalang pekerjanya daripada menjalankan tugasan luar semasa waktu bekerja.

Oleh itu, anda disarankan untuk menggunakan masa pada waktu malam untuk memberi tumpuan kepada kerja part time. Pendekatan ini juga membolehkan anda meningkatkan produktiviti pada waktu-waktu lapang.

Pastikan untuk tetapkan masa untuk berehat juga, agar anda tidak terlalu tertekan dan mengalami burnout.

3. Tetapkan sempadan

Apabila anda mempunyai pekerjaan tetap dan pekerjaan part time, masa anda akan menjadi sangat terhad. Anda perlu sedar perkara-perkara yang perlu dikorbankan, antaranya kenikmatan tidur dan kehidupan sosial.

Kalau penat, anda perlu tahu bila untuk berehat. Anda juga perlu sedar bahawa kerja tetap lebih penting berbanding kerja part time. Melainkan, anda tidak kisah sekiranya majikan kerja tetap anda tiba-tiba memberhentikan anda kerja.

4. Jaga kesihatan mental dan fizikal

Kesihatan adalah aspek perlu diutamakan untuk mencapai keseimbangan antara kedua-dua kerja. Jika anda mengalami keletihan, kurang tidur, atau masalah kesihatan, ini boleh mengurangkan produktiviti dan meningkatkan risiko dipecat daripada kerja tetap.

Ambil tahu tentang tahap kesihatan fizikal dan mental anda. Jika tidak mampu, jangan dipaksa. Ambil cuti sakit atau rehat selama beberapa hari daripada kerja part time untuk kembali sihat dan fokus pada kerja tetap.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan panduan untuk anda semua. 

Artikel berkaitan: Kebaikan Dan Keburukan Bekerja Sebagai ‘Freelancer’

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *