Iklan Kerja Tak Tulis Jumlah Gaji? Ini Apa Yang Anda Perlu Buat

Iklan Kerja Tak Tulis Jumlah Gaji? Ini Apa Yang Anda Perlu Buat

Posted by

Kalau anda perasan, terdapat beberapa iklan kerja yang tidak menyatakan jumlah gaji yang mereka tawarkan.

Perkara ini sebenarnya boleh jadi sesuatu yang sangat menjengkelkan kerana anda sudah berminat dengan jawatan yang ditawarkan tetapi gaji pula tidak dinyatakan.

Mengapakah perkara ini berlaku? Pada asalnya, majikan ingin menarik pelbagai calon, tetapi ketidakpastian gaji mungkin membuatkan calon yang berpotensi tinggi enggan memohon pekerjaan dengan mereka.

Selain itu, ada kemungkinan beberapa calon tertarik pada gaji maksimum yang ditawarkan walaupun kurang berkelayakan dari segi pengalaman dan kemahiran, yang boleh menyebabkan syarikat membayar mereka lebih dari yang sepatutnya.

Dalam situasi lain, anda mungkin sangat berminat dengan iklan kerja tersebut walaupun gaji tidak dinyatakan. Jadi, apakah langkah yang patut diambil bagi memastikan anda menerima gaji yang diinginkan?

Berikut adalah tiga langkah yang boleh membantu anda.

1. Kaji berapa purata gaji untuk jawatan tersebut

Kaji laporan gaji di Malaysia untuk mengetahui nilai gaji yang sesuai berdasarkan jawatan, industri, dan kelayakan anda.

Di Malaysia, terdapat pelbagai laporan gaji yang boleh dijadikan sebagai panduan, seperti yang disediakan oleh PERSOLKELLY.

Anda juga boleh menggunakan platform Glassdoor sebuah platform di mana ramai pekerja berkongsi pengalaman mereka bekerja dengan syarikat tertentu, termasuk maklumat mengenai gaji dan faedah yang ditawarkan.

Dengan ini, anda dapat mengetahui jumlah gaji yang boleh diminta dan menjalankan penyelidikan mengenai syarikat tersebut, termasuk persekitaran kerja, pengalaman pekerja, serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan yang ada.

2. Bersedia untuk berunding

Kebanyakan pencari kerja merasa ragu-ragu untuk berunding gaji kerana risau akan dianggap tamak atau tidak berbaloi. Walau bagaimanapun, berunding merupakan peluang untuk memperlihatkan kebolehan serta menunjukkan nilai yang diberikan sebagai justifikasi untuk meminta gaji yang diminta.

Jika anda telah meningkatkan produktiviti, memperbaiki kepuasan pelanggan, meningkatkan keuntungan syarikat, atau memberikan sumbangan lain kepada bekas majikan, pastikan untuk menyampaikan pencapaian-pencapaian tersebut dengan penuh keyakinan dan positif.

Sekiranya majikan menyatakan bahawa gaji yang diminta melebihi bajet mereka, jangan bimbang. Masih ada banyak perkara lain yang boleh dirundingkan seperti fleksibiliti kerja (seperti bekerja dari rumah atau di pejabat) dan bayaran kerja lebih masa.

Namun, perlu diingatkan bahawa tidak semua perkara boleh dirunding. Terlalu banyak permintaan atau rundingan boleh menyebabkan penolakan jawatan.

3. Tentukan nilai gaji minimum yang anda boleh terima

Lakukan penilaian terperinci terhadap segala tanggungjawab anda untuk menentukan jumlah gaji minimum yang boleh diterima. Ini penting bagi mengelakkan menerima bayaran gaji yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup.

Secara realistiknya, walaupun pekerjaan itu merupakan impian anda, sekiranya gaji yang ditawarkan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan anda, pertimbangan apakah gunanya menerima pekerjaan tersebut.

Untuk menentukan jumlah gaji minimum yang sesuai, ambil kira setiap komitmen kewangan seperti bayaran sewa, bil-bil, ansuran kereta, dan kos pengangkutan harian ke tempat kerja.

Sekiranya anda telah berunding untuk gaji sebanyak RM5,000 tetapi majikan hanya mampu membayar RM4,000, pertimbangkan sama ada ia mencukupi atau tidak. Jika tidak, cuba berunding dalam aspek lain seperti yang telah dinyatakan.

Justeru, memahami tentang syarikat yang anda mohon, industri, dan trend pasaran kerja adalah kunci untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang bersesuaian untuk anda dan syarikat tersebut.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan panduan untuk anda semua. 

Artikel berkaitan: Orang Singapura Mencari Penebar Roti Canai, Tawar Gaji RM5,000 Ke Atas Berserta Tempat Tinggal

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *