Ini Fakta Hari Pekerja Yang Ramai Tak Tahu!

Ini Fakta Hari Pekerja Yang Ramai Tak Tahu!

Posted by

Hari Pekerja yang disambut pada setiap 1 Mei merupakan hari penting untuk mengangkat martabat dan hak pekerja agar diraikan dan dihormati semua pihak!  

Hari Pekerja adalah hari bagi semua yang bergelar pekerja berehat dan bercuti. Namun, ia bukan sekadar cuti umum dalam kalendar cuti sesebuah negara, apatah lagi bagi negara yang mempunyai cuti umum terbanyak di dunia seperti Malaysia.

Hari Pekerja atau sepatutnya digelar Hari Buruh merujuk kepada perkataan ‘Buruh’ atau ‘Labour’ dalam bahasa Inggeris yang dikaitkan dengan pekerjaan yang menggunakan kudrat dan tenaga manusia secara manual.

Tetapi kini, Hari Buruh dipanggil Hari Pekerja sempena mengambil kira bahawa mereka yang bekerja ‘makan gaji’ itu juga adalah buruh kerana sifat umum seseorang buruh pada masa dahulu adalah menerima upah daripada hasil pekerjaannya.

Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan 9 fakta menarik tentang Hari Pekerja yang mungkin ramai tidak cakna.

1. Hari Pekerja diwujudkan bagi memperingati perjuangan buruh yang menuntut hak-hak mereka sebagai pekerja ketika revolusi industri berkembang pesat di Barat.

2. Sambutan ‘May Day’ ini bermula di Amerika Syarikat pada 1880-an, ketika Amerika berada dalam zaman ‘Gilded Age’ (1865-1900). Ini adalah suatu era yang terkenal dengan amalan sistem ekonomi ‘laissez faire’ di mana kerajaan tidak campur tangan dalam ekonomi. Dengan amalan tersebut, industri berkembang pesat dan Amerika menjadi ekonomi terbesar di dunia.

3. Pada ketika itu, kerajaan pusat adalah lemah di mana mereka membenarkan golongan kapitalis (pemilik kilang) menguasai ekonomi. Untuk memaksimumkan keuntungan, pekerja kilang dipaksa bekerja selama 12 hingga 14 jam, dan kadang-kadang sehingga 16 jam sehari, tanpa mendapat cuti. Pekerja kanak-kanak adalah perkara biasa. Tiada undang-undang yang mewajibkan kanak-kanak bersekolah.

4. Disebabkan itu, pekerja kilang mula memperjuangkan idea bekerja 8 jam sehari (8 hours labor, 8 hours recreation, 8 hours rest). Untuk memperjuangkan hak tersebut, mereka mogok dan berarak di jalan. Mereka juga telah dipukul dan ditembak oleh polis upahan kapitalis seperti ‘Pinkerton Guards’.

5. Kemuncak konflik antara kapitalis dan pekerja berlaku dalam Peristiwa Haymarket (Haymarket Affair) yang berlaku pada 3-4 Mei 1886. Semasa pekerja berarak di Haymarket Square (di Chicago) menuntut bekerja hanya 8 jam sehari, golongan anarkis (golongan ekstremis yang ingin menggulingkan kerajaan) meletupkan bom dan mengorbankan beberapa anggota polis dan orang awam. Berikutan daripada peristiwa tersebut, ramai pemimpin kesatuan pekerja telah ditangkap dan dihukum bunuh.

6. Dua tahun selepas itu (1888), Persatuan Buruh Amerika (American Federation of Labor) menetapkan 1 Mei sebagai hari peringatan Peristiwa Haymarket. Pekerja kilang hanya akan bekerja selama 8 jam pada hari itu sebagai tanda protes.

7. Second International (gabungan sosialis sedunia) menyokong tindakan tersebut. Maka pada tahun seterusnya (1889), 1 Mei ditetapkan sebagai Hari Pekerja Antarabangsa (International Workers Day).

8. Di Malaysia, pengiktirafan Hari Pekerja juga berkait rapat dengan perubahan pandangan dalam pemikiran pemimpin. Hari Pekerja tidak dianggap penting sehinggalah pada 20 Mei 1972 ketika Tun Dr. Ismail mengisytiharkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan cuti umum.

9. Sebelum itu, idea sambutan Hari Pekerja ditentang kerana kerajaan mengamalkan ekonomi laissez faire dan dikhuatiri 1 Mei akan ‘ditunggang’ oleh golongan kiri (sosialis dan komunis). Lihat rujukan di bawah.

Ini Fakta Hari Pekerja Yang Ramai Tak Tahu!

Kesimpulannya, cuti bersempena Hari Pekerja yang anda dapat bukan kerana ihsan golongan kapitalis, tetapi atas perjuangan golongan buruh terdahulu untuk membela nasib diri.

Semoga perkongsian ini memberi ilmu baru buat anda. 

Artikel berkaitan: Ini Fakta Menarik Tentang Hari Wanita Sedunia!

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *