Seorang guru bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Sydney Engelbert, 30, dari etnik Kadazandusun telah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024.
Sydney, yang berasal dari kampung Kiawayan di Tambunan, sebuah kawasan pedalaman di Sabah, telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024, mengatasi 14,800 peserta lain dari lebih daripada 140 negara.
Artikel lain: Pekerja Ini Terpaksa Berhenti Kerja Kerana Ibu Tidak Beri Keizinan Naik Pengangkutan Awam
“Saya sangat bersyukur. Saya tidak pernah terfikir untuk dipilih sebagai pemenang, kerana pencalonan lain semuanya hebat dan saya benar-benar berbesar hati untuk dicalonkan dalam kalangan mereka.
“Namun, dengan sokongan penuh yang saya terima daripada keluarga, rakan, rakan sekerja dan pelajar saya, ia menyedarkan saya bahawa saya tidak bersendirian dalam perkara ini, walaupun ia boleh menjadi suatu perjalanan yang mencabar,” kata Sydney kepada Cambridge Dedicated Teachers Awards.
Sydney yang juga pemegang ijazah sarjana muda dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), mendapat inspirasi daripada kedua ibu bapanya, yang juga guru, untuk mendalami profesion perguruan.
Beliau mula mengajar pada tahun 2019 dan beliau belajar untuk menangani keupayaan terhad pelajarnya menerusi melalui pelbagai gabungan aktiviti seni dan bahasa.
“Kedua-dua ibu bapa saya adalah guru dan saya membesar dengan melihat bagaimana mereka berjaya membantu dan memberikan inspirasi kepada banyak kehidupan, sepanjang kerjaya mereka.
“Walaupun menerima anugerah dan pengiktirafan atas perkhidmatan mereka sejak sekian lama, ibu bapa saya sering mengatakan bahawa perkara yang paling membanggakan menjadi seorang guru adalah apabila bekas pelajar, masih mengingati dan menghormati mereka.
“Ramai bekas pelajar masih mengingati mereka sebagai guru mereka. Itulah yang membuatkan saya menceburi profesion ini,” jelasnya.
Pada tahun 2022, Sydney memulakan inisiatif untuk mengadakan program pertukaran kelas secara dalam talian dengan beberapa sekolah vokasional di Asia Tenggara. Setiap sesi program berlangsung selama tiga bulan, dan dalam jangka masa dua tahun, hampir 400 pelajar dan 50 guru dari semua sekolah yang terlibat telah mendapat manfaat secara langsung daripadanya.
Sydney turut terlibat secara aktif dalam program antarabangsa lain, termasuk menjadi tuan rumah kepada pelajar dari luar negara di sekolahnya.
Sydney merupakan guru kedua yang memenangi anugerah tersebut selepas Khalifa Affnan, yang juga dari Kolej Vokasional Keningau, meraihnya pada tahun 2022.
Sumber: Bernama