Pasport Malaysia menduduki tangga ke-12 dalam Indeks Pasport Global terkini, menurun satu tempat berbanding dengan kedudukan tahun lalu di tempat ke-11.
Menurut laporan terkini Indeks Pasport Henley 2024 yang menilai 199 pasport dan 227 destinasi perjalanan, Malaysia bersama-sama dengan negara Cyprus dan Liechtenstein berkongsi tempat ke-12 dalam ranking pasport global.
Pada awal tahun 2023, Malaysia berada di tempat ke-14 dalam senarai pasport paling berkuasa di dunia dengan skor 179.
Pemegang pasport Malaysia mempunyai akses tanpa visa ke 182 daripada 227 destinasi di seluruh dunia.
Artikel berkaitan: Kepentingan Visa ke Luar Negara
Sebelum ini, kedudukan tertinggi pasport Malaysia adalah di tempat ke-8 pada tahun 2014.
Manakala Singapura mengekalkan kedudukan teratas dalam indeks tersebut dengan membolehkan warganya melancong tanpa visa ke 195 destinasi, menjadikannya pasport paling berkuasa di dunia.
Indeks ini menggunakan data yang komprehensif dari Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan mencerminkan situasi global semasa perjalanan tanpa visa.
Thailand dan Indonesia masing-masing berada di tempat ke-60 dan ke-65, sementara Brunei berada di tempat ke-19.
Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos, dan Myanmar berturut-turut berada di tempat ke-73, ke-86, ke-88, ke-90, dan ke-92 dalam ranking tersebut.
Jepun, yang sebelumnya menduduki tempat pertama, kini berkongsi tempat kedua dengan Perancis, Jerman, Itali, dan Sepanyol. Kelima-lima negara ini memberikan akses tanpa visa kepada warganya ke 192 destinasi.
Pemegang pasport Malaysia boleh memasuki pelbagai destinasi terkenal seperti United Kingdom (UK), Jepun, Itali, Qatar, Perancis, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa visa.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!