Masalah kulit berminyak lazimnya berlaku disebabkan oleh kewujudan kelenjar sebum yang banyak pada bahagian kulit.
Kelenjar sebum adalah mikroskopik yang terdapat di dalam folikel rambut. Fungsi utama sebum adalah untuk melindungi kulit daripada menjadi kering sekaligus mengekalkan kelembapan tidak kira pada kulit muka ataupun kulit kepala.
Walau bagaimanapun, untuk beberapa keadaan terdapat kemungkinan yang mana tubuh menghasilkan sebum lebih daripada kuantiti yang sepatutnya. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti genetik, cuaca, tekanan, dan hormon.
Disebabkan itu, cara yang paling mudah untuk mengelakkan kulit muka berminyak adalah dengan melakukan rutin penjagaan wajah yang bertepatan dengan keperluan kulit.
Bagaimana Cara Untuk Tahu Anda Mempunyai Kulit Berminyak?
Sekiranya anda sering berasa anda mempunyai apa yang boleh digambarkan sebagai muka berminyak atau kulit berkilat, anda berkemungkinan besar mempunyai masalah kulit berminyak. Tapi, sekiranya anda tidak pasti, anda boleh gunakan kaedah blotting untuk mengujinya.
Caranya adalah dengan menyapukan satu helaian kertas blotting pada pipi anda, satu lagi pada dahi, dan satu lagi pada hidung, kemudian letakkannya di hadapan cahaya.
Sekiranya ketiga-tiga helaian itu menunjukkan kesan minyak yang banyak, anda perlu tukar rutin penjagaan kulit yang lebih sesuai untuk keadaan kulit anda.
Punca Kulit Berminyak
Terdapat banyak faktor yang memberi kesan kepada sebum kulit antaranya:
1. Genetik
Genetik boleh menyebabkan kelenjar sebum anda menghasilkan lebihan sebum yang menyebabkan kulit berminyak. Sebagai contoh, sekiranya ahli keluarga anda mempunyai kulit berminyak, mungkin terdapat kemungkinan yang lebih tinggi untuk anda juga.
2. Hormon
Tahap hormon juga menjadi salah satu fakor terjadinya kulit berminyak. Ini kerana, menurut penyelidikan, tahap testosteron yang lebih tinggi boleh menyebabkan kulit lelaki mempunyai lebih banyak sebum daripada kulit wanita. Pengeluaran minyak berubah semasa fasa kehidupan dengan perubahan hormon semula jadi, seperti akil baligh (cukup umur) dan menopaus.
3. Umur
Jumlah minyak yang dihasilkan oleh kulit adalah berbeza-beza bagi setiap individu. Selepas baligh (cukup umur), pengeluaran sebum akan meningkat dan akan mula berkurangan secara mendadak selepas putus haid bagi wanita dan selepas umur 60 tahun bagi lelaki.
4. Tidak gunakan pelembap
Kulit berminyak secara semula jadi menghasilkan lebih banyak sebum berbanding jenis kulit yang lain, tetapi ini tidak bermakna ia memerlukan kurang kelembapan. Sebenarnya, sekiranya kulit anda tidak cukup terhidrat, ia mungkin akan menghasilkan lebih banyak sebum untuk mengimbangi kekurangan kelembapan.
5. Mencuci muka terlalu kerap
Mencuci muka terlalu kerap atau menggunakan atau menggunakan pembersih yang salah boleh menghilangkan minyak semula jadi pada kulit anda sekaligus mencetuskan peningkatan pengeluaran minyak — dan juga boleh merosakkan penghalang pelindungnya.
Tabiat Dalam Rutin Penjagaan Kulit Yang Menyebabkan Masalah Kulit Berminyak
Menurut pakar, proses pembersihan yang terlalu agresif berupaya merengsakan kulit anda dan berpotensi mencetuskan peningkatan pengeluaran minyak.
Menurut American Academy of Dermatology, tidak kira apa sahaja faktor yang membuatkan muka anda berminyak, amalan rutin penjagaan kulit yang betul adalah penting.
Antara tips dalam penjagaan kulit anda adalah:
1. Cari pencuci muka lembut yang diformulasikan untuk membersihkan secara menyeluruh, tanpa mengganggu kelembapan kulit anda.
2. Sekiranya kulit berminyak anda terdedah kepada jerawat, pertimbangkan untuk gunakan pembersih yang mengandungi benzoyl peroksida atau asid salisilik untuk membersihkan jerawat dengan jelas dan membantu mencegah jerawat baru.
3. Pilih pelembap bukan komedogenik yang tidak akan membuatkan liang-liang anda tersumbat termasuk formula siang hari dengan pelindung matahari spektrum luas dan formula malam yang ringan.
4. Cari produk penjagaan kulit yang dirumus dengan bahan seperti niacinamide, yang membantu menenangkan kulit, atau ceramide , yang secara semula jadi ditemui dalam penghalang pelindung kulit.
Perlu diingatkan amalan pembersihan secara berlebihan boleh merengsakan kulit anda. Ini, akan mencetuskan peningkatan pengeluaran sebum dan menyebabkan kulit berminyak.
Bacaan lain: Ini Sebab Kenapa Latihan Industri (Internship) Diperkenalkan
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!