Berkawan rapat dengan rakan sekerja adalah situasi yang normal di kebanyakan tempat kerja. Persahabatan ini sekaligus membawa kepada banyak kelebihan, termasuk komunikasi dan produktiviti di tempat kerja.
Walau bagaimanapun, persahabatan ini juga tidak terlepas daripada keburukan, seperti gangguan kepada produktiviti di tempat kerja dan hubungan peribadi dan profesional. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan kelebihan dan keburukan berkawan rapat dengan rakan sekerja, serta cara menyeimbangkan hubungan tersebut agar tetap profesional dan produktif.
Kelebihan
1. Kepercayaan
Berkawan rapat dengan rakan sekerja dapat membina kepercayaan yang lebih tinggi sesama anda. Apabila anda lebih memahami personaliti dan perspektif rakan sekerja, anda akan lebih yakin dengan hasil kerja yang bakal mereka berikan.
Ini kerana, kepercayaan merupakan antara elemen penting untuk bekerjasama secara berkesan di tempat kerja. Dari sini juga anda dan rakan sekerja akan saling bergantung dan bekerjasama untuk hasil kerja yang lebih baik.
2. Komunikasi
Kejayaan syarikat bergantung kepada keupayaan pekerja berkomunikasi antara satu sama lain.
Namun, mungkin agak mencabar apabila terdapat sesetengah syarikat yang tidak memberi peluang kepada pekerja untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi mereka.
Sebenarnya, memupuk hubungan persahabatan dengan rakan sekerja akan memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran komunikasi.
Dengan komunikasi bersama rakan sekerja, anda bukan sahaja dapat memperkukuh keupayaan untuk berkomunikasi secara berkesan, malah memahami rakan sekerja dengan lebih mendalam.
3. Produktiviti
Berkawan rapat dengan rakan sekerja boleh membantu anda berasa lebih bersemangat sekaligus dapat meningkatkan tahap produktiviti.
Selain itu, sekiranya syarikat anda bergantung kepada keupayaan bekerja secara berpasukan dalam kalangan pekerja, hubungan baik yang dibentuk dengan rakan sekerja anda boleh menjadikan kerja lebih mudah dan seronok.
Keburukan
1. Profesionalisme
Persahabatan di tempat kerja sering kali menyebabkan kurangnya sempadan antara interaksi profesional dan tidak profesional.
Dalam beberapa industri, menjaga hubungan profesional dalam kalangan rakan sekerja adalah sangat penting. Sebagai contoh, dalam pekerjaan yang melibatkan interaksi dengan pelanggan, rakan sekerja perlu berkomunikasi secara profesional untuk memberikan tanggapan positif kepada pelanggan.
Sekiranya anda bekerja dalam persekitaran seperti itu atau jika profesionalisme adalah keutamaan, wajar untuk anda membatasi hubungan persahabatan dengan rakan sekerja.
Sebagai alternatif, sekiranya masih berkawan rapat dengan mereka, anda mungkin perlu lebih berhati-hati dalam mengekalkan profesionalisme terutamanya dalam situasi tertentu.
2. Gangguan
Berkawan rapat dengan rakan sekerja boleh menjadi punca gangguan yang mempengaruhi produktiviti, kecekapan, dan kemampuan untuk fokus dalam kerja.
Walaupun sesetengah persahabatan boleh meningkatkan penglibatan dalam aktiviti kerja, ada juga rakan yang mungkin mengganggu tumpuan dan menghalang anda menyelesaikan tugasan.
Perbualan atau gurauan bersama rakan sekerja boleh mengganggu proses kerja. Rakan yang suka berborak boleh menyukarkan anda untuk fokus bekerja. Akibatnya, kerja mungkin tidak dapat diselesaikan dan anda berisiko dimarahi oleh bos.
Oleh itu, penting untuk menetapkan sempadan yang jelas dan mengekalkan tahap profesional bagi mengelakkan gangguan terhadap kerja masing-masing.
Kesimpulannya berkawan rapat dengan rakan sekerja membawa kepada pelbagai kelebihan dan keburukan. Oleh itu, penting untuk mengekalkan keseimbangan dan menetapkan sempadan yang jelas agar persahabatan yang terjalin dapat memberi manfaat tanpa menjejaskan prestasi kerja.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!