Mahkamah Setuju Tindakan Coway Malaysia Pecat Pekerja Main PS4 Waktu Bekerja

Mahkamah Setuju Tindakan Coway Malaysia Pecat Pekerja Main PS4 Waktu Bekerja

Posted by

Mahkamah Perindustrian bersetuju dengan tindakan Coway (Malaysia) Sdn Bhd yang memecat pekerja mereka yang didapati bermain permainan video PlayStation 4 (PS4) semasa waktu bekerja. Bagi mereka, tindakan tersebut adalah adil dan mengikut hak syarikat, lapor NST.

Dalam keputusan yang dikeluarkan oleh Pengerusi, Mohd Zulbahrin Zainuddin, tindakan syarikat Coway didapati sah dalam memecat pekerja mereka, Syaireel Ammir Musa.

Bekas pekerja itu ditamatkan perkhidmatannya kerana melanggar polisi syarikat selepas bermain PlayStation 4 bersama beberapa orang bawahannya di premis syarikat antara 23 dan 26 Ogos 2022.

Syaireel, yang mula bekerja sebagai jurulatih teknikal junior di Coway pada tahun 2015, dikatakan ditangkap oleh pengurus jabatan, Nur Amirul Sawaludin, ketika sedang asyik bermain permainan video.

Syarikat telah menjalankan siasatan dalaman setelah menerima aduan daripada pengurusnya, yang akhirnya mengakibatkan pemecatan Syaireel pada 4 November 2022.

Dalam penghakimannya pada 2 Oktober 2023, Zulbahrin menyatakan bahawa tiada sebarang kecacatan dalam keseluruhan proses siasatan yang dilakukan oleh syarikat.

Lebih penting lagi, Syaireel sendiri mengakui dalam perbicaraan bahawa dia memang bermain permainan video semasa waktu kerja, yang jelas bertentangan dengan peraturan syarikat.

ā€œAdalah jelas daripada pengakuan pengadu bahawa dia bermain permainan video semasa waktu kerja, yang mana ia dilarang oleh polisi syarikat.

ā€œDia seharusnya sedar bahawa terlibat dalam aktiviti yang tidak berkaitan dengan kerja bukan sahaja melanggar peraturan, malah ia juga dilarang dari segi ajaran agama,ā€ tegas Zulbahrin dalam keputusannya.

Beliau juga menambah bahawa tindakan Syaireel menggunakan premis syarikat sebagai tempat untuk ā€œmelepaskan tekananā€ dengan bermain permainan video adalah satu bentuk pelanggaran peraturan syarikat.

Lebih memburukkan keadaan, tiada sebarang kebenaran rasmi diberikan oleh pihak syarikat untuk berbuat demikian.

Semasa perbicaraan, Syaireel juga gagal membentangkan sebarang bukti berkaitan elemen ā€˜mala fideā€™ (niat jahat) atau tindakan tidak beretika oleh pihak syarikat sepanjang proses siasatan dalaman.

Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa pemecatannya dilakukan atas sebab yang adil dan berasaskan bukti kukuh.

ā€œPihak syarikat telah berjaya membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa penamatan perkhidmatan pengadu dilakukan dengan sebab yang adil dan munasabah,ā€ kata Zulbahrin dalam keputusan bertulisnya.

Artikel berkaitan: Dipecat Gara-Gara Pakai Rantai Salib, Warganet Gesa Pekerja Ini Tuntut Keadilan

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *