Memetik laporan Bloomberg, syarikat induk rangkaian restoran TGI Fridays telah memfailkan kebankrapan di Texas pada 2 November lalu.
Rangkaian restoran kasual tersebut menyatakan bahawa mereka menghadapi cabaran disebabkan perubahan tabiat pengguna berikutan krisis kos sara hidup dan peningkatan persaingan daripada pilihan makanan segera.
TGI Fridays menyertai beberapa rangkaian terkenal dalam memfailkan kebankrapan tahun ini termasuk Red Lobster, Big Lots, Tupperware, Express dan Joann.
Artikel berkaitan: 5 Punca Golongan Muda Bankrap
Walau bagaimanapun, memetik laporan The Edge Malaysia, operasi TGI Fridays di Malaysia masih diteruskan seperti biasa dan sama sekali tidak terjejas dengan pemfailan kebankrapan TGI Fridays di Amerika Syarikat.
Menurut Techna-X yang memiliki Craveat International Sdn Bhd (Craveat International), iaitu pemegang francais utama TGI Fridays Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Craveat International beroperasi di bawah perjanjian francais dengan TGI Fridays Franchisor LLC, yang berbeza daripada TGI Fridays Inc.
Techna-X turut mengumumkan beberapa perkembangan terkini untuk TGI Fridays Malaysia termasuk pembukaan cawangan baharu di Mid Valley Megamall pada November 2024, pembukaan semula cawangan di Sunway Pyramid pada Disember 2024 dan pelancaran cawangan baharu di Putrajaya yang dijadualkan pada separuh pertama 2025.
Lee Yew Jin, Ketua Pegawai Eksekutif TGI Fridays Malaysia berkata pihaknya teruja untuk terus mengembangkan perniagaan di Malaysia dan membawa lebih banyak peluang kepada pelanggan untuk merasai ‘That Fridays Feeling’.
“Restoran tempatan kami tetap komited untuk menawarkan makanan dan perkhidmatan kepada pelanggan kami, katanya.”
TGI Fridays yang mengendalikan 39 restoran milik korporat di AS, memfailkan kebankrapan bagi membolehkan syarikat menyusun semula dan menstrukturkan operasi kewangannya untuk memastikan kestabilan jangka panjang.
“Pemfailan ini hanya melibatkan restoran milik korporat di AS, manakala lokasi francais di seluruh dunia tidak terjejas, jelas Techna-X.
Jenama TGI Fridays difrancaiskan kepada 56 pemegang francais di 41 negara melalui TGI Fridays Franchisor LLC dan semua lokasi francais, baik tempatan mahupun antarabangsa, dimiliki secara bebas serta tidak terlibat dalam proses pemfailan kebankrapan.
Techna-X yang sebelum ini dikenali sebagai Sino Hua-An International Bhd memperoleh Craveat International yang mengendalikan TGI Fridays Malaysia, serta pemilik jenama Teh Tarik Place pada 2019.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!