Bermula tahun 2020 sehingga September 2024, sebanyak 3,602 kes kebankrapan direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dalam kalangan penjawat awam.
Daripada jumlah itu sebanyak 666 kes direkodkan sejak Januari 2024, manakala 628 kes bagi tahun lalu, 621 kes (2022), 678 kes (2021) dan 1,009 kes (2020).
Artikel berkaitan: Skim Gaji Baharu Penjawat Awam Akan Dilaksanakan Pada 2025
Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) berkata kerajaan sentiasa memandang serius masalah muflis dan keterhutangan dalam kalangan penjawat awam.
Menurut beliau, ketua jabatan di setiap kementerian dan jabatan bertanggungjawab untuk memantau dan menilai semula keupayaan pegawai yang mempunyai keterhutangan yang serius, untuk membayar hutang mereka dari semasa ke semasa.
Beliau menjelaskan bahawa dalam hal ini, Peraturan Berkaitan Penyelenggaraan Taraf Kehidupan dan Keterhutangan Kewangan yang Serius, antara lain menetapkan bahawa untuk tujuan had potongan gaji, pendapatan bersih penjawat awam mestilah sekurang-kurangnya 40 peratus daripada emolumen bulanan mereka, kecuali jika mereka mempunyai pinjaman perumahan atau pendidikan.
“Antara peranan Unit Integriti yang diwujudkan di setiap kementerian dan jabatan kerajaan adalah untuk memantau pegawai yang menghadapi keterhutangan kewangan serius berdasarkan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Selain teguran dan amaran, penjawat awam yang terlibat juga diberikan bantuan kaunseling kewangan untuk membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan situasi muflis dan tindakan tatatertib yang berbangkit daripadanya.
“Kerajaan juga tekad menjalankan pemantauan berterusan terhadap status keterhutangan serius dalam kalangan penjawat awam melalui Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang dirancang untuk tempoh 2021 hingga 2025 dengan menyediakan langkah-langkah pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan yang kukuh untuk memastikan integriti dan ketelusan untuk mengurus kewangan dalam kalangan penjawat awam,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) yang meminta Perdana Menteri untuk menjelaskan usaha dan tindakan kerajaan dalam menangani isu peningkatan kes muflis di kalangan penjawat awam yang semakin membimbangkan.
Azalina berkata, dalam menangani isu peningkatan kes muflis di kalangan penjawat awam, Mdl sentiasa berkomitmen untuk melaksanakan usaha bagi menjalankan program kesedaran mengenai kesan kebankrapan terhadap penjawat awam.
Beliau berkata, MdI juga menyediakan khidmat nasihat dan penjelasan mengenai pelepasan kebankrapan melalui inisiatif Dasar Peluang Kedua yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, yang bertujuan memberi manfaat kepada penjawat awam yang terlibat dalam kebankrapan serta memberi mereka peluang kedua untuk memperbaiki pengurusan kewangan dan taraf kehidupan mereka.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!