Syarikat perniagaan milik pelawak, Shuib, iaitu Syarikat Bubblebee Sdn Bhd didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, dua pengarah iaitu Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 40, dan Koh Choon Guan, 33, mewakili syarikat tersebut selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.
Sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan, kedua-duanya akan berdepan dengan hukuman penjara dua bulan.
Sementara itu, mahkamah membenarkan syarikat berkenaan membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman kepada Perkeso.
Mengikut tiga pertuduhan, syarikat tersebut mengaku bersalah sebagai majikan utama seorang lelaki berusia 25 tahun kerana gagal membayar caruman majikan dan pekerja kepada Perkeso bagi bulan Oktober hingga dan Disember 2023 lalu.
Jumlah caruman secara keseluruhan adalah RM97.80.
Manakala pertuduhan keempat hingga keenam, Bubblebee mengaku bersalah gagal membayar caruman keseluruhan RM17.40 untuk lelaki yang sama untuk tiga bulan.
Bagaimanapun memetik laporan Harian Metro, Shuib menyifatkan tindakan denda tersebut sebagai ujian dalam bidang perniagaan. Menurut Shuib, dia sudah bersedia untuk memperbaiki mana yang kurang dalam perniagaan yang diusahakan.
Artikel berkaitan: 13,820 Majikan Di Malaysia Gagal Bayar Caruman KWSP
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!