Cawangan terakhir jenama kopi ternama, Starbucks di Kelantan telah ditutup secara rasminya berikutan tindakan boikot yang dilancarkan oleh rakyat negara ini terhadap syarikat tersebut.
Starbucks di KB Mall, Kota Bharu, secara rasmi ditutup pada 30 November disebabkan gerakan boikot yang berterusan oleh rakyat negara ini. Bilangan cawangan Starbucks yang ditutup di Malaysia meningkat daripada 25 kepada 50 cawangan.
Memetik laporan World of Buzz, cawangan tersebut tidak lagi menjual kopi kepada pelanggan tiga hari sebelum ditutup dan pekerja terpaksa menjual menu lain.
Ramai pekerja, khususnya yang telah lama berkhidmat di cawangan tersebut, dilanda emosi dan ada sesetengah daripada mereka memilih untuk meletakkan jawatan kerana enggan dipindahkan ke cawangan lain.
Ada pekerja yang enggan dipindahkan ke cawangan di negeri lain, kerana mereka lebih memilih untuk terus berkhidmat di Kelantan.
Berjaya Food Bhd, syarikat yang menguruskan jenama besar seperti Starbucks, Kenny Rogers Roasters, dan Paris Baguette di Malaysia serta Filipina, mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (1Q25).
Ini menandakan empat suku berturut-turut syarikat ini mengalami kerugian, sekali gus mengundang persoalan besar dalam kalangan pelabur dan penggiat industri.
Kerugian ini jauh berbeza berbanding keuntungan bersih RM19.03 juta yang diperolehi pada suku yang sama tahun lalu.
Menurut Berjaya Food, boikot anti-Israel yang berlarutan memberi impak besar kepada operasi Starbucks di Malaysia, yang turut terpalit dengan kontroversi sentimen politik semasa.
Hasil pendapatan kumpulan ini juga menunjukkan penurunan yang drastik, lebih daripada separuh kepada RM124.19 juta berbanding RM278.53 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam satu laporan kepada Bursa Malaysia, Berjaya Food mengakui bahawa syarikat sedang menghadapi cabaran dalam persekitaran makro ekonomi semasa, namun mereka menegaskan terdapat perkembangan positif dalam inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan, walaupun tanpa mengungkapkan butiran lanjut mengenainya.
Artikel berkaitan: 5 Kesan Boikot Terhadap Ekonomi
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!