Kita selalu dengar, duduk terlalu lama boleh menyebabkan sakit belakang dan penyakit-penyakit berbahaya yang lain. Tapi, berapa lamakah yang didefinisikan sebagai ‘terlalu lama’?
Menurut kajian, duduk selama 2 jam secara berterusan sudah dianggap sebagai terlalu lama. Individu yang duduk 6 hingga 8 jam sehari, terutamanya apabila melakukan kerja, dianggap duduk terlalu lama.
Duduk terlalu lama dikenal pasti sebagai gaya hidup yang tidak aktif dan akan menyebabkan pelbagai risiko kesihatan. Apabila seseorang duduk terlalu lama, otot-otot akan mulai rileks dan menggunakan sedikit glukosa yang terkandung dalam darah untuk menghasilkan tenaga. Perkara ini akan meningkatkan kandungan gula dalam darah seterusnya menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.
Kesan terhadap kesihatan sekiranya duduk terlalu lama
Menurut kajian daripada National Health Services (NHS) United Kingdom, kadar metabolisme badan akan menurun sekiranya seseorang duduk terlalu lama. Ia akan mempengaruhi kemampuan badan untuk mengawal kadar gula dalam darah dan tekanan darah serta memecahkan lemak. Keadaan ini kemudiannya akan meningkatkan risiko menghadapi diabetes jenis 2, berat badan berlebihan, obesiti serta beberapa jenis kanser dan kematian pada usia muda.
Duduk terlalu lama boleh menyebabkan peningkatan rasa sakit kerana ia menyebabkan sendi-sendi fleksor pinggul serta otot hamstring menjadi ketat dan tegang yang seterusnya mengganggu pergerakan dan keseimbangan tubuh. Ketegangan pada fleksor pinggul dan hamstring ini juga berpotensi menyebabkan sakit belakang dan kekejangan pada lutut.
Selain metabolisme, gaya hidup tidak sihat turut mempengaruhi hormon, kadar kolestrol, insulin, malah kemampuan untuk memperbaharui sel otak yang seterusnya memberi kesan kepada ingatan.
Sebuah kajian yang melibatkan 8,000 individu dewasa mendapati bahawa duduk dalam tempoh yang lama dapat meningkatkan risiko kematian akibat pelbagai sebab.
Sebaliknya, individu yang duduk tidak melebihi 30 minit dalam satu-satu masa menunjukkan risiko yang lebih rendah. Tambahan pula, mereka yang menghabiskan masanya setiap hari dalam posisi duduk lebih berisiko mengalami masalah kardiovaskular atau kematian akibatnya.
Menurut laporan Berita Harian, sebuah kajian lain mendapati bahawa duduk secara berterusan selama 6 jam setiap hari sepanjang 15 tahun dapat meningkatkan risiko kematian sebanyak 40% berbanding mereka yang duduk kurang daripada 3 jam.
Selain itu, aktiviti duduk menonton skrin peranti teknologi selama 2 jam juga dikaitkan dengan peningkatan sebanyak 50% dalam risiko kematian.
Berdasarkan analisis ke atas 13 kajian yang berbeza, individu yang duduk melebihi 8 jam sehari tanpa sebarang aktiviti fizikal berisiko menghadapi kematian pada tahap yang serupa dengan mereka yang merokok atau menghidap obesiti.
Leonie Heron dari Queens University Belfast mendapati bahawa tabiat duduk terlalu lama telah menanggung kos sekitar £762 juta antara tahun 2016 dan 2017, serta menyumbang kepada 69,279 kematian pada tahun 2016 di United Kingdom. Beliau juga menganggarkan bahawa duduk terlalu lama menjadi punca utama bagi 16.9% kes diabetes jenis 2, 4.9% kes penyakit jantung, dan 11.6% kematian akibat pelbagai sebab. Selain itu, ia turut dikaitkan dengan 7.5% kes kanser paru-paru, 9% kanser kolon, dan 8% kanser endometrial.
Antara risiko akibat duduk terlalu lama adalah:
- Masalah jantung/ kardiovaskular
- Diabetes
- Berat badan berlebihan/ obesiti
- Kanser
- Vena varikos (varicose vein) – darah terkumpul di kaki
- Trombosis vena dalam (deep vein thrombosis) – darah beku membentuk di kaki
- Osteoporosis (tulang lemah)
- Sakit belakang
- Dementia
- Slip disc
Kesimpulannya, duduk terlalu lama boleh menyebabkan pelbagai risiko terhadap kesihatan seseorang. Kesan-kesan akibat duduk terlalu lama boleh diseimbangkan semula terutamanya melalui senaman. Untuk mengurangkan risiko kesakitan, anda boleh kurangkan atau pendekkan waktu duduk dan melakukan senaman sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
Menurut Keith Diaz dari Columbia University Medical Center, kesan negatif akibat duduk terlalu lama dapat dikurangkan dengan berjalan perlahan selama lima minit setiap setengah jam. Bahkan, hanya dengan berjalan selama satu minit setiap jam, tekanan darah dapat dikurangkan dalam kadar yang tinggi.
Artikel berkaitan: 3 Tips Elak Sakit Belakang Akibat Duduk Terlalu Lama
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!