Kami percaya ada sesetengah ibu bapa yang membawa anak ke tempat kerja mungkin kerana tidak ada sesiapa yang mahu menjaga mereka di rumah atau mungkin kerana ibu bapa perlu menyesuaikan diri dengan jadual kerja yang padat.
Namun, persoalannya, adakah tindakan ibu bapa yang membawa anak ke tempat kerja itu wajar? Semuanya bergantung kepada persekitaran kerja, budaya syarikat, serta sejauh mana majikan dan rakan sekerja memahami dan menerima keadaan tersebut.
Tapi walau apa pun alasannya, ini 5 perkara yang anda perlu fikirkan sebelum bawa anak ke tempat kerja.
1. Gangguan terhadap majikan dan rakan sekerja
Anda perlu fikirkan sejauh mana majikan dan rakan sekerja menyokong situasi andat. Ini kerana, membawa anak ke tempat kerja mungkin akan menyebabkan gangguan terhadap majikan dan rakan sekerja. Ini boleh mengganggu tumpuan kerja, mengubah dinamik kumpulan, dan mungkin menimbulkan ketidakselesaan jika tidak ada perancangan yang baik.
Oleh itu, penting untuk menilai sejauh mana keadaan ini akan mempengaruhi aliran kerja dan suasana di tempat kerja secara keseluruhan.
2. Keselamatan
Keselamatan anak di tempat kerja perlu dijadikan keutamaan dan tidak boleh diabaikan. Tempat kerja bukan direka untuk kanak-kanak, dan terdapat banyak risiko yang mungkin akan berlaku, seperti kabel elektrik yang terdedah, mesin berat, bucu meja yang tajam, atau bahan-bahan yang berbahaya.
3. Persekitaran kerja yang tidak sesuai
Membawa anak ke tempat kerja boleh memaksa mereka untuk matang lebih awal daripada usia sebenar. Anak kecil sangat peka dan cepat belajar melalui pemerhatian, termasuk cara anda berinteraksi dengan rakan sekerja dan persekitaran di sekitar mereka. Ini boleh mempengaruhi perkembangan sosial dan emosi mereka.
4. Mungkin menyusahkan orang lain
Membawa anak ke tempat kerja boleh memberi kesan kepada orang lain di sekitar anda, terutamanya rakan sekerja. Kehadiran anak kecil di tempat kerja mungkin mengganggu suasana kerja.
Rakan sekerja anda mungkin berasa tidak selesa dengan gangguan, terutamanya jika anak anda memerlukan perhatian lebih, berlari-lari, atau membuat bising. Ini boleh menimbulkan ketidakselesaan, terutama di persekitaran yang memerlukan konsentrasi tinggi, seperti bilik mesyuarat atau ruang kerja terbuka.
5. Gangguan terhadap deadline
Membawa anak ke tempat kerja boleh menyebabkan gangguan yang mungkin akan mengganggu kemampuan anda untuk menyelesaikan tugas dalam tempoh yang ditetapkan (deadline).
Anak kecil memerlukan perhatian dan pengawasan berterusan, yang boleh mengurangkan masa dan tumpuan anda terhadap kerja. Dalam situasi di mana anda terikat dengan deadline yang singkat atau projek yang memerlukan fokus mendalam, kehadiran anak boleh menyebabkan penangguhan atau kesukaran untuk menyiapkan tugas tepat pada masanya. Anda mungkin terpaksa memberi perhatian lebih kepada anak, yang akhirnya mempengaruhi produktiviti anda dalam menyelesaikan tugas.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan ilmu baru buat anda.
Artikel berkaitan: Pekerja Yang Sibuk VS Pekerja Yang Produktif: Apakah Perbezaannya
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!