Setiap tahun pada hari Ahad ketiga bulan Jun, seluruh dunia akan menyambut Hari Bapa sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan tanggungjawab seorang ketua keluarga. Sambutan ini menjadi momen terbaik untuk mengenang jasa bapa yang telah menjadi pelindung serta tunjang utama dalam institusi kekeluargaan.
Artikel berkaitan: Fakta Menarik Hari Ibu Yang Anda Mungkin Tak Tahu!
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan sejarah bagaimana Hari Bapa mula diperkenalkan, termasuk kisah perjuangan seorang wanita yang mencetuskan gerakan untuk mengiktiraf Hari Bapa sehingga akhirnya diisytiharkan sebagai cuti kebangsaan di Amerika Syarikat selepas kira-kira 62 tahun.
Meskipun sambutan Hari Bapa telah wujud sejak ratusan tahun lalu mengikut kebudayaan masing-masing, rekod rasmi pertama di Amerika Syarikat bermula pada 5 Julai 1908. Acara memperingati yang julung kali diadakan ini dicetuskan oleh Grace Golden Clayton (diadakan di gereja Williams Memorial Methodist Episcopal Church South) sebagai penghormatan khas kepada lebih 360 orang lelaki yang terkorban dalam tragedi lombong Monongah.
Kebanyakan mangsa yang terkorban dalam tragedi letupan lombong arang batu kira-kira tujuh bulan sebelum itu ialah golongan bapa. Namun, peringatan tersebut hanya diadakan pada tahun berkenaan dan tidak diteruskan pada tahun-tahun berikutnya.
Pencetus Sambutan Hari Bapa

Inspirasi penubuhan Hari Bapa moden sebenarnya lahir daripada kecekalan seorang bapa tunggal. Sonora Louise Smart Dodd, anak sulung daripada enam beradik, sangat mengagumi bapanya yang membesarkan mereka sendirian tanpa mengeluh. Idea ini muncul ketika Sonora menghadiri khutbah Hari Ibu, di mana dia merasakan peranan bapa juga perlu mendapat pengiktirafan yang sama. Sonora kemudiannya menggerakkan petisyen untuk mendesak penubuhan Hari Bapa dan mencadangkan agar sambutan tersebut dirayakan pada awal bulan Jun bagi meraikan hari jadi bapanya.
Walaupun petisyen awalnya tidak mendapat sambutan yang meluas, Sonora berjaya meyakinkan komuniti gereja tempatan untuk menyokong usahanya. Atas persetujuan bersama, tarikh sambutan ditunda ke penghujung bulan Jun bagi memberikan masa persediaan yang mencukupi, sekali gus menyaksikan sambutan Hari Bapa yang pertama berjaya diraikan di Spokane, Washington. Sonora kemudiannya meneruskan pelbagai usaha dan kempen kesedaran selama beberapa dekad bagi memperjuangkan pengiktirafan rasmi Hari Bapa di peringkat kebangsaan.

Di saat Hari Ibu sudah diisytiharkan sebagai cuti kebangsaan sejak tahun 1914, Hari Bapa hanya mendapat pengiktirafan nasional pada tahun 1972. Walaupun barisan Presiden Amerika Syarikat terdahulu seperti Woodrow Wilson, Calvin Coolidge, dan Lyndon B. Johnson menyatakan sokongan mereka, tiada sebarang undang-undang rasmi diluluskan sepanjang tempoh tersebut. Titik tolak perubahan bermula pada tahun 1970 apabila Kongres meluluskan Resolusi Bersama 187 (Joint Resolution 187), sebelum Presiden Richard Nixon menandatanganinya sebagai undang-undang rasmi dua tahun kemudian (1972).
Tradisi dan Penghargaan Sempena Hari Bapa

Semasa sambutan sulung Hari Bapa di Spokane, satu tradisi unik telah diperkenalkan di mana orang ramai akan memakai bunga mawar merah sebagai tanda hormat kepada bapa yang masih hidup, manakala mawar putih dipakai bagi memperingati bapa yang telah meninggal dunia. Selain khutbah khas oleh pendeta di gereja Presbyterian dan Methodist, Datuk Bandar serta Gabenor negeri turut mengeluarkan pengumuman rasmi bagi menyokong sambutan tersebut.
Kini, Hari Bapa diraikan secara global melalui aktiviti makan besar, perjumpaan keluarga, dan amalan memberi hadiah. Mengikut data daripada Persekutuan Runcit Kebangsaan (National Retail Federation), rakyat Amerika Syarikat membelanjakan berbilion dolar setiap tahun untuk meraikan Hari Bapa melalui pemberian hadiah, jamuan keluarga dan pelbagai aktiviti penghargaan yang lain. Seiring peredaran waktu, peranan seorang ayah juga telah berubah secara drastik. Golongan bapa pada zaman ini bukan lagi pencari nafkah tunggal, sebaliknya purata bapa di seluruh dunia kini meluangkan masa tiga kali ganda lebih banyak seminggu untuk menjaga anak-anak berbanding generasi terdahulu.
Sambutan ini adalah peluang terbaik untuk menzahirkan rasa terima kasih atas pengorbanan mereka, namun kita tidak perlu menunggu setahun sekali untuk menghargai insan yang tidak pernah kenal erti penat lelah demi kebahagiaan keluarga.
Semoga perkongsian ini memberi ilmu baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
Sumber: National Geographic, How Stuff Works, Al Jazeera
