6 Cara Menulis Baris Subjek E-mel Yang Menarik

6 Cara Menulis Baris Subjek E-mel Yang Menarik

Posted by

Terdapat pernyataan yang mengatakan bahawa pakar pemasaran dari organisasi yang berbeza akan menguji kepelbagaian baris subjek e-mel bagi mengoptimumkan prestasi e-mel mereka. Baris subjek e-mel merupakan tanggapan pertama buat penerima e-mel tersebut dan ianya adalah tiket bagi pihak pemasaran untuk menonjol di dalam peti masuk yang sesak. Justeru itu, kami kongsikan 6 cara menulis baris subjek e-mel yang menarik untuk meningkatkan penglibatan e-mel anda.

Asas Penting Penulisan Baris Subjek E-mel

Sebelum kita meneruskan dengan 6 cara menulis baris subjek e-mel yang menarik, terdapat beberapa asas penting yang wajar dipertimbangkan untuk baris subjek e-mel yang bagus:

1. Kesegeraan

Tidak dapat disangkal lagi bahawa kesegeraan dalam berkomunikasi dan ketelusan dalam baris subjek e-mel dapat membantu menarik para penerima untuk menekan atau bertindak terhadap mesej tersebut jika dibahas secara kreatif dan strategik. Tetapi, anda haruslah menggunakan baris subjek ini dengan berhati-hati serta cuba untuk mengehadkan penggunaannya apabila terdapat keadaan yang memerlukan tindakan segera sahaja.

2. Keinginan Tahu

Baris subjek e-mel berkemampuan untuk menarik perhatian para pembaca. Akan tetapi, adalah bagus juga untuk anda mengekalkan sedikit elemen misteri di dalam baris subjek e-mel anda agar dapat menimbulkan keinginan tahu lantas menghasilkan kadar klik yang tinggi oleh para penerima. Pastikan baris subjek misteri tersebut seiring dengan jenama anda jika tidak mahu dianggap sebagai spam.

3. Tawaran

Orang ramai suka akan perkara-perkara baru terutamanya apabila ianya adalah percuma atau datang dengan tawaran diskaun yang menarik. Anda boleh memasukkan maklumat seperti itu di dalam baris subjek e-mel anda untuk tarik perhatian para penerima e-mel.

4. Relevan

Sebab kita melanggan suatu senarai e-mel adalah untuk sentiasa dimaklumkan atau ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai topik tertentu. Penulisan baris subjek e-mel yang memasukkan topik trending dapat membantu mengukuhkan jenama anda di dalam industri berkenaan serta manarik perhatian individu untuk menekan dan membaca e-mel anda.

5. Pengiktirafan Nama

Anda boleh menarik minat penerima e-mel dengan memasukkan nama-nama individu atau influencer yang dikenali ramai ke dalam kandungan serta baris subjek e-mel anda. Taktik ini hanya akan berfungsi seiring dengan jenama anda, produk atau perkhidmatan. Oleh itu, pastikan pengiktirafan nama tersebut adalah relevan dan bukan semata-mata hendakkan perhatian daripada para penerima e-mel.

6 Cara Menulis Baris Subjek E-mel Yang Menarik

1. Pendek dan Berterus-terang

Jika anda mahukan para penerima untuk membuka dan membaca e-mel yang dihantar, pastikan baris subjek tersebut adalah pendek dan berterus-terang. Ini kerana jika baris subjek tersebut melebihi had yang sepatutnya akan membuatkan e-mel anda diletakkan ke dalam folder spam. Baris subjek e-mel yang baik adalah tidak melebihi daripada 50 patah perkataan.

2. Gunakan Bahasa Mudah

Seorang individu biasanya akan mengimbas peti masuk mereka dengan cepat. Oleh itu, adalah disarankan untuk anda menulis baris subjek e-mel dengan jelas dan ringkas. Ianya adalah lebih baik daripada anda menggunakan bahasa yang kompleks dan berputar belit. Sebagai contoh, “Diskaun 50% Kesemua Barang Hari Ini Sahaja” adalah lebih menarik daripada “Beli Barang dan Nikmati Diskaun”.

3. Penggunaan Kata Kerja Tindakan

Baris subjek sama fungsinya dengan panggilan untuk bertindak di mana anda mahu penulisan tersebut menarik perhatian orang ramai untuk klik pautan e-mel. Baris subjek yang bermula dengan kata kerja tindakan cenderung untuk menjadi lebih menarik. Salah satu contoh adalah perkataan makan malam seperti “Makan Malam Bersama Malaysia’s Sweetheart Yuna”.

4. Ketepatan Masa

Mengirim e-mel pada masa yang sesuai dengan baris subjek yang betul dapat memberikan suatu perbezaan yang besar dalam kadar membuka dan klik lalu oleh para penerima e-mel. Anda boleh jadikan notifikasi daripada Grabfood tentang diskaun makanan semasa waktu makan tengahari semakin menghampiri sebagai contoh.

5. Gunakan Nama Pertama Penerima

Kirimkan e-mel anda dengan menulis nama pertama si penerima. Jika anda mulakan e-mel anda dengan ucapan yang umum seperti “Pelanggan Yang Dihormati,” ianya akan menunjukkan persepsi sama ada anda malas, e-mel tersebut adalah spam atau kedua-duanya sekali. Penggunaan nama pertama penerima dapat membantu kadar klik yang tinggi terhadap e-mel yang dihantar.

6. Penggunaan Nombor

Kesilapan besar dalam mengirim e-mel adalah menerusi penulisan pernyataan yang tidak jelas dalam baris subjek e-mel. Penggunaan nombor dan data adalah cara terbaik untuk membuatkan e-mel anda terserlah. Oleh itu, tulis pernyataan yang jelas tentang apa yang hendak anda tawarkan dalam e-mel tersebut seperti “Sertai 100 Peserta Lain Untuk Acara Larian Ini!”.

Naikkan kadar klik pada pautan e-mel anda dengan kongsian 6 cara menulis baris subjek e-mel yang menarik seperti di atas. Kongsikan juga tip anda yang lain di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *