Tips Nikmati Snek Dengan Lebih Bijak

Tips Nikmati Snek Dengan Lebih Bijak

Posted by

Pengambilan snek atau kudapan sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup bagi sesetengah rakyat Malaysia. 

Menikmati snek dengan lebih bijak atau mindful snacking merupakan satu pendekatan positif yang memfokuskan kepada konsep makan dengan bersebab (niat), makan dengan lebih peka (beri perhatian) dan makan bersederhana. 

Tabiat ini akan membantu anda untuk lebih memahami serta peka dengan makanan dan snek yang dinikmati. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan empat tips untuk nikmati snek dengan lebih bijak.

1. Makan dengan perlahan

Nikmati snek anda secara perlahan-lahan. Amalan makan secara perlahan dapat menghindari diri menjadi pelahap atau terlebih makan. Kunyah sehingga habis, sebelum suapan yang seterusnya.

Kajian membuktikan makan dengan perlahan mempunyai banyak kebaikan termasuklah penghadaman yang lebih baik, mendapat lebih kepuasan, serta membenarkan badan untuk menghantar isyarat kepada otak bagi memaklumkan bahawa anda sudah kenyang.

Otak memerlukan lebih kurang 20 minit dari mula anda makan untuk mencetuskan isyarat ‘saya sudah kenyang’. 

Artikel berkaitan: Bahaya makan dengan gelojoh 

2. Peka dengan isyarat badan

Peka dan beri perhatian dengan isyarat atau pencetus dalaman badan anda, kerana ia adalah petunjuk sama ada keinginan untuk makan pada masa itu adalah untuk keperluan, emosi atau nafsu. 

Tanya diri, adakah anda mengidamkan sesuatu untuk hilangkan rasa lapar, rasa tertekan, atau rasa kurang bertenaga dan perlukan snek. 

Tidak kira apa jua jenis snek yang menjadi pilihan, sekiranya anda peka dengan ‘mengapa’ dan ‘apa’ jenis snek yang diidamkan, ia dapat mendorong ke arah pilihan yang lebih bijak serta menggalakkan pengambilan nutrisi seimbang.

3. Rujuk saiz hidangan yang disarankan

Antara tips yang paling mudah untuk mengimbangi snek yang dimakan adalah dengan merujuk kepada saiz hidangan yang disarankan pada pembungkusan produk. Jadikan satu kebiasaan untuk untuk membaca senarai bahan dan fakta nutrisi pada bungkusan.

Anda boleh menikmati snek dengan menambah khasiat dalam makanan harian antaranya dengan memilih snek seperti buah-buahan, kekacang atau kudapan yang lebih sihat dan bukan semata-mata untuk memuaskan nafsu makan.

4. Hidupkan semua deria semasa makan

Nikmati snek dengan menghidupkan kesemua deria pancaindera anda iaitu deria rasa, hidu, sentuhan, penglihatan, serta nikmati keenakan rasa, aroma, tekstur, bentuk dan warna snek tersebut.

Sekiranya anda makan sambil melakukan aktiviti lain seperti menggunakan telefon atau menonton televisyen, ia mungkin akan menyebabkan anda terlebih makan, atau rasa tidak puas makan.

Semoga perkongsian kami ini memberi ilmu baru buat anda.  

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan!


Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.

Reach me at hanis@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *