Proses temu duga adalah bahagian penting dalam sebarang proses permohonan kerja. Ini adalah peringkat di mana majikan mengenali anda dengan lebih baik, dan anda dapat mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat dan jawatan yang anda mohon.
Berikut kami kongsikan 10 contoh soalan temu duga yang sering ditanya majikan.
1. Ceritakan serba sedikit tentang diri anda
Ini adalah soalan popular yang pasti akan ditanya bakal majikan anda pada permulaan sesi temu duga. Ini adalah peluang untuk anda beritahu bakal majikan siapa diri anda (secara ringkas) dan apa yang anda boleh sumbang kepada pekerjaan ini.
Anda boleh ceritakan mengenai diri anda selama 2-3 minit. Beritahu tentang minat peribadi anda jika ia relevan dengan jawatan yang dipohon dan pengalaman kerja.
Bakal majikan akan mempertimbangkan 3 perkara:
- Kemahiran anda untuk memberi ringkasan pengalaman hidup dan kerja anda yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Elakkan daripada membebel perkara yang tidak perlu.
- Gaya perbualan, tahap keyakinan diri dan kemampuan anda untuk mengatur dan menyampaikan maklumat.
- Gambaran penuh diri anda yang sebenarnya.
2. Kenapa anda ingin bekerja di syarikat ini?
Tujuan soalan ini ditanya adalah untuk mengetahui motivasi anda untuk bekerja dengan syarikat tersebut. Bakal majikan pastinya mempunyai banyak pengalaman untuk kenal pasti sekiranya anda tidak jujur.
- Sebelum hadir ke sesi temu duga, pastikan anda buat kajian (research) tentang syarikat tersebut terlebih dahulu. Fahami budaya syarikat dan apa yang mereka lakukan.
- Elakkan daripada memberi jawapan seperti “Syarikat ini dekat dengan rumah saya” atau “Sebab syarikat ini nampak best untuk kerja!”
Jawapan ini tidak menunjukkan pengalaman dan kemahiran anda yang boleh menyumbang kepada syarikat tersebut. Tunjukkan bagaimana anda boleh bantu mencapai matlamat syarikat menggunakan pengalaman dan kemahiran kerja anda sebelum ini.
3. Apakah yang anda tahu tentang syarikat ini?
Di sini, anda boleh tunjukkan pengetahuan setelah anda kaji selidik syarikat tersebut. Apabila anda mengetahui lebih mendalam tentang syarikat tersebut, ia menunjukkan bahawa anda serius untuk bekerja dengan syarikat tersebut.
4. Kenapa anda tinggalkan kerja terdahulu?
Tujuan soalan ini adalah untuk bakal majikan tahu cara anda menyampaikan jawapan anda ketika sesi temuduga – sama ada anda boleh kekal jujur dan positif atau sebaliknya.
Contoh jawapan ringkas untuk soalan seperti ini:
- Saya ingin membawa kerjaya saya ke arah baru (nyatakan apa arah baru tersebut).
- Syarikat saya dulu sedang menyusun semula strukturnya jadi saya telah memilih untuk mencari peluang baharu.
- Saya ingin mengembangkan kemahiran baharu tetapi tidak mampu melaksanakannya di syarikat dulu. Jadi, saya telah mengubah keadaan untuk mementingkan perkembangan kemahiran.
5. Apakah kekuatan dan kelemahan anda?
Apabila soalan ini ditanya, ia adalah adalah masa yang sesuai untuk anda jawab dengan jujur. Jawab dengan jelas dan ringkas tentang kualiti yang menunjukkan bahawa anda seorang yang bertanggungjawab dan mengambil serius dengan etika kerja, nilai diri dan kemampuan menyelesaikan masalah.
6. Siapakah/di manakah anda lima tahun akan datang?
Jawapan anda perlu menunjukkan keyakinan diri dan motivasi untuk mencapai tahap kerjaya tinggi. Nyatakan jangkaan yang realistik dan cadangkan rancangan sebenar anda dalam syarikat tersebut.
7. Apakah kemahiran/pengalaman/pencapaian yang akan membantu anda berjaya dalam jawatan ini?
Nyatakan sekurang-kurangnya 2-3 jenis kemahiran/pengalaman/pencapaian anda. Tujuan soalan ini adalah untuk bakal majikan memahami cara anda mengendali sesebuah projek dan berkomunikasi dengan rakan sekerja.
Ini adalah penting untuk mereka mengenal pasti sekiranya anda berpeluang untuk berjaya dalam syarikat tersebut. Ceritakan kemahiran/pengalaman/pencapaian yang menunjukkan kekuatan dan kemahiran anda seperti penyelesaian masalah di tempat kerja yang menunjukkan kemahiran menyelesaikan masalah ataupun penyediaan laporan penting dalam keadaan yang sukar menunjukkan kemampuan menangani tekanan.
8. Kenapa kami perlu ambil anda bekerja di sini?
Soalan ini bertujuan untuk melihat kematangan anda mempromosikan diri bagi merebut jawatan yang ditawarkan. Jawapan anda sebenarnya mempengaruhi bakal majikan sama ada mereka akan menerima anda atau menolak anda dari jawatan yang dipohon.
9. Berapa jangkaan gaji yang anda inginkan?
Soalan ini mungkin nampak mudah tapi sebenarnya rumit dan memerlukan anda bersedia dengan jawapan yang bijak.
Berikut merupakan beberapa tips dan panduan untuk menjawab soalan ini:
- Selidik gaji untuk jawatan yang dipohon
- Pastikan letak anggaran gaji (Contoh: RM 3000 hingga RM 3500)
10. Anda ada apa-apa soalan untuk ditanya kepada kami?
Anda disarankan untuk bertanya soalan kepada bakal majikan untuk memutuskan adakah kerjaya tersebut bersesuaian dengan matlamat dan objektif anda atau sebaliknya.
Kerjaya yang dipohon mungkin menjadi kerjaya anda untuk sepanjang hayat. Oleh itu, pilihlah dengan berhati-hati dan mengikut logik anda.
Artikel berkaitan: Penting Ke Untuk Bertanya Soalan Ketika ‘Interview’ Kerja? Ini Jawapannya
Secara ringkasnya, setiap soalan yang diajukan perlulah dijawab dengan penuh keyakinan. Untuk mendapatkan keyakinan itu, pastikan anda buat persiapan yang rapi sebelum ditemuduga.
Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat dan panduan buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com