Ramai orang mengamalkan penjagaan diri di tempat kerja bagi mengelakkan sebarang penyakit atau masalah yang tidak diingini.
Namun, terdapat beberapa jenis penyakit yang berlaku bukan disebabkan kelalaian, sebaliknya disebabkan pilihan profesion kita yang menyebabkan timbul masalah kesihatan yang jarang dialami orang lain.
Artikel berkaitan: Bahaya Stres Terhadap Kesihatan Mental Dan Fizikal
Berikut kami senaraikan antara lima jenis penyakit yang yang boleh berlaku akibat pekerjaan yang kita pilih.
1. Pneumonitis kimia
Ini adalah penyakit radang paru-paru yang berpunca daripada pernafasan wap atau gas yang bercampur bahan kimia.
Terdapat dua jenis penyakit pneumonitis kimia iaitu pertama bersifat akut dan kedua bersifat kronik.
Pneumonitis kimia bukan hanya disebabkan oleh bahan kimia seperti gas klorin, minyak petrol, atau bahan berunsur petroleum, tetapi juga terjadi akibat bahan buangan seperti muntah makhluk hidup.
Oleh itu, bukan hanya pekerja dalam industri kimia yang berisiko mengalami pneumonitis kimia, tetapi juga kumpulan pekerja kesihatan seperti doktor, jururawat, atau tukang cuci.
Tanda-tanda pneumonitis kimia termasuklah batuk, kesukaran bernafas, bunyi tidak normal dalam paru-paru (bunyi mendengkur ketika bernafas), kesakitan dada, dan rasa terbakar.
2. Keracunan plumbum
Plumbum adalah bahan beracun yang secara konsisten telah membunuh secara purata 1 juta orang setiap tahun apabila berlakunya keracunan.
Plumbum, atau timah hitam, adalah mineral yang sangat berbahaya sekiranya terdedah kepada kanak-kanak dan wanita hamil. Ia akan tersimpan di dalam organ seperti otak, hati, buah pinggang, dan tulang mereka yang mengalami keracunan.
Antara simptom keracunan plumbum adalah sakit perut, cirit-birit, sakit kepala, hilang ingatan, dan juga rasa kurang selesa pada bahagian tangan dan kaki.
Pekerjaan seperti mekanik kenderaan, pembuat bateri, dan pembuat pateri besi, adalah kumpulan pekerja yang paling berisiko terdedah kepada ancaman keracunan plumbum. Selain itu, pelukis atau orang yang menggunakan cat atau pewarna yang mengandungi plumbum juga menghadapi risiko yang serupa.
Sejak tahun 1978, penggunaan plumbum telah diharamkan, terutamanya dalam produk permainan kanak-kanak. Oleh itu, sekiranya anda memiliki permainan yang dikeluarkan sebelum tahun 1978, kemungkinan besar ia mengandungi plumbum.
Anda disarankan untuk segera membuang produk tersebut.
3. Silikosis
Silikosis merupakan sejenis penyakit paru-paru disebabkan seseorang tersedut zarah kristal silikon/silika dioksida yang sangat kecil.
Penyakit paru-paru ini biasanya dialami oleh pekerja yang terdedah dengan debu silika dalam industri seperti perlombongan, sandblasting, pembinaan, atau pembagasan pasir.
Gejala silikosis lazimnya akan mengambil masa bertahun-tahun untuk mula kelihatan.
Biasanya, simptom-simptom silikosis akan muncul selepas pekerja berhenti terdedah kepada debu silika, dan keadaan ini boleh bertambah buruk walaupun individu tersebut tidak lagi terdedah dengan bahan berbahaya tersebut.
4. Penyakit hati hitam arang (black lung disease)
Penjanaan elektrik di seluruh dunia biasanya menggunakan dua kaedah utama, sama ada dijana melalui kaedah hidroelektrik atau kaedah lebih konvensional iaitu menggunakan arang batu.
Dianggarkan sehingga tahun 2040, arang batu akan tetap menjadi sumber utama tenaga elektrik bagi kebanyakan negara di seluruh dunia. Oleh itu, permintaan terhadap kumpulan pekerja yang terlibat dalam perlombongan arang batu akan terus relevan.
Pekerja dalam kumpulan ini sangat berisiko terkena jangkitan yang dikenali sebagai penyakit paru-paru hitam atau black lung disease. Penyakit ini tidak menunjukkan simptomnya untuk jangka masa yang lama selepas pekerja berhenti daripada terdedah kepada arang batu.
Juga dikenali dengan nama coal workers pneumoconiosis, jangkitan ini dianggap sangat serius dan penghidapnya jarang pulih sepenuhnya daripada penyakit ini.
Kajian yang dijalankan pada tahun 2018 menemui bahawa individu yang menghidap penyakit ini kini cenderung untuk meninggal dunia pada usia lebih awal berbanding dengan pekerja perlombongan arang batu dari 4 hingga 5 dekad yang lalu.
5. Lelah tukang roti
Lelah tukang roti adalah sejenis lelah atau asma yang mungkin berlaku apabila seseorang terdedah kepada debu tepung atau bahan lain yang digunakan dalam proses pembuatan roti.
Penyakit ini hanya berlaku kepada individu yang bekerja dalam penghasilan roti dan pekerja kilang bijirin dan dianggap sebagai salah satu jenis lelah akibat pekerjaan yang biasa berlaku.
Individu yang terkena lelah ini akan mengalami gejala pernafasan seperti kesukaran bernafas, sesak nafas, dan rasa ketat di dada.
Jangkitan ini berlaku akibat penghirupan partikel tepung dan bijirin, bersama dengan bahan tambahan dan enzim yang digunakan semasa pembuatan roti, serta alergen lain yang terdapat dalam persekitaran dapur.
Untuk mencegah lelah ini, penting bagi pengendali untuk mengenakan alat perlindungan diri seperti topeng semasa bekerja. Pekerja dalam bidang ini juga disarankan untuk menggunakan tepung dengan kadar debu yang rendah untuk membuat roti asli, dan memastikan kawasan kerja mempunyai ventilasi yang baik.
Pekerja juga disarankan untuk kerap menggunakan kain lembap untuk membersihkan debu dan mengurangkan menyapu kawasan kerja, sebaliknya menggunakan penyedut hampagas.
Semoga perkongsian ini memberi ilmu baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Sumber: Iluminasi
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.