Mempraktikkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan (work life balance) adalah penting untuk kesejahteraan dan diri dan mental dalam jangka panjang.
Maksud keseimbangan kerja dan kehidupan adalah mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi supaya anda mempunyai masa yang cukup untuk kedua-duanya dan tidak berasa tertekan.
Penting untuk diingatkan bahawa mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat bukan sekadar mencari kemewahan, tetapi merupakan satu keperluan untuk kesejahteraan hidup anda.
Berikut kami kongsikan antara tiga kepentingan dan cara untuk mendapatkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih sihat.
1. Meningkatkan produktiviti dan kreativiti
Bekerja terlalu lama tanpa henti dan mengabaikan keperluan peribadi tidak akan meningkatkan produktiviti anda. Sebaliknya, terlalu kerap bekerja akan mengurangkan fokus dan kreativiti, yang pada akhirnya menghalang pencapaian anda dalam kerja.
Dengan membenarkan diri anda berehat dan mengecas semula di luar waktu kerja, anda akan kembali dengan tenaga dan semangat yang baru. Bukan itu sahaja, melibatkan diri dalam aktiviti yang anda minat (hobi) dapat merangsang minda anda serta membantu memupuk kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah. Pendekatan produktiviti yang seperti ini akan membawa impak positif dalam kehidupan.
2. Mengurangkan burnout
Sekiranya anda sentiasa terikat dengan tanggungjawab kerja tanpa memberi ruang untuk berehat atau menguruskan urusan peribadi, ia akan menyebabkan tekanan yang berlebihan dan seterusnya akan menyebabkan anda burnout.
Salah satu aspek penting dalam mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan adalah memberi peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang merangsang minda dan yang mampu memberi anda kepuasan.
Sama ada meluangkan masa bersama orang yang tersayang, melakukan aktiviti yang anda minat, atau sekadar mengambil masa untuk berehat, ia akan membantu menyegarkan minda dan jiwa anda. Hasilnya, anda akan menjadi lebih berdaya tahan, lebih bersedia untuk menghadapi cabaran, dan merasai kebahagiaan serta rasa syukur yang lebih besar.
Artikel berkaitan: Ini Sebab Kenapa Kerja 4 Hari Seminggu Mempunyai Kebaikan
3. Mengurangkan masalah kesihatan
Apabila seseorang terlalu tertekan dan terlalu kerap bekerja, kesihatan mental dan fizikal akan terjejas.
Ketidakseimbangan dalam kehidupan dan kerja boleh mengakibatkan pelbagai gejala yang merosakkan kehidupan manusia, termasuk masalah kesihatan seperti strok dan gangguan pernafasan.
Menurut kajian daripada University College London, pekerja kolar putih yang bekerja lebih daripada tiga jam melebihi masa kerja biasa, akan mempunyai risiko 60% lebih tinggi untuk mengalami masalah jantung berbanding dengan mereka yang tidak bekerja lebih masa.
Apabila majikan mementingkan budaya yang seimbang antara kerja dan kehidupan, ia boleh mengurangkan masalah kesihatan dan ketidakhadiran pekerja.
Cara Seimbangkan Kerja dan Kehidupan
1. Ambil cuti dan pergi bercuti
Cuti tahunan adalah suatu keperluan untuk semua pekerja. Meluangkan masa untuk berehat dari kerja dapat memberi peluang kepada individu untuk menikmati kehidupan, diri sendiri, dan keluarga. Ia juga merupakan peluang terbaik untuk menyegarkan diri daripada tekanan selepas berminggu-minggu atau berbulan-bulan menanggung bebanan kerja.
Apabila tiba masanya untuk kembali bekerja, pekerja akan lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam mengejar dan menepati tuntutan majikan. Ini adalah penting untuk membantu pekerja meningkatkan produktiviti dan tumpuan apabila mereka kembali ke pejabat.
2. Berehat
Tubuh manusia tidak direka untuk terus-menerus menatap skrin selama berjam-jam. Ini bukan sahaja boleh merosakkan kesihatan fizikal malah mental juga.
Oleh itu, penting untuk mengambil masa untuk berehat seketika, seperti menghabiskan sekurang-kurangnya 15 minit di luar atau berjalan-jalan di sekitar kawasan pejabat.
Bagi majikan, disarankan untuk mempertimbangkan meletak bilik rehat atau ruang rehat di tempat kerja di mana pekerja boleh bersosial dan mengalihkan fikiran mereka daripada tugas kerja.
3. Berbincang dengan majikan
Sekiranya anda merasakan tanggungjawab kerja yang diberikan melampaui had sehingga anda tidak dapat berehat dengan baik pada hari cuti, pertimbangkan untuk berbincang dengan majikan anda untuk mengurangkan beban kerja.
Jelaskan bahawa tekanan yang berpunca dari beban kerja yang terlalu banyak menghalang anda daripada mencapai prestasi yang optimum. Keletihan dari segi mental dan fizikal sudah tidak mampu lagi untuk ditanggung.
Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat buat anda yang memerlukannya.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
